Jumaat, November 13, 2009

TINDAKAN PENGUATKUASAAN PERLU LEBIH KETEGASAN


13 November 2009

MELAKSANAKAN penguatkuasaan terhadap pengguna perisian cetak rompak perlu melihat kepada tujuan penggunaan itu sendiri serta kelompok penggunanya sama ada membabitkan syarikat yang menggunakannya untuk meraih keuntungan atau individu yang sekadar dijadikan bahan membantu memudahkan tugasan seharian.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata meskipun pihaknya bersetuju kerajaan tidak boleh berkompromi terhadap perisian cetak rompak, disebabkan harga perisian tulen yang sangat mahal, pertimbangan sewajarnya perlu diberikan kepada pengguna persendirian.
“Fomca berpendapat dan bersetuju penguatkuasaan terhadap penggunaan perisian cetak rompak perlu dibuat secara tegas dan menyeluruh bagi menggalak dan mewajibkan penggunaan perisian tulen, namun situasi berbeza perlu dilihat membabitkan pengguna biasa atau pelajar kerana mereka bukan guna untuk keuntungan.

“Memang sepatutnya tak kira siapa, pengguna biasa atau syarikat perlu beli perisian tulen kerana ia membabitkan hak cipta seseorang. Namun apabila melihat kepada harganya yang sangat mahal, ia sesuatu yang sukar dibendung dan menjadi penyebab utama ramai guna perisian cetak rompak.

“Teknologi sangat penting ketika ini dan setiap komputer kebiasaannya perlu dimasukkan pelbagai jenis perisian. Jika harganya mahal, ia menjadi beban kepada pengguna biasa. Justeru, jika mahu semua orang guna perisian tulen, kurangkan harga,” katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya kementerian sentiasa memantau aktiviti jualan komputer dengan memastikan semua jualan dilengkapi dengan perisian tulen supaya pengguna tidak perlu lagi memasukkan perisian cetak rompak.

Ketika merujuk kepada penggunaan perisian cetak rompak di syarikat atau institusi pengajian tinggi (IPT), beliau berkata, tindakan tegas memang perlu diambil kerana aktiviti mereka menggunakan perisian itu untuk meraih keuntungan dan turut bersetuju tindakan perlu diambil terhadap majikan atas kegagalan memastikan komputer milik syarikat hanya menggunakan perisian tulen.

Namun, katanya, isu penggunaan perisian komputer di rumah tak boleh disamakan dengan pejabat kerana tujuan penggunaannya ternyata jauh berbeza.

“Fomca memandang serius isu harta intelek kerana ia adalah hak seseorang dan tindakan menggunakan perisian cetak rompak umpama mencuri hak seseorang. Namun, isunya, bagaimana pengguna biasa nak guna komputer tanpa perisian? Nak beli pula, tak mampu.
“Jika kerajaan mahu juga menganggap pengguna biasa sebagai pesalah kerana guna perisian tulen, Fomca akan setuju tetapi selepas harganya diturunkan dan dikawal. Jika tidak, jangan salahkan pengguna biasa,” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik ketegasan membela pengguna itu, Mohd Yusof turut berpendapat dalam perkembangan terkini teknologi internet, sudah wujud banyak perisian sumber terbuka (open source) yang membolehkan pengguna menggunakan perisian percuma yang berfungsi seakan sama dengan perisian dijual.

“Perisian sumber terbuka berfungsi hampir sama dengan perisian yang mahal di pasaran. Malah, sekarang sudah banyak perisian sebegitu di internet yang boleh dimuat turut dengan mudah. Dulu mungkin terhad tetapi sekarang sangat banyak serta boleh dicari di banyak laman web.

“Masalahnya, pengguna masih tak berapa faham konsep perisian sumber terbuka dan sudah terbiasa dengan perisian popular yang selalunya semua orang guna. Penerangan dan promosi terhadap konsep ini juga tak banyak, malah tak menyeluruh. Ramai lagi yang tak tahu. Mereka sangka, jika nak beli komputer, mesti perlu ada Microsoft Office.

“Apapun, meskipun wujud banyak perisian sumber terbuka di internet, Fomca tetap mahu kerajaan memberi sedikit ruang kepada pengguna biasa yang menggunakannya untuk menambah ilmu. Ia kemudahan untuk nikmati ilmu tetapi malangnya harganya mahal. Kita hormati harta intelek tetapi jangan sampai menyekat perkembangan ilmu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek (MyIPO), Prof Madya Rohazar Wati Zuallcobley, berkata akta yang digunakan ketika ini masih menghalang penguatkuasaan dan pendakwaan dibuat secara menyeluruh lantaran beberapa kekangan dalam pelaksanaannya.

“Penguat kuasa takkan dapat buat serbuan atau pemeriksaan tanpa aduan pemilik produk. Jika pemeriksaan dibuat pula dan memang ada perisian cetak rompak, kes akan dibuang begitu saja sekiranya pemilik produk tak hadir, malah kementerian pula berisiko untuk didakwa.

“Jika memang terang-terangan perisian itu dijual di premis pun, penguatkuasaan tak dapat dibuat tanpa aduan. Selain itu, setiap perisian pula mesti lebih daripada tiga salinan, baru dianggap menjual. Kurang daripada tiga, sukar nak dakwa,” katanya yang turut memberitahu pindaan terhadap akta itu sedang dirangka ketika ini.

Namun, menjurus kepada penggunaan perisian cetak rompak di syarikat atau IPT, beliau berkata, tiada jalan mudah atau alasan yang untuk membolehkan majikan atau pentadbir IPT melepaskan diri jika sabit kesalahan meskipun perisian itu dimasukkan oleh pekerja, pensyarah atau pelajar mereka.

“Komputer itu milik syarikat atau IPT. Pekerja atau pelajar adalah di bawah kawalan mereka. Jika berlaku sesuatu yang tak kena pada komputer, IPT sepatutnya perlu ambil tahu. Membiarkan, umpama membenarkan kesalahan dilakukan dalam bentuk tersirat.

“Malah, ketika ini terdapat pelbagai kaedah atau cara mengawal dan memantau komputer daripada disalah guna. Justeru, agak sukar untuk IPT beri alasan tak tahu dan melepaskan kesalahan itu kepada individu lain. Tindakan akan tetap diambil terhadap pemilik komputer, iaitu IPT sendiri.

“Jika sabit kesalahan, hukuman denda antara RM2,000 hingga RM20,000 boleh dikenakan. Maksudnya, jika ada 10 komputer guna perisian cetak rompak, denda maksimum boleh mencecah RM200,000 dan itu tanggungjawab IPT,” katanya.

Mengulas lanjut, Rohazar Wati berkata, kementerian sebenarnya tahu dan sedar bahawa hampir semua organisasi ada menggunakan perisian cetak rompak, namun tindakan tak dapat diambil kerana tiada aduan.

“Pemilik perisian di negara ini tak rasa terancam dengan perisian cetak rompak. Kami tahu sebenarnya banyak kes penggunaan perisian cetak rompak di IPT. Namun, selagi tak ada aduan oleh pemilik, kami tak dapat bertindak,” katanya.

Tiada ulasan: