Khamis, September 13, 2007

PENIAGA NAIK HARGA PATUT TERUS DISAMAN

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) kesal dengan tindakan Persatuan Pemborong Ayam Wilayah Persekutuan, Persatuan Penjual Ayam dan Itik Perak (PADIP) dan segelintir peniaga ayam di beberapa pasar besar yang menjual ayam melebihi harga siling yang ditetapkan. Dilaporkan ada peniaga ayam yang menjual sehingga RM7.00 sekilogram.

Tindakan Persatuan Pemborong Ayam Wilayah Persekutuan, PADIP dan para peniaga yang menaikkan harga ayam ini dengan sewenang-wenangnya itu seolah-olah ingin mencabar ketegasan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). FOMCA meminta KPDNHEP tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap tindakan yang tidak bertanggungjawab ini.

Pada setiap tahun apabila tiba musim perayaan, KPDNHEP menguatkuasakan peraturan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan dengan meletakkan harga siling bagi beberapa barang keperluan harian. Ia bertujuan agar harga barang keperluan harian adalah berpatutan dan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan. Bagi musim perayaan Aidilfitri dan Deepavali tahun ini, KPDNHEP menyenaraikan 17 barang sebagai barang-barang harga terkawal.

Namun begitu, masih terdapat segelintir peniaga yang tidak mematuhi peraturan ini, seperti tidak meletakkan label berwarna merah jambu, barang yang dikawal harganya tidak mempunyai stok, menggantikan nama barang-barang yang dikawal dengan nama lain, seperti ikan kembong dikatakan sebagai ikan mabong dan sebagainya.

FOMCA berharap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan bertindak tegas terhadap mana-mana peniaga yang melanggar peraturan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan ini, sebagaimana amaran menterinya, Datuk Hj Shafie Hj Apdal, pada Majlis Perjumpaan Persediaan Menghadapi Musim Perayaan kelmarin.

Surat & Emel, Berita Harian
13 September 2007

Tiada ulasan: