Isnin, Ogos 06, 2007

KELEMAHAN SKIM BARU HOSPITAL KERAJAAN

GABUNGAN Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) tidak bersetuju dengan langkah kerajaan untuk melaksanakan skim bayaran penuh pesakit di hospital kerajaan mulai bulan ini. Walaupun pada dasarnya Fomca bersetuju bahawa doktor dan kakitangan perubatan sektor awam juga perlu diberi imbuhan yang baik setanding dengan rakan mereka di sektor swasta, namun mewujudkan perkhidmatan separa swasta di hospital kerajaan tidak sewajarnya dijadikan sebagai penyelesaian kepada masalah ini.

Hospital swasta memperoleh pendapatan daripada pelbagai perkhidmatan seperti prosedur pembedahan, kejururawatan, pentadbiran, penggunaan kemudahan dan perubatan.

Caj yang dikenakan oleh hospital swasta ini di luar tahap kemampuan bagi golongan tertentu. Penubuhan skim bayaran penuh pesakit juga mempunyai struktur yang sama seseperti di hospital swasta. Adakah ini petanda bagi penswastaan keseluruhan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam di negara ini?

Cadangan mewujudkan skim bayaran penuh pesakit ini adalah satu langkah yang wajar. Namun, jika diperhalusi secara mendalam, sekiranya langkah ini dilaksanakan, ia bakal memberikan impak besar kepada pengguna berpendapatan rendah.

Pada masa ini, kurang daripada 30 peratus doktor pakar berkhidmat di hospital kerajaan, untuk menampung keperluan penduduk yang bergantung kepada perkhidmatan hospital kerajaan. Kewujudan skim bayaran penuh pesakit ini akan menambahkan lagi beban kerja doktor pakar ini. Ia boleh mengakibatkan penurunan kualiti perkhidmatan mereka. Keadaan ini juga dikhuatiri boleh membahayakan nyawa pesakit jika mereka melakukan kesilapan.

Skim ini juga mempunyai kebarangkalian yang besar untuk disalahgunakan. Ada di kalangan doktor pakar ini lebih suka merujuk pesakit mereka untuk menggunakan perkhidmatan swasta doktor pakar untuk mendapatkan perkhidmatan lebih baik.

Selain beban kerja rawatan, doktor pakar hospital kerajaan juga bertanggungjawab menyelia dan melatih pelatih doktor dan pasca siswazah perubatan. Justeru, kewujudan skim ini akan membahagikan fokus pakar ini dalam mengimbangi di antara menyediakan latihan dan amalan swasta mereka.

Ini sudah tentu akan mewujudkan konflik kepentingan. Jika keadaan ini berterusan, sudah tentu akan menjejaskan kualiti dan kecekapan bakal pakar perubatan.

Dengan infrastruktur dan sumber tenaga kerja yang terhad, skim ini akan menyebabkan pesakit dipinggirkan, khususnya wad kelas dua dan tiga. Begitu juga kemudahan dan peralatan perubatan serta kakitangan perubatan akan dibuat agihan semula bagi menampung keperluan pesakit skim bayar penuh biaya rawatan ini.

Beberapa tahun lalu, sebagai sebahagian daripada dasar pengkorporatan kerajaan, hospital kerajaan diarah supaya meningkatkan kadar pulangan semula kos yang dikeluarkan.

Dalam proses penyediaan pengkorporatan dan menambah kadar pulangan semula kos, maka kerajaan mengurangkan belanja perubatan, yang sepatutnya diberikan kepada golongan berpendapatan rendah ini. Golongan berada tidak begitu bergantung kepada perkhidmatan hospital kerajaan, malah lebih selesa menggunakan perkhidmatan hospital swasta.

Keadaan ini secara jelas menunjukkan rakyat miskin semakin dinafikan hak untuk mendapatkan kemudahan perubatan di hospital kerajaan apabila khidmat swasta diwujudkan di hospital kerajaan.

Langkah reformasi hospital kerajaan ini selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan pelancongan kesihatan di negara ini. Ini menimbulkan kegusaran di kalangan pengguna apabila keutamaan diberikan kepada meningkat kemudahan bagi memenuhi permintaan pasaran ekonomi dan bukannya untuk menampung keperluan asas rakyat.

Bagi mengurangkan pengaliran keluar doktor kerajaan ke sektor swasta, kerajaan perlu menaikkan imbuhan pendapatan mereka. Sebuah suruhanjaya perkhidmatan berasingan untuk sektor kesihatan perlu diwujudkan bagi mengkaji secara sistematik imbuhan doktor dan kakitangan perubatan sektor kesihatan awam.

DATUK MARIMUTHU NADASON,
Presiden Gabungan Persatuan
Pengguna Malaysia (Fomca).

Surat & Emel, Berita Harian
4 Ogos 2007

Tiada ulasan: