Rabu, Januari 31, 2007

HOSPITAL SWASTA PERLU TUBUHKAN LEMBAGA PELAWAT

Cadangan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek agar hospital swasta yang mempunyai 50 katil dan ke atas menubuhkan Lembaga Pelawat amat dialu-alukan. Ini bagi mencontohi langkah penubuhan badan seumpama itu di hospital kerajaan yang dianggotai oleh individu-individu yang aktif dalam masyarakat.

Penubuhan Lembaga Pelawat ini amat wajar sekali kerana ia dapat mengelakkan timbulnya masalah hospital swasta yang beroperasi tanpa berlesen atau tidak menjalankan tanggungjawab sosial terhadap pesakit kecemasan.

Di samping itu, Lembaga Pelawat ini juga turut memantau segala operasi hospital tersebut khususnya dalam aspek keselamatan pesakit. Selain itu, ia juga berperanan menyalurkan ketidakpuasan hati pengguna untuk perhatian pentadbir hospital swasta berkenaan.

Dalam pada itu, FOMCA juga meminta agar Lembaga Pelawat ini dianggotai oleh pelbagai peringkat masyarakat, khususnya dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan. FOMCA sendiri, walaupun telah beberapa kali meminta agar dimasukkan dalam Lembaga Pelawat hospital kerajaan, tetapi tidak dilayani. Kementerian Kesihatan Malaysia wajar mengkaji semula struktur keahlian Lembaga Pelawat Hospital ini agar ia dapat berperanan secara aktif bagi menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini pada tahap yang memuaskan.

Along boleh dibendung menerusi akta baru

CADANGAN Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar peminjam ceti haram atau along dikenakan tindakan perlu diberikan perhatian serius oleh kerajaan. Langkah ini satu usaha membanteras kegiatan ceti haram ini kerana tiada peminjam tiadalah along.

Kesukaran mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap ceti haram ini yang sebahagiannya berlindung di sebalik syarikat pemberi pinjam wang berlesen perlu diatasi. Apatah lagi peminjam menggunakan khidmat ceti ini sedia maklum mengenai kadar faedah tinggi dikenakan, di samping tindakan yang bakal diambil sekiranya gagal menjelaskan pinjaman berkenaan.

Pada masa sama, pihak berkuasa perlu terus memantau dan mengambil tindakan terhadap peminjam tidak berlesen ini. Ini termasuk pemantauan terhadap syarikat pemberi pinjam wang berlesen yang turut beroperasi seperti ceti haram.

Mereka boleh mengenakan kadar faedah tinggi. Menurut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, kadar faedah yang boleh dikenakan adalah 12 peratus setahun bagi pinjaman berjamin atau 18 peratus setahun bagi pinjaman tanpa jaminan.

Tidak dinafikan ada di kalangan peminjam wang ini terdiri daripada mereka yang terdesak untuk mendapatkan sejumlah wang tertentu mendapatkan khidmat ceti haram ini. Ia disebabkan kesukaran mendapatkan wang menerusi saluran sedia ada seperti syarikat kewangan, koperasi dan sebagainya yang didakwa mengenakan syarat ketat.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mencadangkan agar syarikat kewangan, koperasi atau badan tertentu seperti Bank Islam, Bank Rakyat, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) dan sebagainya mewujudkan tabung pinjaman tanpa faedah atau Qardhul Hassan untuk membantu golongan terdesak ini.

Selain itu, bagi memastikan pemberian lesen dan penguat kuasa terhadap pemberi pinjaman berlesen ini dilakukan secara terkawal, Fomca mencadangkan agar Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang kini di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dipindahkan kepada Kementerian Kewangan atau pun disepadukan di bawah akta baru yang perlu diwujudkan iaitu Akta Kredit Pengguna.

Akta ini menggabungkan dua akta berkaitan kewangan lain seperti Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 dan Akta Sewa Beli 1967. Akta ini diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Sebenarnya cadangan mewujudkan Akta Kredit Pengguna ini sudah lama diutarakan Fomca, namun masih belum mendapatkan maklum balas yang baik daripada kerajaan.

Fomca berasakan cadangan ini perlu diberikan perhatian memandangkan kesukaran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengendalikan akta di bawah bidang kuasanya seperti Akta Pemegang Pajak Gadai dan Akta Pemberi Pinjam Wang, di samping kelemahan penguatkuasaan kementerian berkenaan.

Surat & Emel, Berita Harian
31 Januari 2007