Ahad, Ogos 15, 2010

KUASA BESAR DI TANGAN PENGGUNA


APA sebenarnya perlu pengguna tahu mengenai halal dan logo halal? Adakah anda jenis pengguna yang nampak saja tertera perkataan jawi halal, maka produk ditawarkan sudah tentu halal?

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kalau kita lihat produk yang dijual di pasaran, ada banyak logo halal, sama ada logo halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang diperiksa berdasarkan garis panduan Manual Prosedur Pensijilan Halal, Standard Halal MS1500:2009 dan juga panduan yang dikeluarkan Kementerian kesihatan Malaysia dan Amalan Pengilangan Baik (HACCP).

Begitu juga, katanya, dengan logo halal, dikeluarkan syarikat swasta, iaitu Bahtera lagenda (mengeluarkan beberapa logo di bawah Halal Food Council International, Malaysia & Asia Region dan sebagainya), atau SAS-H Consultants atau Persatuan Pegawai Islam Perak (yang tidak pasti prosedur pemeriksaan untuk mendapatkan logo halal) dan logo halal oleh pengilang sendiri.

“Kewujudan pelbagai logo halal ini mengelirukan pengguna dengan beranggapan semuanya adalah halal mengikut prosedur sama. Sedangkan hanya pensijilan halal dikeluarkan JAKIM dan JAIN dikeluarkan mengikut prosedur tertentu lebih diyakini status halalnya.

“Justeru, pengguna perlu berhati-hati apabila membeli produk. Lihat label pada produk berkenaan, jenis logo halal digunakan. Untuk berasa yakin produk itu adalah halal berdasarkan garis panduan ditetapkan mengikut Islam, dinasihatkan supaya membeli produk logo halal JAKIM dan JAIN.

“Jika was-was sama ada logo halal berkenaan, tulen atau palsu, JAKIM mempunyai saluran melalui laman sesawang, www.halal.gov.my untuk menyemak syarikat yang diberikan pensijilan halal atau SMS 15888,” katanya.

Untuk makluman, pensijilan halal adalah bersifat sukarela, bukannya wajib. Peraturan berkaitan halal adalah di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 - Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan Halal 1975).

Oleh itu pada masa ini logo halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta dan logo halal yang dibuat oleh pengilang sendiri dibenarkan di bawah akta ini, melainkan apabila Akta Perihal Dagangan dipinda dengan hanya memberikan kuasa kepada JAKIM dan JAIN saja yang boleh mengeluarkan pensijilan halal.

Mengulas mengenai penggunaan pekerja Islam di restoran bukan Islam, Mohd Yusof berkata, memang itulah yang banyak berlaku di restoran yang dimiliki oleh orang bukan Islam.

Kerap kali mereka menggunakan pelayan Melayu atau Indonesia memakai tudung, namun yang memasak bukannya orang Islam atau bahan mentah dibeli mungkin daripada pembekal yang tidak halal.

Oleh itu, untuk memastikan restoran berkenaan halal daripada penyediaan makanan dan bahan mentah digunakan, lihat sama ada logo halal dikeluarkan JAKIM atau JAIN. Malah logo halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta juga meragukan.

“Untuk lebih selamat, makanlah di kedai dimiliki oleh orang Islam. Sekurang-kurangnya mereka prihatin berhubung cara penyediaan dan bahan mentah digunakan halal. Isu berkaitan halal bukan hanya pada cara penyediaan dan bahan mentah, tetapi juga amalan kebersihan yang dilakukan dalam penyediaan makanan. Konsep inilah yang dipanggil sebagai ‘Halalan Toyiban’, iaitu halal dan baik,” katanya.

Mengenai sijil halal perlu dipamerkan oleh penjual di pasar basah, Mohd Yusof berpendapat, sewajarnya penjual di pasar basah mempamerkan salinan pensijilan halal rumah sembelihan yang membekalkan ayam atau daging yang dijual.

Begitupun, biasanya orang Islam lebih yakin membeli ayam atau daging daripada penjual beragama Islam kerana beranggapan ayam atau daging dijual adalah daripada rumah sembelihan yang halal ataupun ayam berkenaan disembelih oleh orang Islam di ladang ternakan ayam.

Isu mempamerkan salinan pensijilan halal rumah sembelihan lebih merujuk kepada ayam yang dijual oleh orang bukan Islam atau yang dijual di pasar raya.

“Dalam keadaan peraturan mengenai halal yang masih longgar pada masa ini, pengguna perlu berhati-hati apabila membeli produk makanan bagi memastikan bahawa produk makanan itu adalah halal. Pengguna dinasihatkan membeli produk yang menggunakan logo halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM.

“Begitupun, pada masa ini ada banyak produk dikeluarkan orang Islam yang lebih diyakini kedudukan halalnya. Di samping membeli produk diyakini status halalnya, ia juga dapat menyokong industri orang Islam supaya lebih maju dan seterusnya mengeluarkan lebih banyak produk halal,” katanya.

Ingatannya, pengguna sebenarnya mempunyai kuasa besar mempengaruhi penggunaan logo halal.

“Jika pengguna Islam menggunakan kuasa mereka untuk boikot peniaga yang mengambil sikap sambil lewa dari segi status halal, saya yakin akan memberi tekanan kepada mereka dan sekali gus menggalakkan memohon secara sah logo halal,” katanya.

Berita Harian, 5 Ogos 2010

Tiada ulasan: