Jumaat, September 14, 2007

MUSIM PERAYAAN MENGUJI KEBIJAKSANAAN PENGGUNA

14 September, 2007 10:05 AM
Oleh Melati Mohd Ariff

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Musim perayaan tahun ini mungkin menguji sejauh mana bijaknya masyarakat pengguna di negara ini menguruskan kewangan mereka, terutamanya kakitangan awam yang menerima kenaikan gaji Julai lepas.

Bukan sahaja kerana harga barangan yang dilaporkan semakin naik malah kemungkinan ketiadaan bonus bagi 1.2 juta kakitangan awam seperti yang dinikmati tahun-tahun sebelumnya.

Namun, jika dilihat daripada kesibukan pusat membeli belah sejak akhir-akhir ini, nampak gayanya orang ramai masih berbelanja bertali arus. Jenguk sahaja hipermarket di hujung minggu, sentiasa penuh.

Begitu juga di gedung-gedung membeli belah yang lain, perkara yang sama dapat dilihat dengan pelbagai gimik jualan musim perayaan, jualan murah, jualan stok penghabisan dan jualan ulang tahun.



HARGA OH HARGA

Harga barang dan musim perayaan bagaikan lagu dan irama yang tidak boleh dipisahkan cuma pengguna mendengar nada yang sumbang, tiada kemerduan alunannya.

Berbual dengan suri rumah atau pengusaha gerai makan, perkara pertama yang pasti menjadi keluhan panjang ialah kenaikan harga barangan perlu.

Ada peniaga yang secara terang-terangan mengambil keuntungan daripada kenaikan gaji yang dinikmati kakitangan awam di sebalik Ops Gaji yang dilancarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bermula 21 Mei lepas.

Begitu juga dengan Skim Kawalan Harga sempena Aidilfitri yang diumumkan KPDNHEP. Belum pun skim ini berkuat kuasa pada 13 September iaitu hari pertama umat Islam negara ini menjalani ibadah puasa, sudah ada peniaga yang ingkar.

Pengumuman harga siling RM5.60 sekilo untuk ayam jelas tidak diendahkan segelintir peniaga sehingga ia mencecah RM7 sekilo meskipun KPDNHEP dilaporkan ketika itu sedang berunding dengan Persatuan Peniaga Ayam Itik Perak yang mahukan harga ayam ditetapkan pada RM6.50 sekilo.

"Tarik tali" antara Persatuan ini dengan KPDNHEP akhirnya melihat harga ayam RM5.60 sekilo yang diumumkan sebelum ini dibatalkan dan dinaikkan kepada RM6.00 sekilo.



PENGGUNA TERTEKAN

Menurut Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, pengguna pada masa ini sememangnya agak tertekan dengan kenaikan harga barangan keperluan.

"Meskipun kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna memberi jaminan harga barangan terkawal dan mengadakan operasi pemantauan melalui Ops Gaji, namun ia gagal membantu dalam mengawal kenaikan harga barangan," kata beliau kepada Bernama.

Jelasnya, keadaan itu berlaku kerana undang-undang yang wujud pada masa ini hanya mengawal harga barangan yang terletak di bawah skim kawalan harga menurut Akta Kawalan Harga 1946.

"Tindakan hanya boleh dikenakan terhadap peniaga yang gagal meletakkan label atau senarai harga. Itu pun semata-mata kepada peniaga runcit sahaja tetapi tidak dikenakan kepada pengeluar atau pemborong.

"Kadangkala wujud keadaan di mana pengeluar atau pemborong menjual pada harga yang melebihi harga siling yang ditetapkan. Oleh itu, peniaga akan menghadapi dilema untuk menjual barangan itu. Keadaan inilah yang berlaku ketika krisis gula dan minyak masak dahulu," kata Mohd Yusof.



NASIB PEKERJA SEKTOR SWASTA

Kenaikan gaji yang dinikmati oleh 1.2 juta kakitangan awam bermula Julai lalu sememangnya melegakan, ditambah pula dengan pemberian elaun sara hidup (cola).

Bagaimanapun, `durian runtuh' ini tidak dinikmati oleh mereka yang bekerja dengan sektor swasta.

Menurut Mohd Yusof, golongan itu begitu merasai tekanan apabila harga barangan meningkat, lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak mendapat kenaikan gaji secara berkala.

"Syarikat swasta juga tidak memberikan pekerja mereka elaun sara hidup (cola). Mungkin syarikat multinasional, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat besar ada memberikan imbuhan yang baik kepada pekerja mereka.

"Bagaimana pula dengan syarikat kecil, industri kecil dan sederhana, petani, nelayan dan sebagainya?" tanya beliau.



TINJAUAN HARGA

Sebagai usaha untuk memantau harga barangan, FOMCA menubuhkan Pusat Pemantauan Perdagangan dan Perkhidmatan Nasional (5PN) pada 2006 bertujuan memantau barangan dan perkhidmatan pengguna.

"Penubuhan 5PN ini sebenarnya selaras dengan tiga fungsi utama yang wajar dilakukan Persatuan Pengguna iaitu pendidikan pengguna, pengendalian aduan (Pusat Khidmat Aduan Pengguna) dan pemantauan barangan dan perkhidmatan," jelas Mohd Yusof.

Beliau memberitahu, pada awal penubuhan 5PN, dua aktiviti pemantauan dilakukan iaitu memantau dakwaan pasar raya apabila mereka membuat jualan mega atau jualan murah.

Untuk tujuan tersebut, tambahnya, FOMCA mewujudkan pada awal Julai lepas pasukan pemantau yang meliputi setiap negeri kecuali Sabah dan Sarawak.

Pasukan tersebut dikehendaki memantau 37 barangan di empat buah pasar raya besar yang utama.

"Pemantauan akan dibuat berdasarkan katalog yang dikeluarkan. Pemantau kami akan pergi ke pasar raya sebelum dan selepas harga jimat dilaksanakan. Pemantauan ini dibuat bagi mengetahui sama ada terdapat perubahan atau tidak.

"Berdasarkan pemantauan yang dilakukan, ada pasar raya yang sebenarnya hanya melakukan gimik apabila melakukan jualan murah. Harga barangan sebelum dan selepas jualan murah tidak berubah," jelas Mohd Yusof.

Beliau turut memberitahu taktik pasaraya yang tidak menjual susu manis isian yang diletakkan di bawah skim kawalan harga. "Pengguna tidak mempunyai pilihan selain daripada terpaksa membeli susu pekat manis krimer yang tidak dikawal harganya," jelasnya.



SYOR FOMCA

Pengguna sememangnya terpaksa berhadapan dengan pelbagai karenah peniaga. Antara sedar atau tidak, pengguna sentiasa menjadi mangsa penipuan segelintir peniaga yang tidak takut langsung jika dikenakan tindakan undang-undang.

FOMCA sekali lagi mendesak KPDNHEP supaya menggubal Akta Perdagangan Adil bagi mengawal selia aktiviti perniagaan yang bersifat mengambil untung (profiteering).

Dengan adanya Akta itu, jelas Mohd Yusof, pihak KPDNHEP boleh mengenakan tindakan terhadap peniaga yang mengaut keuntungan secara berlebihan.

Dalam masa yang sama, beliau sekali lagi mengulangi syor FOMCA supaya ditubuhkan Suruhanjaya Harga.

"Pada masa ini permohonan kenaikan harga barangan yang dikawal dan tarif perkhidmatan (syarikat utiliti atau konsesi penswastaan) hanya dibuat oleh pihak pengeluar atau syarikat dengan kerajaan sahaja tanpa pembabitan wakil daripada pengguna.

"Suruhanjaya Harga yang dianggotai wakil daripada agensi kerajaan, syarikat swasta dan wakil persatuan pengguna akan menimbangkan kewajaran permohonan menaikkan harga barangan atau perkhidmatan," kata Mohd Yusof.

Malah, katanya, Suruhanjaya Harga juga boleh membuat keputusan tentang harga barangan atau perkhidmatan sekiranya harga atau tarif sudah lama tidak disemak semula, walaupun tiada permohonan dibuat.



GUNA HAK PENGGUNA

Perkembangan hari ini ternyata semakin menuntut masyarakat pengguna di negara ini supaya benar-benar menggunakan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna.

Menurut Mohd Yusof, pengguna perlu melaksanakan empat elemen yang diuar-uarkan dalam kempen pengguna bijak KPDNHEP iaitu beli barangan berkualiti, buat perbandingan harga, pilih perkhidmatan terbaik dan buat pilihan yang tepat.

Pengguna juga, katanya perlu tampil membuat aduan sekiranya mereka mendapati kenaikan harga barangan yang mendadak di pasaran.

Aduan boleh disalurkan ke Bahagian Penguat kuasa KPDNHEP melalui talian hotline 1-800-886-800, laman web: http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau sms: 32255 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional melalui telefon 03-78779000 atau laman web: www.nccc.org.my.

"Aduan daripada pengguna amat penting kerana ia membantu FOMCA untuk mengetahui sekiranya berlaku kenaikan harga barangan yang mendadak di pasaran, yang mungkin disebabkan manipulasi harga oleh pihak pengeluar, pemborong atau peruncit.

"Di samping itu, aduan ini juga membolehkan pihak penguat kuasa melakukan pemeriksaan terhadap premis berkenaan," kata Mohd Yusof.

Walau apapun saranan, syor atau penguatkuasaan yang dibuat, segala-galanya masih terletak di tangan pengguna. Sama ada mereka mahu berbelanja seperti tiada penghujungnya atau menjadi lebih berhemat dan bijak, membeli apa yang mampu dibeli.

Malah pengguna juga boleh maju setapak lagi dengan memboikot peniaga yang tamak, pilihlah!

-- BERNAMA

Tiada ulasan: