Jumaat, Ogos 03, 2007

BANTAH HENTI OPERASI STESEN MINYAK 24 JAM

GABUNGAN Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) membantah keputusan Persatuan Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menamatkan operasi stesen minyak selama 24 jam.

Tindakan ini mengetepikan tanggungjawab sosial stesen minyak dalam memberikan perkhidmatan kepada para pengguna.

Dalam hal ini, FOMCA bersetuju dengan pendirian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang menolak keputusan PDAM itu.

FOMCA berharap KPDNHEP bersikap tegas bagi memastikan keputusan ini tidak dilaksanakan.

Begitu juga keputusan PDAM untuk meminta pengguna menanggung caj kad kredit apabila membeli minyak.

Penggunaan kad kredit merupakan suatu yang lumrah pada masa ini, walaupun ia tidak sewajarnya dijadikan sebagai satu amalan.

Dalam keadaan perniagaan lain yang menerima kad kredit sebagai salah satu kaedah pembayaran pun tidak mengenakan caj, apatah lagi bagi stesen minyak, yang rata-rata operasinya menguntungkan.

Sepatutnya kemudahan kad kredit ini perlu disediakan khususnya di pam-pam kerana ia dapat mengurangkan operasi dan dapat mengurangkan pembayaran di kaunter.

Mungkin penggunaan kad kredit boleh dijadikan sebagai kaedah pembayaran bagi operasi waktu malam bagi mengelakkan daripada kejadian stesen minyak dirompak.

Cuma pastikan tahap keselamatannya dipertingkatkan seperti mengelakkan daripada penggunaan kad kredit yang diklon.

Jika dilihat daripada keputusan PDAM ini, pengguna dijadikan sebagai mangsa kepada masalah yang dihadapi oleh mereka.

Sepatutnya PDAM perlu mengadakan perbincangan dengan pengeluar-pengeluar minyak, dan jika perlu, mendesak agar mereka juga menampung sebahagian daripada kos yang ditanggung oleh stesen minyak.

Pengeluar minyak mengaut keuntungan yang besar dalam keadaan harga minyak yang tinggi di pasaran antarabangsa.

Begitu juga dengan jumlah subsidi yang besar dan pelepasan cukai yang diberikan oleh kerajaan. Sepanjang bulan Januari hingga Jun 2007, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM2.9 bilion subsidi minyak.

Pengeluar minyak tidak boleh bersikap lepas tangan’ terhadap masalah yang dihadapi oleh pengusaha stesen minyak dan membiarkan semua masalah itu akhirnya ditanggung pula oleh pengguna.

Industri minyak dianggap sebagai industri yang mewah. Pengeluar-pengeluar minyak termasuk Petronas terus mengumumkan keuntungan besar saban tahun.

Namun pengusaha stesen minyak, sebagai peruncit utama bagi pengeluar minyak ini, masih mengeluh tentang operasi mereka yang tidak menguntungkan.

Demikian juga pengguna akan terus dibebankan dengan kenaikan harga minyak apabila harga minyak meningkat di peringkat antarabangsa.

Adakah wajar pengguna diberikan tekanan bagi menampung masalah pengusaha stesen minyak ini dalam bentuk waktu operasi yang dihadkan dan terpaksa pula menanggung caj pengguna kad kredit?


Forum, Utusan Malaysia
3 Ogos 2007

Tiada ulasan: