Jumaat, April 04, 2008

Bekerjasama boikot barang Belanda

Oleh WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

KUALA LUMPUR 1 April – Persatuan-persatuan pengguna yakin tindakan memboikot barangan buatan Belanda hanya akan berjaya jika mendapat kerjasama penuh daripada pengguna sendiri.

Koordinator Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, tindakan pasar raya Mydin yang memboikot barangan Belanda semalam, dilihat langkah awal protes besar-besaran yang akan dilakukan oleh peniaga lain.

‘‘Ia langkah yang bagus. Ini tindakan tepat. Mydin berani memboikot dan kita mahu pengguna turut menyokong langkah ini.

‘‘Kita lihat sendiri keberanian sebuah pasar raya besar mengambil risiko memboikot barangan jualannya. Kita mahu tindakan ini turut diikut pasar raya lain,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini,

Semalam, Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin memaklumkan para pelanggan mereka tentang produk-produk yang dikeluarkan syarikat Belanda sebagai sokongan terhadap gerakan memboikot barangan yang ada kaitan dengan negara tersebut.

Kata Ameer, pihaknya mengambil langkah mempamerkan label merah memaklumkan tentang produk-produk keluaran syarikat berasal dari Belanda sebagai cara menyuarakan kemarahan terhadap penerbitan filem Belanda, Fitna yang secara terang menghina Islam.

Tambah Noor Nirwandy, pengguna Islam seharusnya sudah membuka mata dan melihat sendiri tindakan memboikot barangan yang ada kaitan dengan Belanda adalah langkah paling wajar dilakukan sekarang.

Penasihat Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia, Datuk Mohamad Iqbal berkata, kekuatan urusan jual beli sebenarnya terletak pada tangan pengguna.

Oleh itu, jelasnya, tindakan pasar raya Mydin memboikot barangan Belanda tidak akan berhasil tanpa kerjasama pengguna sendiri menyokongnya.

‘‘Kita tidak nafikan apa yang dibuat Mydin itu bagus. Ia wajar diikut peniaga lain.

‘‘Namun ia seolah tidak memberi kesan jika pengguna tidak bekerjasama. Seharusnya lakukan boikot dengan cara yang efektif daripada peniaga dan pengguna,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, pengguna memainkan peranan besar memastikan sesuatu barang diboikot atau tidak.

‘‘Kalau pasar raya boikot tetapi pengguna sendiri terus beli. Tidak ada gunanya,’’ katanya.


Utusan Malaysia, 2 April 2008

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Tulisan artikel di blog Anda bagus-bagus. Agar lebih bermanfaat lagi, Anda bisa lebih mempromosikan dan mempopulerkan artikel Anda di infoGue.com ke semua pembaca di seluruh Indonesia. Salam Blogger!
http://www.infogue.com/
http://www.infogue.com/pengetahuan_umum/bekerjasama_boikot_barang_belanda/