Isnin, Ogos 16, 2010

FOMCA ANGGAP GAJI AWAL TAK PRAKTIKAL



2010/08/14

KUALA LUMPUR: Cadangan pembayaran gaji awal daripada kebiasaan tidak semestinya dapat menyelesaikan masalah kewangan dan hutang kakitangan awam sebaliknya mereka disaran bijak mengurus perbelanjaan ketika menjelang perayaan.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pihaknya melihat cadangan itu tidak praktikal meskipun tujuannya untuk mengelak kakitangan awam meminjam daripada syarikat kewangan.

“Kalau kita kaji, sekiranya gaji September diberi awal, kemungkinan besar apabila masuk bulan berikutnya mereka terpaksa menunggu lebih lama. Bayangkan dalam tempoh itu kalau sudah kehabisan wang, mereka terpaksa juga membuat pinjaman. “Oleh itu, ini tak semestinya menyelesaikan masalah dan sebaiknya gaji dibayar seperti biasa. Cuma kakitangan awam kena bijak membeli dan mengurus kewangan mereka dengan baik. “Sama ada promosi syarikat kewangan atau koperasi mahupun bank yang sengaja ambil kesempatan, itu terpulanglah kepada individu sendiri. Kalau mereka nak pinjam juga, akibatnya harus ditanggung sendiri,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya kerajaan mempertimbangkan pembayaran gaji September lebih awal bagi mengelak kakitangan awam berhutang.

Metro Ahad, 15 Ogos 2010

KE ARAH JADIKAN MALAYSIA HAB HALAL DUNIA



JAKIM patut diberi kuasa penuh dalam pensijilan produk patuhi syariah


ISU halal tidak pernah berkesudahan. Saban hari ada saja berita mengenai makanan dan produk yang diragui status halalnya. Baru-baru ini, timbul isu kopitiam yang mendapatkan bekalan bahan mentah tidak halal, walaupun mempunyai logo halal.

Begitu juga apabila tibanya Ramadan, banyak hotel menawarkan pakej ‘Bufet Ramadan’, walaupun tidak mempunyai pensijilan halal. Masalah berkaitan halal berterusan sekian lama, rakyat keliru. Sebagai negara Islam, sepatutnya persoalan mengenai hal ini tidak timbul di Malaysia.

Jika diteliti produk di pasaran, termasuk di restoran, ada pelbagai logo halal dipamerkan. Ada logo dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), ada juga logo dikeluarkan syarikat swasta, malah ada yang sekadar menggunakan perkataan Halal atau Ditanggung Halal.

Sebenarnya pensijilan halal di negara ini bersifat sukarela, tidak diwajibkan ke atas pengeluar produk atau restoran. Biasanya pengeluar, pengedar produk atau pengusaha restoran memohon sijil halal bagi menunjukkan produk mereka halal.

Malah ada yang menjadikan label halal sebagai pelaris atau gimik dalam menjual produk mereka, khususnya sebagai tarikan kepada orang Islam atau untuk memasuki pasaran di Asia Barat.

Peraturan berkaitan pensijilan halal di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), iaitu Akta Perihal Dagangan 1972 – Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan Halal 1975).

Akta ini menetapkan pengeluar makanan atau produk serta pengusaha restoran yang meletakkan sebarang bentuk perkataan atau logo yang menunjukkan makanan atau produk mereka halal, boleh dikenakan tindakan sekiranya ia didapati tidak halal, sama ada dari segi bahan mentah yang digunakan atau proses penyediaannya.

Akta ini tidak menetapkan pihak berkuasa yang diberi tanggungjawab sebagai pengeluar sijil halal. Justeru, selain JAKIM, JAIN atau MAIN, ada juga beberapa syarikat swasta memberikan khidmat mengeluarkan sijil halal.

Begitu juga logo halal yang diletakkan sendiri oleh pengeluar pada produk mereka. Semua logo ini jika berdasarkan kepada peraturan sekarang, adalah dibenarkan.

Peraturan yang longgar inilah menimbulkan masalah kepada pengguna. JAKIM, JAIN dan MAIN hanya salah satu pihak mengeluarkan sijil halal, selain swasta. Mungkin pengguna yakin dengan pensijilan halal JAKIM, JAIN atau MAIN kerana sebelum sijil dikeluarkan, pemeriksaan rapi dilakukan bagi memastikan bahan mentah, ramuan, proses penyediaan, penyimpanan dan sebagainya mematuhi hukum Islam.

Bagaimana pula dengan pensijilan halal yang dibuat syarikat swasta? Adakah mereka membuat proses sama? Lebih meragukan lagi jika logo halal itu dikeluarkan sendiri, siapakah sebenarnya yang mengesahkan status halal produk mereka?

Persoalan mengenai halal bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Ia bukan perkara yang boleh diperdagangkan. Lihat apa yang berlaku apabila pensijilan halal diswastakan kepada syarikat Ilham Daya pada 1998. Begitu juga apabila Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) mengambil alih tugas JAKIM mengeluarkan sijil halal pada 2008.

Ketika itu, timbul masalah keyakinan daripada pengguna Islam mengenai kewibawaan sijil halal diberikan, sama juga keadaannya dengan sijil halal dikeluarkan oleh syarikat swasta pada masa ini.

Justeru, sewajarnya pensijilan halal dikeluarkan hanya oleh agensi kerajaan bagi memastikan tiada konflik kepentingan. Ramai beranggapan apabila pensijilan halal dibuat syarikat swasta, mungkin persoalan ‘kewangan’ menjadi pertimbangan.

Malah, perlu diingat bahawa Malaysia adalah negara yang pensijilan halalnya dikeluarkan agensi kerajaan sehingga ingin dicontohi negara lain.

Bagi mengatasi kekaburan dalam Akta Perihal Dagangan, KPDNKK akan meminda akta ini bagi memberi kuasa hanya kepada pihak berkuasa agama mengeluarkan pensijilan halal. Ini satu langkah bagi mengatasi masalah keyakinan pensijilan halal syarikat swasta. Begitu juga kebenaran kepada pengeluar untuk menggunakan label halal sendiri perlu dihentikan.

Selain itu, kerajaan juga memaklumkan bahawa Akta Halal akan dibentangkan tidak lama lagi. Mungkin ini satu penyelesaian bagi mengatasi kemelut ini. Apa yang diharapkan dalam akta ini ialah semua pihak yang ingin menjual produk mereka kepada pengguna Islam perlulah mendapatkan pensijilan halal daripada pihak berkuasa terlebih dulu.

Bagi menjadikan proses pengeluaran pensijilan halal dan penguatkuasaan berkaitan halal lebih mantap, Bahagian Hab Halal JAKIM perlu dinaik taraf sebagai sebuah suruhanjaya atau perbadanan. Ia boleh dikenali sebagai Suruhanjaya Halal Malaysia atau Perbadanan Halal Malaysia.

Organisasi ini satu-satunya badan yang diberi kuasa untuk mengeluarkan pensijilan halal dan melakukan penguatkuasaan. Selain itu, organisasi ini perlu dilengkapi tenaga kerja mencukupi dari aspek pengeluaran sijil halal dan penguatkuasaan. Semua ini boleh dibuat melalui Akta Halal yang bakal diwujudkan kelak.

Dengan melakukan rombakan terhadap proses pensijilan halal yang wujud pada masa ini, maka diharapkan kedudukan halal di negara kita berada pada tahap yang sewajarnya, selaras dengan hasrat Malaysia untuk menjadi hab halal dunia.

-------------------------------------------

Penulis ialah Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

Berita Minggu, 15 Ogos 2010


Ahad, Ogos 15, 2010

KUASA BESAR DI TANGAN PENGGUNA


APA sebenarnya perlu pengguna tahu mengenai halal dan logo halal? Adakah anda jenis pengguna yang nampak saja tertera perkataan jawi halal, maka produk ditawarkan sudah tentu halal?

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kalau kita lihat produk yang dijual di pasaran, ada banyak logo halal, sama ada logo halal dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang diperiksa berdasarkan garis panduan Manual Prosedur Pensijilan Halal, Standard Halal MS1500:2009 dan juga panduan yang dikeluarkan Kementerian kesihatan Malaysia dan Amalan Pengilangan Baik (HACCP).

Begitu juga, katanya, dengan logo halal, dikeluarkan syarikat swasta, iaitu Bahtera lagenda (mengeluarkan beberapa logo di bawah Halal Food Council International, Malaysia & Asia Region dan sebagainya), atau SAS-H Consultants atau Persatuan Pegawai Islam Perak (yang tidak pasti prosedur pemeriksaan untuk mendapatkan logo halal) dan logo halal oleh pengilang sendiri.

“Kewujudan pelbagai logo halal ini mengelirukan pengguna dengan beranggapan semuanya adalah halal mengikut prosedur sama. Sedangkan hanya pensijilan halal dikeluarkan JAKIM dan JAIN dikeluarkan mengikut prosedur tertentu lebih diyakini status halalnya.

“Justeru, pengguna perlu berhati-hati apabila membeli produk. Lihat label pada produk berkenaan, jenis logo halal digunakan. Untuk berasa yakin produk itu adalah halal berdasarkan garis panduan ditetapkan mengikut Islam, dinasihatkan supaya membeli produk logo halal JAKIM dan JAIN.

“Jika was-was sama ada logo halal berkenaan, tulen atau palsu, JAKIM mempunyai saluran melalui laman sesawang, www.halal.gov.my untuk menyemak syarikat yang diberikan pensijilan halal atau SMS 15888,” katanya.

Untuk makluman, pensijilan halal adalah bersifat sukarela, bukannya wajib. Peraturan berkaitan halal adalah di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 - Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan Halal 1975).

Oleh itu pada masa ini logo halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta dan logo halal yang dibuat oleh pengilang sendiri dibenarkan di bawah akta ini, melainkan apabila Akta Perihal Dagangan dipinda dengan hanya memberikan kuasa kepada JAKIM dan JAIN saja yang boleh mengeluarkan pensijilan halal.

Mengulas mengenai penggunaan pekerja Islam di restoran bukan Islam, Mohd Yusof berkata, memang itulah yang banyak berlaku di restoran yang dimiliki oleh orang bukan Islam.

Kerap kali mereka menggunakan pelayan Melayu atau Indonesia memakai tudung, namun yang memasak bukannya orang Islam atau bahan mentah dibeli mungkin daripada pembekal yang tidak halal.

Oleh itu, untuk memastikan restoran berkenaan halal daripada penyediaan makanan dan bahan mentah digunakan, lihat sama ada logo halal dikeluarkan JAKIM atau JAIN. Malah logo halal yang dikeluarkan oleh syarikat swasta juga meragukan.

“Untuk lebih selamat, makanlah di kedai dimiliki oleh orang Islam. Sekurang-kurangnya mereka prihatin berhubung cara penyediaan dan bahan mentah digunakan halal. Isu berkaitan halal bukan hanya pada cara penyediaan dan bahan mentah, tetapi juga amalan kebersihan yang dilakukan dalam penyediaan makanan. Konsep inilah yang dipanggil sebagai ‘Halalan Toyiban’, iaitu halal dan baik,” katanya.

Mengenai sijil halal perlu dipamerkan oleh penjual di pasar basah, Mohd Yusof berpendapat, sewajarnya penjual di pasar basah mempamerkan salinan pensijilan halal rumah sembelihan yang membekalkan ayam atau daging yang dijual.

Begitupun, biasanya orang Islam lebih yakin membeli ayam atau daging daripada penjual beragama Islam kerana beranggapan ayam atau daging dijual adalah daripada rumah sembelihan yang halal ataupun ayam berkenaan disembelih oleh orang Islam di ladang ternakan ayam.

