Khamis, Jun 23, 2011

KEDAI RAKYAT 1MALAYSIA PILIHAN BIJAK


Surat & E-Mel, 23 Jun 2011

Pembukaan Kedai Rakyat 1Malaysia, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri pada 22 Jun 2011, amat dialu-alukan oleh para pengguna. Kedai Rakyat 1Malaysia, yang dikendalikan oleh Mydin Mohammed Holding Bhd, pengusaha Pasar Raya Besar Mydin, akan menawarkan barangan pada harga yang lebih rendah. Kedai Rakyat 1Malaysia pertama dibuka di Stesen LRT Kelana Jaya.

Kedai Rakyat 1Malaysia ini akan menjual pelbagai barangan yang telah dibungkus semula dengan jenama ‘Kedai Rakyat 1Malaysia’. Pada masa ini sebanyak 250 jenis barangan telah dibungkus semula di bawah jenama ini.

Usaha mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia ini bertujuan untuk membolehkan pengguna membuat pilihan untuk membeli barang bukan berjenama pada harga yang lebih rendah. Dalam menghadapi cabaran harga barang yang meningkat pada masa ini, kewujudan kedai seperti ini amat diharapkan oleh pengguna.

Berdasarkan kajian, rakyat Malaysia masih memilih produk berjenama apabila membeli barangan, khususnya di pasar raya besar, walaupun wujud jenama gedung pasar raya yang menawarkan harga 30 peratus hingga 40 peratus lebih rendah. Pengguna di Malaysia dikatakan membeli produk jenama gedung sebanyak 14 peratus. Ini bertentangan dengan sikap pengguna di negara maju yang membeli 40 peratus jenama gedung.

FOMCA berharap kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia ini dapat diperluaskan di seluruh negara. Kewujudannya juga tidak sewajarnya hanya untuk menampung keperluan pengguna di kawasan bandar sahaja, tetapi juga pengguna di kawasan luar bandar. Ini dapat membantu para pengguna di luar bandar yang turut menghadapi masalah kenaikan harga barangan.

Selain membantu pengguna untuk membeli pada harga yang lebih rendah, kedai ini juga boleh dijadikan sebagai penanda aras harga barangan di pasaran sebagai perbandingan kepada pengguna. Dengan ini, kedai-kedai yang lain tidak sewenang-wenangnya meletakkan harga yang lebih tinggi daripada yang sepatutnya.

Kewujudan Kedai Rakyat 1Malaysia ini perlu dilihat sebagai tidak bertujuan untuk melumpuhkn operasi kedai runcit yang lain, tetapi untuk mewujudkan persaingan yang sihat dan menyediakan pilihan kepada pengguna. Kedai runcit lain masih terus beroperasi dengan menjual barang berjenama yang masih mempunyai penggemarnya tersendiri.

Kedai Rakyat 1Malaysia boleh menjadi tempat untuk memasarkan produk yang dihasilkan oleh pengilang tempatan serta pengusaha tanaman dan ternakan tempatan, yang mungkin menghadapi masalah untuk memasarkan produk mereka di kedai-kedai dan pasar raya besar. Ini sudah pasti dapat membantu pengusaha tempatan di samping memperluaskan pasaran produk keluaran tempatan.

FOMCA juga berharap operasi Kedai Rakyat 1Malaysia ini akan berterusan dalam tempoh yang panjang. Kegagalan rangkaian pasar mini G Mart yang dikendalikan oleh Pernas Edar perlu dijadikan pengajaran agar tidak berulang kembali.

Selasa, Jun 21, 2011

PENJUAL KERETA TAK RUGI



21 Jun 2011


GABUNGAN Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menganggap dakwaan Persekutuan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM) yang berpendapat industri kereta terpakai tempatan dijangka mengalami kerugian sehingga RM3 bilion nilai pasaran industri tahun ini berikutan pindaan Akta Sewa Beli 1967 (pindaan 2010), adalah tidak berasas.

Pengarah Komunikasinya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pindaan akta itu melindungi pengguna dan memang tepat pada masanya dilaksanakan.

“Walaupun pindaan akta ini banyak memihak pengguna, saya berpendapat ia tidak akan merugikan penjual seperti didakwa.

“Mengenai wang tempahan satu peratus daripada harga jualan kenderaan yang boleh diambil semula jika pembatalan pembelian berlaku, saya rasa ia wajar kerana sebelum ini banyak kes wang tempahan tidak dipulangkan penjual walaupun pembatalan bukan dibuat oleh pengguna,” katanya.

Semalam, Bisnes Metro melaporkan kerisauan FMCCAM berhubung pelaksanaan pindaan Akta Sewa Beli 1967 (pindaan 2010) yang dilaksanakan minggu lalu dan menjangka industri bakal mengalami kerugian sehingga RM3 bilion iaitu kira-kira 20 peratus daripada RM15 bilion nilai pasaran industri tahun ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, berikutan pelaksanaan pindaan akta terbabit, pengguna kini mempunyai lebih banyak pilihan dan keyakinan untuk membeli kenderaan.

“Fomca memang sejak dulu mendesak kerajaan mengkaji akta ini dan menyokong penuh pindaan dilakukan,” katanya.

Khamis, Jun 09, 2011

SEMAK LABEL ALAT PERMAINAN UNTUK ANAK: FOMCA



08 Jun, 2011 17:37 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Ibu bapa disaran lebih peka terhadap tahap keselamatan alat permainan kanak-kanak dengan menyemak tanda "MC" (Malaysian Conformity) dan label peringkat umur pada barangan itu sebelum membelinya.

Bendahari Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata selain perlunya meneliti tahap keselamatan alat permainan, ibu bapa juga perlu bijak memilih alat permainan yang sesuai untuk anak mereka mengikut kesesuaian peringkat umur.

"Alat permainan ini sebenarnya satu medium yang dapat membantu ke arah tumbesaran yang lebih seimbang bagi kanak-kanak dan menjana daya imaginasi tetapi jika tersalah beli, contohnya senapang untuk kanak-kanak berusia tiga tahun, kita bimbang ia boleh mendatangkan risiko kecederaan.

"Anak-anak pada tahap itu tidak ada rangsangan untuk mengetahui tahap bahaya sesuatu alat permainan dan di sinilah peranan ibu bapa diperlukan untuk menentukan supaya alat permainan yang dibeli itu selamat digunakan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Isu keselamatan alat permainan kanak-kanak mendapat perhatian kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah mengeluarkan satu garis panduan standard keselamatan bagi alat permainan kanak-kanak.

Berkuatkuasa Februari lepas, semua alat permainan kanak-kanak sama ada buatan tempatan mahu pun yang diimport, diwajibkan mempunyai tanda "MC" sebagai bukti telah mematuhi garis panduan yang dikeluarkan kementerian itu.

Sirim Qas International Sdn Bhd adalah agensi yang bertanggungjawab menilai daripada segi pematuhan standard keselamatan bagi alat permainan kanak-kanak yang dikemukakan pihak industri sebelum laporan penilaian dihantar ke kementerian itu untuk tindakan selanjutnya.

Mohd Yusof berharap kempen kesedaran terhadap keselamatan alat permainan diperluaskan sama ada menerusi risalah atau pun media.

-- BERNAMA

Khamis, Jun 02, 2011

BIMBANG HARGA NAIK APABILA TARIF ELEKTRIK MENINGKAT



Mulai 1 Jun 2011, tarif elektrik bagi sektor tertentu, termasuk pengguna domestik akan meningkat dengan kadar purata sebanyak 2.23 sen per kilowatt sejam (kwj) atau 7.12 peratus. Walau bagaimanapun semakan tarif elektrik ini tidak melibatkan pengguna yang menggunakan elektrik pada kadar 300 kwj, atau RM77.00 sebulan. Ini melibatkan 4.4 juta atau 75 peratus pengguna domestik.

Begitu juga kerajaan akan terus memberikan bekalan elektrik secara percuma kepada pengguna yang bil elektriknya di bawah RM20 sebulan sehingga Disember 2011. Pemberian percuma ini sebagaimana yang dibentangkan dalam bajet 2011.

Walaupun rata-ratanya pengguna domestik tidak akan mengalami kesan drastik terhadap semakan tarif elektrik, namun apa yang dibimbangkan ialah kemungkinan berlakunya kenaikan harga barang yang disebabkan oleh kenaikan tarif elektrik tersebut. Ini berlaku disebabkan sektor industri, termasuk industri kecil, turut mengalami tempias kenaikan tarif elektrik. Lazimnya apabila sektor ini mengalami kenaikan kos, maka kenaikan tersebut akan dilepaskan semula kepada pengguna dalam bentuk kenaikan harga barang.

Kebimbangan pengguna ini ada asasnya berdasarkan pengalaman kenaikan tarif elektrik pada tahun 2008 dahulu. Begitu juga dengan kenaikan bahan api dan gula pada akhir 2010 dan awal 2011.

Kerajaan mengatakan bahawa kenaikan tarif elektrik ini hanya membabitkan kenaikan sedikit kos operasi antara RM4.00 hingga RM5.00 sebulan. Namun terdapat peniaga yang menaikkan harga secara melampau, melebihi kenaikan kos yang sebenarnya mereka tanggung.

Oleh itu kerajaan perlu membuat pemantauan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga dengan sewenang-wenangnya. Dalam hal ini kerajaan perlu melaksanakan penguatkuasaan menurut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dengan tegas.

Dalam masa yang sama juga, pengguna perlu melakukan penjimatan dalam menggunakan tenaga elektrik. Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh FOMCA semasa Kempen Penjimatan Tenaga, mendapati kebanyakan pengguna sering membazirkan tenaga elektrik. Oleh itu mereka perlu menjimatkan penggunaan elektrik di rumah mereka dengan menggunakan peralatan elektrik jimat tenaga serta menutup peralatan elektrik apabila tidak digunakan, dan bukannya meletakkannya pada mode “standby”. Demikian juga apabila keluar bilik, tutup dahulu lampu dan kipas.

Banyak lagi tip penjimatan yang boleh dilakukan oleh pengguna sekiranya mereka ingin menjimatkan penggunaan elektrik. Bak kata pepatah, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.”

Kerajaan juga perlu meneruskan usaha untuk memperkembangkan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui. Kebergantungan kepada sumber tenaga yang berasaskan fosil pada masa ini dalam menjana tenaga elektrik akan terus membebankan sektor penjanaan tenaga elektrik berikutan daripada harga bahan bakar yang tidak stabil dan terus meningkat.