Rabu, Mei 11, 2011

MAHIRKAN DIRI URUS HUTANG



4 Mei 2011

Oleh MELATI MOHD ARIFF


SYAIFUL AZLAN SURAZI merupakan salah seorang pengguna kad kredit yang bebas daripada belenggu hutang selepas mendapat khidmat AKPK.


PINJAMAN peribadi dan kad kredit begitu sinonim dengan kehidupan masyarakat hari ini. Amalan mengambil pinjaman peribadi atau menggunakan kad kredit sebenarnya tidak lebih daripada berhutang yang bunyi hutang mungkin tidak sedap didengar.

Tidak bijak menguruskan kewangan dengan meminjam dan menggunakan kad kredit yang melebihi kemampuan boleh menyebabkan seseorang itu menjadi muflis.

Menurut Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman, rakyat negara ini seharusnya mengikis tabiat berhutang dan liat membayar hutang agar tidak terus menjadi satu budaya.

Katanya, rakyat negara ini perlu diberi kesedaran dan kemahiran mengurus kewangan termasuk hutang. Tambahan sekarang, institusi kewangan itu sendiri menggalakkan orang berhutang termasuk memberi kemudahan kad kredit.

“Ada institusi kewangan yang begitu mudah menawarkan pinjaman kepada pemegang akaun mereka walaupun tidak diminta. Bagi yang mudah terpengaruh, akan menerima tawaran tersebut dan akhirnya terjebak dengan hutang yang tidak berkesudahan,” tegas Mohd. Yusof.

Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) perlu memantau kegiatan institusi kewangan seperti itu kerana ia adalah amalan yang tidak sihat lantaran secara terang-terangan menggalakkan orang berhutang.

Pada masa yang sama kerajaan dilihat turut tegas mengambil langkah memerangi kegiatan ah long atau ceti haram kerana ia adalah antara punca mudah berhutang.

Mohd. Yusof lalu merujuk kepada satu kenyataan BNM apabila sehingga akhir November 2010, hutang isi rumah mencecah sebanyak RM577 bilion.

Daripada jumlah tersebut, RM118 bilion adalah pinjaman kereta, RM22 bilion pinjaman peribadi dan RM225 bilion pula pinjaman perumahan.

Risiko muflis

Risiko diisytihar muflis atau bankrap. Ini yang perlu difikirkan oleh mereka yang begitu mudah mengambil pinjaman peribadi dengan institusi kewangan.

Sekiranya orang yang berhutang gagal menjelaskan ansuran pinjaman tersebut dua kali berturut-turut, institusi kewangan menghantar notis kepada si berhutang, katanya.

Tambahnya, jika jumlahnya melebihi RM30,000, institusi kewangan boleh mengambil tindakan untuk mengisytiharkan seseorang itu sebagai muflis!

Beliau merujuk kepada statistik kes muflis Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh 2005 hingga Mei 2010 di mana seramai 80,348 orang disenarai muflis.

Sebab muflis

Sebab-sebab kebankrapan yang disenarai adalah hutang cukai pendapatan, hutang kad kad kredit, hutang pinjaman perniagaan, sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan, penjamin korporat, penjamin sosial, biasiswa/pinjaman pelajaran dan keberhutangan yang lain.

Statistik daripada sumber yang sama menunjukkan sebab kebankrapan utama adalah keberhutangan yang lain (29.05 peratus), diikuti sewa beli kenderaan (24.12 peratus), hutang pinjaman perniagaan (10.93 peratus), pinjaman perumahan (7.49 peratus) dan hutang kad kredit (5.50 peratus).

Dari segi bangsa, statistik Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh yang dikaji menunjukkan paling ramai muflis ialah Melayu 39.76 peratus diikuti Cina 33.36 peratus, India 9.53 peratus sementara lain-lain 17.34 peratus.

Memang pantau

Menurut Mohd. Yusof, FOMCA memang dari semasa ke semasa memantau sikap suka berhutang dan ia merangkumi semua peringkat masyarakat dan kaum. Pemantauan itu dilaksanakan susulan daripada program pengurusan kewangan dengan BNM oleh Fomca, yang bermula Jun 2010 hingga April ini.

“Data berkaitan kadar pinjaman dan hutang rakyat Malaysia digunakan semasa program pengurusan kewangan untuk memberikan kesedaran kepada peserta tentang tabiat buruk berhutang. Selain itu, FOMCA dengan kerjasama Bank Negara sedang menerbitkan buletin Ringgit secara bulanan.

“Buletin ini memuatkan rencana mengenai pengurusan kewangan peribadi,” tambah Mohd Yusof.

Mohd. Yusof berkata, memang ada agensi dan badan bukan kerajaan mengadakan program pengurusan kewangan bagi golongan muda dan dewasa.

Pihak berkenaan termasuk Bank Negara Malaysia, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Suruhanjaya Sekuriti melalui Securities Industry Development Corporation dan Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

Bagi mengelakkan pertindanan dari segi sasaran program dan bagi menyelaraskan program pengurusan kewangan, FOMCA menurut Mohd. Yusof, telah mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Pendidikan Kewangan Kebangsaan (SPKK).

Suruhanjaya tersebut, katanya perlu memberi tumpuan kepada empat fungsi utama iaitu membina kesedaran awam terharap sumber sedia ada, membangunkan strategi penyebaran maklumat dan mengikut golongan sasar.

Tidak ketinggalan SPKK perlu mewujudkan kerjasama antara sektor awam dan sektor swasta serta akhir sekali melakukan kajian dan penilaian terhadap program pendidikan kewangan.

SPKK juga perlu mengkoordinasi semua program pendidikan pengurusan kewangan semua agensi untuk meminimumkan sebarang pertindanan dan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan.

Di samping itu, ia juga perlu membangunkan satu strategi nasional untuk mempromosi pendidikan pengurusan kewangan untuk semua rakyat Malaysia dan membangunkan satu laman web pendidikan peringkat kebangsaan untuk membekal maklumat tentang pendidikan pengurusan kewangan.

“Ia juga perlu mewujudkan satu talian tol bebas untuk orang ramai mendapatkan bahan yang berkaitan dengan pengurusan pendidikan kewangan,” kata Mohd. Yusof.

Dari segi mengurus hutang, beliau berkata ia mesti dikendalikan institusi kewangan yang dikawal selia oleh Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).

Beliau menambah pengguna juga hendaklah dimaklumkan tentang semua caj dan sebarang caj yang melibatkan pengguna sebelum caj tersebut dikenakan.

“Dalam semua hal, pengguna perlu dilindungi oleh Bank Negara dan semua kontrak hendaklah ditulis dengan menggunakan bahasa yang mudah dan boleh difahami,” katanya.

Pada masa yang sama, Mohd. Yusof berkata, masyarakat juga perlu diberi pendedahan tentang beberapa instrumen simpanan dan pelaburan yang ada untuk keperluan masa depan termasuk untuk kecemasan.

Pakej simpanan yang perlu diberi pendedahan ialah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, insurans hayat/takaful (termasuk yang menyediakan pakej simpanan) serta amanah saham.

Beliau turut menyarankan supaya pelaburan terhadap emas perlu diberi pertimbangan memandangkan pada masa ini harga emas semakin meningkat, selain nilainya yang stabil. – Bernama

Tiada ulasan: