Jumaat, Februari 27, 2009

NGO SIFATKAN KADAR BARU GAGAL FAHAM BEBAN DITANGGUNG RAKYAT

KUALA LUMPUR 26 Feb. – Persatuan-persatuan pengguna kesal dengan kadar kenaikan tol yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed hari ini.
Kebanyakan mereka menyifatkan kadar baru itu gagal memahami bebanan yang sedang ditanggung oleh rakyat dalam menghadapi kemelesetan ekonomi.

Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman (gambar) berkata, kenaikan kadar tol berkenaan tidak tepat pada masanya.
Jelas beliau, kerajaan sewajarnya menunggu sehingga keadaan ekonomi kembali stabil sebelum mengambil keputusan menaikkan kadar tol.

‘‘Kenaikan itu agak tinggi dan saya pasti ramai rakyat akan marah dan kecewa dengan keputusan kerajaan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Kementerian Kerja Raya mengenai kenaikan kadar tol bagi lima lebuh raya mulai 1 Mac ini.

Kenaikan antara lima hingga 34 peratus melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Dr. Jacob George turut terkejut dengan kenaikan kadar tol tersebut.

‘‘Dulu, kerajaan pernah memberi maklum balas kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahawa kadar tol tidak akan dinaikkan dan dibekukan buat sementara waktu, tetapi pengumuman hari ini menunjukkan sebaliknya,’’ jelasnya.

Baginya, kehendak rakyat perlu diutamakan daripada menghormati kepentingan pemegang konsesi semata-mata.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dr. Maamor Osman berharap kerajaan memikirkan cara untuk mengelakkan kenaikan harga tol pada masa akan datang.
Beliau juga sangsi dengan dakwaan bahawa syarikat konsesi lebuh raya mengalami kerugian jika kadar tol tidak dinaikkan mengikut terma perjanjian.

Utusan Malaysia
27 Februari 2009

FOMCA, NGO RAYU KERAJAAN TANGGUH KENAIKAN TOL

Oleh Nurhasyima Hasim dan S Anand Kumarmailto:Kumarbhnews@bharian.com.my

Kadar baru lonjak harga barang, bebankan rakyat

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak termasuk Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain merayu kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol di lima lebuh raya bermula 1 Mac ini kerana khuatir ia akan menjurus kepada kenaikan harga barang. Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya memahami beban yang harus ditanggung kerajaan jika menangguhkan kenaikan itu, tetapi pada masa sama rakyat masih belum bersedia menghadapinya.

"Kita tahu, ketika ini tiada negara yang terlepas daripada menghadapi kelembapan ekonomi, tetapi pada waktu begini jika ada kenaikan kadar tol, kita risau berlaku kenaikan harga barang kerana segelintir pihak akan menggunakan alasan tol naik. "Akhirnya yang menanggung beban ialah rakyat... kita amat berharap kerajaan akan dapat menangguhkan kenaikan kadar tol berkenaan hingga satu tarikh sebelum melaksanakannya demi kepentingan rakyat," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Semalam, Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, mengumumkan kadar tol di lima lebuh akan dinaikkan mulai 1 Mac ini selaras terma perjanjian konsesi yang ditandatangani antara kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya berkenaan.

Lima lebuh raya itu ialah Lebuh Raya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE).



Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mewakili lebih 500,000 pekerja swasta di negara ini turut membantah perkara itu dan menyifatkan pengumuman berkenaan hanya membebankan rakyat yang terpaksa berhadapan dengan krisis ekonomi dunia. Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud, berkata kenaikan kadar tol itu dijangka memberi kesan besar bukan saja kepada pengguna lebuh raya tetapi juga akan mendorong kenaikan pelbagai harga barang dan perkhidmatan. "MTUC tidak setuju dengan kenaikan ini kerana ia membebankan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi ketika ekonomi dunia yang tidak menentu ini. Janganlah susahkan rakyat lagi yang selama ini memang sudah terbeban," katanya.

Presiden Cuepacs, Omar Osman, pula berkata pihaknya amat berharap kerajaan akan mengkaji semula keputusan itu kerana ia menambah beban kakitangan awam yang menggunakan lebuh raya berkenaan ke pejabat masing-masing. "Kita bukan membantah kenaikan kadar tol, tetapi berasakan belum tiba masanya untuk kerajaan mengumumkan perkara ini, lebih-lebih lagi tahun ini kita terpaksa berdepan dengan krisis ekonomi," katanya.

Sementara itu, beberapa syarikat konsesi tol yang dihubungi enggan mengulas mengenai pengumuman kerajaan itu sebaliknya berkata akan hanya mengeluarkan sebarang kenyataan selepas menerima surat rasmi daripada Kementerian Kerjaraya berhubung perkara itu.

Berita Harian
27 Februari 2009

Jumaat, Februari 20, 2009

MELINDUNGI PENGGUNA

Pemantauan harga barang perlu dibuat secara berterusan untuk membendung manipulasi harga oleh peniaga.

PELBAGAI usaha dilakukan kerajaan untuk melindungi pengguna daripada kesan kegawatan ekonomi global. - Gambar hiasan

TAHUN 2009 adalah tahun sukar dan lebih mencabar! Ungkapan itu pasti mencemaskan khususnya masyarakat pengguna yang saban waktu tersepit apabila berlaku kegawatan ekonomi terutamanya kenaikan harga barang perlu.

Ekonomi global yang merudum pada tahun lalu bermula dengan krisis kewangan di Amerika Syarikat. Antara kesan yang sudah dapat dilihat ialah tindakan kebanyakan syarikat memperlahankan aktiviti atau pelaburan serta memberhentikan pekerja.

Setidak-tidaknya, kita masih boleh menarik nafas lega kerana harga bahan bakar global sudah menjunam ke bawah paras AS$50 (RM160) setong sekali gus membolehkan kerajaan menurunkan harga petrol kepada RM1.80 seliter.

Di tengah-tengah senario ekonomi dunia yang tidak menentu ini, pihak kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil langkah proaktif bagi memastikan kepentingan pengguna terus dilindungi. Antaranya ialah Kempen Penurunan Harga yang dilancarkan pada penghujung Oktober 2008, melibatkan bukan sahaja pasar raya besar tetapi juga pasar raya lain, restoran dan pasar mini.

Untuk terus merangsang pertumbuhan ekonomi negara terutama dalam menghadapi krisis ekonomi dunia, KPDNHEP telah melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia pada 16 Januari lalu.

Kempen itu sebenarnya sudah dijalankan sebelum ini dengan penggunaan logo buatan Malaysia pada produk tertentu. Bagaimanapun, fokus kempen berkenaan lebih tertumpu kepada sektor pengeksportan.

Menterinya, Datuk Shahrir Abdul Samad ketika mengumumkan kempen itu berkata: "Dalam keadaan hari ini, kita tidak boleh lagi bergantung kepada sektor eksport, jadi keutamaan perlu diberikan kepada pembelian barangan buatan Malaysia." Langkah kementerian melancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia itu mendapat sokongan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

"Dengan berlakunya kenaikan harga barang pada masa ini, wajar sekiranya penekanan diberi pada barang tempatan.

"Ini kerana harga barang import yang sentiasa berubah berdasarkan harga bahan mentah di pasaran antarabangsa serta pertukaran mata wang, menyebabkan harga tinggi dan perubahan harga juga tidak terkawal," ujar Ketua Eksekutif Fomca, Mohd. Yusof Abdul Rahman.

Di samping pelbagai kempen yang diadakan, pemantauan harga barang perlu dibuat secara berterusan khususnya untuk membendung manipulasi harga oleh peniaga dan mendidik mereka supaya beretika.

Dalam hal ini, Majlis Harga Barang Negara (MHBN) yang diwujudkan pada 22 Januari lalu menggalas tugas besar.

Penubuhan majlis itu sendiri dibuat ekoran isu kenaikan harga dan masalah bekalan barang perlu yang rata-rata menjejaskan kehidupan rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah serta penduduk di luar bandar dan kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Ketua Urusetia Sekretariat MHBN, Rodin Mamat berkata, kerajaan telah melantik 2,000 graduan sebagai pegawai pemantau harga (PPH).

Pelantikan itu, jelas beliau, dibuat secara kontrak perkhidmatan selama setahun dan berakhir pada Mac ini.

Menurut Rodin, tugas utama PPH adalah membuat kutipan harga runcit harian ke atas 350 barang keperluan pengguna di semua premis perniagaan seperti kedai runcit, pasar basah dan pasar raya.

"Langkah itu diambil bagi mengetahui trend pergerakan harga runcit supaya peniaga tidak mengambil kesempatan mengaut keuntungan melampau dan memastikan bekalan di pihak peruncit sentiasa ada," jelasnya.

Beliau berkata, harga yang dikumpulkan itu juga dipamerkan di bawah program Price Watch yang dipaparkan di laman web KPDNHEP.

Lazimnya bila harga bahan bakar turun, pengguna pasti membuat andaian harga barang perlu juga akan turun. Ini sebenarnya tidak berlaku sepantas yang diharapkan.

Harga minyak juga bukanlah satu-satunya sebab berlaku kenaikan harga barang.

Seperti yang dijelaskan oleh Mohd. Roslan, kos pengeluaran sesuatu produk ditentukan oleh kos input yang digunakan untuk menghasilkan produk berkenaan.

Sebahagian besar daripada komponen input terdiri daripada bahan mentah.

"Contohnya, bahan mentah untuk produk tenusu adalah susu, hasil tanaman adalah baja, makanan ternakan adalah bijirin seperti jagung. Di samping itu, kenaikan harga petroleum juga mempunyai impak ke atas kos bahan pembungkusan seperti resin dan juga kos pengangkutan.

"Kos pengangkutan pula bukan disebabkan oleh harga minyak semata-mata tetapi juga kos harga alat ganti yang terlalu tinggi yang menyumbang kepada tanggungan bebanan kos operasi sektor pengangkutan," jelas Mohd. Roslan.

Dalam menangani impak kegawatan ekonomi, pengguna tidak wajar semata-mata bergantung kepada usaha kerajaan.

Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP, Dr. Mohd. Mokhtar Tahar yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan program Kempen Pengguna Bijak berkata, pengguna perlu turut memainkan peranan.

"Dalam hal ini, pengguna mesti membuat aduan jika tidak berpuas hati. Manfaatnya mungkin bukan untuk diri sendiri tetapi boleh membantu orang lain," katanya.

Mohd. Mokhtar bagaimanapun berpendapat tahap kesedaran kepenggunaan dalam kalangan rakyat negara ini lebih baik berbanding 10 tahun lalu. - Bernama

Kosmo, 19 Feb. 2009