Cadangan Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek agar hospital swasta yang mempunyai 50 katil dan ke atas menubuhkan Lembaga Pelawat amat dialu-alukan. Ini bagi mencontohi langkah penubuhan badan seumpama itu di hospital kerajaan yang dianggotai oleh individu-individu yang aktif dalam masyarakat. Penubuhan Lembaga Pelawat ini amat wajar sekali kerana ia dapat mengelakkan timbulnya masalah hospital swasta yang beroperasi tanpa berlesen atau tidak menjalankan tanggungjawab sosial terhadap pesakit kecemasan.
Di samping itu, Lembaga Pelawat ini juga turut memantau segala operasi hospital tersebut khususnya dalam aspek keselamatan pesakit. Selain itu, ia juga berperanan menyalurkan ketidakpuasan hati pengguna untuk perhatian pentadbir hospital swasta berkenaan.
Dalam pada itu, FOMCA juga meminta agar Lembaga Pelawat ini dianggotai oleh pelbagai peringkat masyarakat, khususnya dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan. FOMCA sendiri, walaupun telah beberapa kali meminta agar dimasukkan dalam Lembaga Pelawat hospital kerajaan, tetapi tidak dilayani. Kementerian Kesihatan Malaysia wajar mengkaji semula struktur keahlian Lembaga Pelawat Hospital ini agar ia dapat berperanan secara aktif bagi menjadikan perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini pada tahap yang memuaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan