Khamis, Mei 12, 2011

PERANAN FOMCA DALAM PELAKSANAAN GST


Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST sekali lagi diperkatakan. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Perundingan Bajet 2012, mengatakan cukai pendapatan dan cukai korporat akan dikurangkan apabila GST dilaksanakan. Namun begitu, Perdana Menteri tidak pula menyatakan bilakah GST akan dilaksanakan.

GST mula dicadangkan untuk dilaksanakan di Malaysia ketika pembentangan bajet 2005. Ketika itu, ia dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2007. Walau bagaimanapun, pada 22 Februari 2006, kerajaan mengumumkan kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan GST sehingga pada suatu masa yang akan ditentukan.

Pada 24 November 2009, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan telah bersedia untuk melaksanakan GST. Pembentangan Rang Undang-Undang GST telah dibentangkan kali pertama di Dewan Rakyat pada 16 Disember 2009.

Namun pada 13 Oktober 2010, Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan bahawa pelaksanaan GST akan ditangguhkan bagi membolehkan kerajaan berinteraksi dengan semua lapisan rakyat mengenainya.

Ketika menyatakan tentang GST pada 10 Mei lalu, Perdana Menteri juga meminta badan bukan kerajaan seperti FOMCA memainkan peranan untuk menerangkan kepada rakyat tentang faedah GST.

Selepas pengumuman GST dalam pembentangan bajet 2005, FOMCA telah mula mengorak langkah untuk mengkaji tentang GST dan kesannya kepada pengguna. Pada 6 Disember 2005, FO MCA telah mengadakan sebuah seminar tentang GST, yang berjudul “GST di Malaysia: Adakah Kita Telah Bersedia?” Beberapa orang pakar tentang GST telah membentangkan kertas kerja dalam seminar tersebut, termasuk wakil daripada beberapa buah negara yang telah melaksanakan GST seperti Singapura dan Australia.

Hasil daripada seminar tersebut, FOMCA membuat pendirian bahawa GST merupakan sistem percukaian yang lebih baik dan menyeluruh. Namun begitu, pelaksanaannya hendaklah dilakukan secara yang telus. Dalam masa yang sama rakyat, termasuk sektor perniagaan, perlu diberikan kefahaman tentang GST agar pelaksanaannya tidak menimbulkan masalah.

Selain itu, bagi memastikan pelaksanaan GST tidak diambil kesempatan oleh pihak-pihak tertentu, FOMCA juga meminta supaya diwujudkan Akta Perdagangan Adil dan Akta Persaingan. Ini telah dilaksanakan oleh kerajaan apabila Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan telah berkuatkuasa pada 1 April 2011, manakala Akta Persaingan pula akan dilaksanakan pada 1 Januari 2012.

Jika dilihat daripada pengalaman negara yang telah melaksanakan GST, Australia merupakan salah satu contoh yang baik. Australia mula melaksanakan GST pada 1 Julai 2000. Kerajaan Australia melalui Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC) telah mewujudkan garis panduan bagi menentukan sebarang perubahan harga apabila GST dilaksanakan. ACCC telah mengadakani sesi penerangan tentang GST kepada pihak yang berkaitan serta menerbitkan buku panduan, termasuk buku panduan harga untuk pengguna. Selain itu, ACCC juga diberikan kuasa dalam tempoh 1 Julai 1999 hingga 30 Julai 2002 untuk memantau kedudukan harga barang dan perkhidmatan bagi memastikan tidak ada eksploitasi harga dan kegiatan mengambil untung yang berlebih-lebihan setelah pelaksanaan GST.

Kerajaan Malaysia juga perlu mempunyai perancangan yang sama. Pelbagai pihak sama agensi kerajaan atau NGO memainkan peranan bagi memberikan kesedaran kepada semua pihak yang berkaitan tentang GST.

Dalam hal ini, memang menjadi tanggungjawab persatuan pengguna seperti FOMCA, untuk memberikan penerangan kepada pengguna tentang sesuatu dasar kerajaan yang melibatkan kepentingan pengguna seperti GST. Sudah pasti FOMCA tidak dapat menjelaskan sama ada GST memberi faedah kepada pengguna atau tidak sehinggalah ia benar-benar dilaksanakan. FOMCA juga tidak mahu, apabila GST dilaksanakan, ia akan membebankan pengguna, khususnya golongan yang terpinggir dan berpendapatan rendah.

Oleh itu, kerajaan perlu memberikan jaminan apabila GST dilaksanakan, ia adalah sistem percukaian yang lebih baik berbanding dengan sistem yang diamalkan pada masa ini. Tidak ada gunanya jika kerajaan melaksanakan sesuatu dasar yang akhirnya nanti akan memberi padah kepada kerajaan pula.

Tiada ulasan: