Selasa, Oktober 25, 2005

Pasar Raya Tidak Patuh Skim Harga - Fomca

PETALING JAYA, 25 Okt (Bernama) -- Gabungan Persatuan- Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Selasa mendakwa 90 peratus pasar raya dan pasar raya besar yang dipantaunya tidak mematuhi Skim Kawalan Harga yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Presiden Fomca N. Marimuthu berkata pemantauan itu dilakukan selama enam hari sejak 15 Okt lepas terhadap 23 barangan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan 2005/2006.

Katanya meskipun tanda harga siling sekilogram dipamerkan, tetapi pasar raya berkenaan memperdaya pengguna dengan menjual barangan pada harga yang lebih tinggi bagi barangan yang had beratnya tidak sampai sekilogram.

"Ada pasar raya menjual bawang merah pada RM2.90 bagi setiap 500 gram. Ini bererti mereka menjual pada harga RM4.80 satu kilogram, melebihi harga siling yang ditetapkan pada RM4 sekilogram," katanya pada sidang akhbar di sini.

Marimuthu berkata taktik kotor itu merupakan sebahagian daripada 402 kes pelbagai kesalahan yang dikesan gabungan itu sepanjang tempoh pemantuan di seluruh Semenanjung.

Kesalahan lain ialah menjual melebihi harga siling, meletakkan tanda harga mengelirukan pengguna, gagal mempamerkan tanda harga, enggan menjual barang kawalan, gagal pamer tanda harga berwarna merah jambu dan meletak perihal palsu.

"Semua ini telah kami laporkan kepada kementerian melalui e-aduan," katanya sambil meminta bahagian penguatkuasaan kementerian itu supaya lebih teliti menjalankan pemeriksaan mereka.

Beliau turut mencadangkan setiap peniaga mempamerkan permit yang dikeluarkan kementerian selain meminta pengguna lebih peka terhadap barangan yang dijual sebagai langkah mengurangkan penipuan oleh peniaga.

-- BERNAMA

Isnin, Oktober 03, 2005

Surat Pilihan: Kempen pengguna bijak wajar diperkasa

SARANAN Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, supaya rakyat mengamalkan sikap berjimat cermat, tidak boros dan membazir, amat wajar. Dengan kenaikan kos hidup yang menghimpit pengguna kesan kenaikan harga minyak dan barangan, langkah ini perlu dilakukan bagi mengurangkan beban kewangan.

Gaya hidup perlu diubah dan disesuaikan dengan pendapatan bagi mengelakkan wang dibelanjakan untuk tujuan kurang bermanfaat. Kurangkan makan di luar, penggunaan kad kredit dan telefon bimbit.

Bagaimanapun, langkah berjimat cermat saja tidak mencukupi jika tidak ada pilihan diberikan kepada pengguna.

Pengguna terpaksa menggunakan pengangkutan sendiri kerana pengangkutan awam masih belum memuaskan, manakala harga barang dinaikkan sesuka hati kerana undang-undang tidak cukup untuk mengawal sikap mementingkan keuntungan.

Justeru, kerajaan perlu mewujudkan peraturan khusus bagi membanteras kegiatan mementingkan keuntungan seperti menggubal Akta Perdagangan Adil, mewujudkan Suruhanjaya Harga dan sebagainya.

Selain itu, prinsip Rukun Niaga perlu disemaikan di kalangan peniaga supaya dapat melahirkan peniaga beretika. Kawalan kendiri oleh persatuan peniaga juga dapat membantu mewujudkan peniaga yang beretika ini.

Pengguna juga perlu mendalami ilmu kepenggunaan, khususnya hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.

Kempen ‘Pengguna Bijak’ oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlu diperkasakan bagi mencapai matlamat melahirkan peniaga beretika dan pengguna bijak.

Galakan dan rangsangan perlu diberikan agar kenderaan persendirian menggunakan kenderaan gas asli (NGV) seperti mengawal harga peralatan mengubah suai enjin untuk penggunaan NGV pada tahap yang mampu dibayar pengguna, khususnya berpendapatan rendah.

Stesen minyak yang menyediakan bekalan NGV perlu diperluas ke seluruh negara dan kereta keluaran nasional hendaklah mengeluarkan kenderaan menggunakan dwibahan bakar, iaitu petrol dan NGV.

Kemudahan pengangkutan awam perlu diperkemaskan dan bersepadu bagi semua sistem pengangkutan bas, LRT, monorel dan komuter kerana pada masa ini pengguna masih menghadapi kesukaran menukar sistem pengangkutan.

Penggunaan tenaga elektrik yang cekap perlu diperluaskan kepada pengguna domestik melalui kempen pendidikan mengenai pengetahuan penjimatan tenaga elektrik di kalangan pengguna.

Pendidikan mengenai penjimatan menggunakan air. Untuk tujuan ini, pemaju perumahan perlu membina rumah yang dapat mengurangkan penggunaan tenaga elektrik.

Insentif dan galakkan perlu diberikan kepada pemaju perumahan yang berbuat demikian.

Jika langkah yang dicadangkan ini dapat diadakan, pengguna dapat membuat perancangan bagi berjimat cermat dan mengurangkan kos perbelanjaan sara hidup.

MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN,
Presiden Persatuan Pengguna
Selangor dan Wilayah Persekutuan.