Jumaat, November 13, 2009

SYARIKAT PATUT PASTIKAN HANYA GUNA BAHAN TULEN DALAM KOMPUTER


13 November 2009

KESALAHAN membabitkan penggunaan perisian cetak rompak pada komputer milik syarikat adalah satu bentuk tanggungjawab yang dipindahkan ke pihak majikan serta perlu dianggap kemudaratan pihak ketiga lantaran perlakuan orang lain.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan, berkata ia perlu diakui dan diterima semua majikan kerana sudah menjadi tanggungjawab mereka menjaga serta memantau harta syarikat daripada disalah guna pekerja.

Katanya, syarikat perlu mempunyai dasar yang ketat berkenaan penggunaan komputer selain menggunakan perisian tulen saja dan mengingatkan pekerja supaya tidak memasukkan apa saja bahan dalam komputer syarikat tanpa izin.

“Jika semua peringatan itu sudah diberi dan masih berlaku penggunaan perisian cetak rompak, individu atau pekerja terbabit yang menggunakan komputer itu akan dipertanggungjawabkan. Maksudnya, majikan tetap berdepan tindakan di mahkamah tetapi tindakan akan diambil pula terhadap pekerja terbabit sama ada dibuang kerja dan memanjangkan kes ke mahkamah sivil bagi membolehkan semua kerugian syarikat ditampung oleh pekerja berkenaan.

“Diakui, risiko untuk komputer pejabat dimasukkan perisian cetak rompak sangat tinggi tetapi ia selalunya berlaku kepada syarikat yang jarang membuat audit peralatan mereka. Realitinya, jika syarikat peka dan sentiasa membuat pemeriksaan, pekerja takkan berani menyalahgunakan peralatan yang diberi.
“Jika ada pekerja yang menjadikan alasan perisian yang dimasukkan itu perlu untuk memudahkan tugas mereka, ia sebenarnya tidak relevan kerana menjadi tanggungjawab syarikat menyediakan perisian yang diperlukan,” katanya.

Menjelaskan senario semasa, Shamsuddin berkata, berbeza dengan ketika awal 1990-an dulu, masalah penggunaan perisian cetak rompak tidak begitu serius ketika ini kerana kebanyakan syarikat sudah mula sedar risiko yang mereka hadapi akibat menggunakannya.

Namun, masalah itu masih ketara membabitkan syarikat kecil yang bertindak demikian bagi mengurangkan kos operasi kerana harga perisian tulen mahal.

“Satu perisian tulen hanya boleh digunakan untuk satu komputer. Tentu ia membebankan syarikat kecil. Sewajarnya pemilik perisian perlu melihat bagaimana kaedah membantu peniaga kecil supaya masih dapat menggunakan perisian tulen dengan kos rendah.
“Mungkin juga kerajaan perlu fikirkan jalan bantu mereka ini dengan mewujudkan insentif pengecualian cukai atau apa saja yang boleh menggalakkan penggunaan perisian tulen,” katanya.

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn, Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin, berkata tidak sewajarnya pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dipersalahkan jika terdapat pensyarah atau pelajar memasukkan perisian cetak rompak dalam komputer milik universiti.

“Jika itu yang berlaku, lebih baik universiti tak payah beli komputer atau masukkan perisian. Tak payah pakai komputer sebab ia mendatangkan masalah pula kepada IPT. Mana mungkin IPT dapat pantau sepenuhnya komputer dalam universiti. Bukan sedikit.

“Lagipun, perisian yang digunakan di IPT bukan untuk perniagaan. Ia adalah untuk tujuan akademik dan sebenarnya membawa keuntungan jangka panjang kepada pemilik perisian. Apabila pelajar sudah terbiasa dengan sesuatu perisian, mereka akan terus menggunakannya apabila bekerja atau membuka syarikat sendiri.

“Jika kementerian mahu terlalu bertegas dengan IPT, ia akan membawa kesan buruk terhadap perkembangan pendidikan. Namun, itu tidak bermakna kami menyokong penggunaan perisian cetak rompak kerana semua komputer yang dibeli memang sudah dilengkapi perisian tulen. Jika pensyarah nak tambah apa-apa perisian lain, mereka boleh mohon dan biasanya IPT akan luluskan,” katanya.

Beliau berkata, undang-undang tetap undang-undang yang tak boleh dilanggar tetapi hakikatnya, penggunaan sesuatu perisian secara meluas di IPT akan menyerlahkan sesebuah syarikat pemilik perisian. Beliau berkata, IPT agak sukar untuk mengawal tindakan pensyarah atau pelajar yang memasukkan sendiri perisian cetak rompak kerana jumlah komputer yang terlalu banyak.

“Manalah IPT ada masa nak periksa setiap masa. Namun, ada akta yang membolehkan tindakan diambil jika terbukti ada pensyarah atau pelajar bertindak melanggar undang-undang. Namun, sekali saya tegaskan bahawa universiti adalah satu strategi yang paling tepat untuk sesebuah syarikat pemilik perisian mengembangkan perisiannya,” katanya.

Tiada ulasan: