Jumaat, November 13, 2009

LAPORAN KHAS: PERISIAN CETAK ROMPAK MAKIN MENULAR DI UNIVERSITI


13 November 2009

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my

ADAKAH belum cukup tegas langkah pembanterasan dan penguatkuasaan terhadap pencabulan hak harta intelek atau masih wujud kelompangan dalam akta sedia ada sehinggakan sesiapa saja seolah-olah bebas menggunakan produk cetak rompak, malah penjualannya juga bebas dilakukan secara terbuka di mana saja.

Penat dan rumit jika semua produk di bawah akta hak cipta mahu dihuraikan satu persatu kerana semuanya berdepan masalah sama dengan kaedah berbeza. Namun apabila isu ini dijuruskan kepada perisian cetak rompak, ia nampak sebenarnya lebih menimbulkan pelbagai persoalan, dengan yang paling utama ialah antara harga dan keperluan.

Seperti kita sedia maklum, harga sesebuah perisian tulen ketika ini mahal, malah ada yang mencecah ribuan ringgit sedangkan realitinya setiap komputer memerlukan banyak perisian, apatah lagi jika penggunanya terbabit dengan aktiviti yang membabitkan banyak perisian sokongan.
Namun, adakah isu harga mahal menjadi tiket menghalalkan penggunaan perisian cetak rompak yang kebanyakannya membabitkan pengguna persendirian dengan alasan perisian itu digunakan bukan untuk tujuan perniagaan sebaliknya sekadar membantu tugasan di rumah.

Mereka yang berniaga selalunya tidak berani menggunakan perisian cetak rompak kerana sedar bahawa sekiranya tertangkap, hukuman yang dikenakan amat tegas termasuk risiko semua komputer dan perkakasan disita pihak berkuasa.

Apapun, apabila sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) swasta di Shah Alam dikesan menggunakan perisian cetak rompak dalam lapan set komputernya, soal ketegasan pembanterasan penggunaan perisian cetak rompak mula diperkatakan kerana realitinya ia kini bukan lagi sekadar popular di kalangan pengguna persendirian.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayudin, berkata pemeriksaan mendapati 58 salinan perisian cetak rompak yang turut dirampas di IPT itu bernilai kira-kira RM794,000.

Jika difikir secara logik, pengguna perisian cetak rompak menikmati keuntungan berlipat kali ganda kerana biasanya harga untuk satu cakera padat (CD) perisian cetak rompak hanya RM10, malah ada juga CD yang menggabungkan pelbagai perisian berbeza.

Isu utamanya, apabila penggunaan perisian cetak rompak sudah menular di kalangan syarikat dan IPT, siapa yang wajar dipersalahkan kerana kemungkinan sesebuah komputer di IPT itu digunakan sesiapa saja dan timbul kemungkinan penggunanya memasukkan perisian yang disukai tanpa pengetahuan IPT.

Sebagai contoh, sebuah komputer di pejabat, milik syarikat yang dibekalkan untuk kegunaan pekerja setiap hari dimasukkan perisian cetak rompak oleh pekerja itu dan apabila pemeriksaan dilakukan, siapa yang patut dihukum, pekerja atau majikan? Pelajar atau pentadbir IPT?

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tidak kira siapapun yang memasukkan perisian cetak rompak ke dalam komputer milik syarikat atau IPT, pihak pertama yang akan didakwa adalah majikan atau pentadbir IPT itu.

Katanya, dalam isu ini, agak sukar untuk majikan atau pentadbir IPT boleh terlepas daripada hukuman atau meletakkan kesalahan itu kepada orang lain kerana komputer itu milik mereka dan menjadi tanggungjawab mereka memastikan harta itu dipantau daripada sebarang penyalahgunaan.

Apatah lagi, katanya, wujud pelbagai kaedah untuk memantau dan menyekat penggunaan perisian cetak rompak dalam komputer dan ia sekali gus menyebabkan tiada alasan untuk majikan atau pentadbir IPT terlepas daripada dakwaan.

Merujuk kepada IPT, beliau berkata, meskipun perisian cetak rompak itu bukan digunakan secara langsung untuk tujuan komersial tetapi modus operandi semua IPT tetap menjurus kepada perniagaan dan pastinya semua bahan dalam operasi mereka termaktub sebagai bahan perniagaan serta boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Hak Cipta 1987.

Namun, apabila menyentuh mengenai penguatkuasaan, Ismail Sabri berkata, akta sedia ada masih longgar dan wujud beberapa kelemahan kerana pendakwaan hanya boleh dibuat jika pemilik hak harta intelek itu membuat aduan.

“Ketika ini, jika pemeriksaan dibuat dan mendapati salinan perisian cetak rompak tidak lebih daripada tiga unit, tiada pendakwaan akan dibuat dan penggunaan untuk tujuan peribadi juga tidak termasuk sebagai kesalahan. Malah, pemilik bangunan yang membenarkan premisnya digunakan untuk penjualan CD perisian cetak rompak juga tidak dianggap bersalah.

“Malah, akta itu juga menyebabkan aktiviti penguatkuasaan menjadi terhad lantaran perlu menunggu aduan daripada pemilik produk sebelum pemeriksaan boleh dibuat sedangkan tak banyak aduan mengenainya yang kami terima.

“Ia sekali gus menyebabkan masih ada penjualan perisian cetak rompak dilakukan secara terbuka dan digunakan secara meluas juga oleh pengguna persendirian. Ia sebenarnya menjejaskan imej negara dan turut memberi kesan terhadap pelaburan asing dalam negara,” katanya dalam temubual ekslusif dengan Berita Harian baru-baru ini.

Justeru, katanya, kementerian sedang merangka pindaan terhadap akta berkenaan yang dijangka bakal dilaksanakan pada awal 2010 bagi membolehkan tindakan lebih tegas serta kaedah penguatkuasaan lebih menyeluruh sebagai isyarat jelas bahawa aktiviti penggunaan perisian cetak rompak akan dibanteras secara efektif.

Antara pindaan itu, katanya, termasuklah membolehkan sesiapa saja tak kira individu atau syarikat yang memiliki satu salinan saja boleh didakwa, mendakwa pemilik premis dan tindakan penguatkuasaan boleh diambil meskipun pemilik produk tidak membuat sebarang aduan.

“Bagi saya, memiliki produk cetak rompak, tak kira untuk tujuan perniagaan atau peribadi sama seperti mencuri. Justeru, memiliki barang curi, menjual atau membelinya dan menyimpan dalam premis dianggap salah dan perlu didakwa.

“Selepas pindaan akta ini dilaksanakan, sesiapa saja, tak kira peniaga atau pengguna persendirian tidak akan terlepas daripada hukuman kerana ia dianggap satu kesalahan. Pemilik bangunan seperti pasar raya yang membenarkan mana-mana premisnya digunakan untuk menjual perisian itu juga akan didakwa,” katanya.

Merujuk kepada IPT pula, Ismail Sabri berkata, pihaknya akan memanggil semua pentadbir IPT untuk diingatkan mengenai risiko yang bakal mereka hadapi jika ada mana-mana komputer milik mereka dimasukkan perisian cetak rompak meskipun ia dilakukan oleh pensyarah atau pelajar.

Tak cukup dengan itu, kementerian juga menimbang untuk mengenakan hukuman lebih berat bagi penjualan CD cetak rompak dengan menaikkan kadar denda sehingga RM100,000, selain turut melihat kemungkinan mendakwa pemilik laman web forum dalam negara yang membenarkan aktiviti muat turun perisian cetak rompak berlaku dalam laman web mereka.

Melihat kepada amaran dan bentuk hukuman yang bakal dilaksanakan itu, ia pastinya menjadi langkah positif untuk membanteras kegiatan penggunaan perisian cetak rompak dalam negara secara lebih cekap yang tidak lagi sekadar tertumpu kepada pengguna persendirian atau perniagaan.

Pemilik premis pula, pastinya tak senang duduk untuk membenarkan aktiviti penjualan perisian cetak rompak berlaku secara terbuka.

1 ulasan:

quzami web blog berkata...

Kini Blog merupaakn salah satu medium perantaraan yang popular dalam mendekatkan rakyat dan pemimpin....

semoga blog ini dapat menjadi lebih menarik dan interaktif kelak

http://ituhakanda.blogspot.com/2010/06/muka-depan.html(hak anda,hari pengguna,pengguna malaysia, pengguna remaja, pengguna)

quzamian-nuur.blogspot.com(rekaan,upah mereka, laman web, rekaan web)