Isu mempamerkan salinan pensijilan halal rumah sembelihan lebih merujuk kepada ayam yang dijual oleh orang bukan Islam atau yang dijual di pasar raya.

“Dalam keadaan peraturan mengenai halal yang masih longgar pada masa ini, pengguna perlu berhati-hati apabila membeli produk makanan bagi memastikan bahawa produk makanan itu adalah halal. Pengguna dinasihatkan membeli produk yang menggunakan logo halal Malaysia yang dikeluarkan oleh JAKIM.

“Begitupun, pada masa ini ada banyak produk dikeluarkan orang Islam yang lebih diyakini kedudukan halalnya. Di samping membeli produk diyakini status halalnya, ia juga dapat menyokong industri orang Islam supaya lebih maju dan seterusnya mengeluarkan lebih banyak produk halal,” katanya.

Ingatannya, pengguna sebenarnya mempunyai kuasa besar mempengaruhi penggunaan logo halal.

“Jika pengguna Islam menggunakan kuasa mereka untuk boikot peniaga yang mengambil sikap sambil lewa dari segi status halal, saya yakin akan memberi tekanan kepada mereka dan sekali gus menggalakkan memohon secara sah logo halal,” katanya.

Berita Harian, 5 Ogos 2010

Khamis, Ogos 12, 2010

BUKAN BULAN MELAYAN NAFSU

Oleh MELATI MOHD. ARIFF
________________________________________



RAMADAN, bulan untuk umat Islam meningkatkan ketakwaan kepada Yang Maha Esa bagai tetamu yang sering dinanti-nantikan. Pada bulan yang mulia ini juga umat Islam diharap dapat menginsafi kesusahan hidup yang ditanggung oleh mereka yang kurang bernasib termasuk dari segi makanan dan minuman.

Justeru bersikap sederhana dalam soal makan dan minum amat digalakkan pada bulan ini dan semoga menjadi amalan pada bulan-bulan seterusnya.

Langkah bijak ini juga sudah tentunya dapat mengurangkan kos perbelanjaan di tengah-tengah kenaikan harga bahan bakar dan barangan keperluan lain.

Di sebalik kesucian Ramadan, tidak kurang juga ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menjadikan bulan ini sebagai komoditi perdagangan untuk meraih keuntungan sebanyak yang boleh.

Pelbagai taktik licik digunakan untuk menjerat pengguna yang beragama Islam khasnya. Bagi mereka yang dibelenggu hawa nafsu, maka mereka tewas dengan berbelanja sakan. Tidak cukup wang tunai, wang plastik yakni kad kredit dilayang untuk membayar pembelian.

Mohd. Yusof Abdul Rahman, Pengarah Komunikasi Kumpulan, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) memberitahu, sudah menjadi lumrah bagi sesetengah pihak mengambil kesempatan apabila menjelangnya bulan Ramadan.

Setiap kali datang Ramadan, setiap kali jugalah umat Islam diingatkan betapa mereka perlu mengawal nafsu dan ia bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga.

Bulan mendidik sahsiah



Cuma amanat dan peringatan itu tidak melekat di hati sesetengah orang lantas kos perbelanjaan mereka pada bulan Ramadan lebih banyak daripada kebiasaannya.

Perhatikan sahaja mereka yang berbondong-bondong membanjiri gedung beli-belah atau bazar Ramadan yang tumbuh bagaikan cendawan setiap kali menjelang Ramadan.

Ada yang sudah membeli-belah sehingga berhelai-helai pakaian dan barangan lain di samping menukar langsir dan perabot rumah.

Malah ada yang berkunjung ke kedai menjual kereta untuk membeli kereta baru balik kampung.

Ketika berkunjung ke bazar menjual juadah berbuka puasa pula, ada yang nafsu makan seakan membuak-buak. Apabila pulang ke rumah, berbungkus-bungkus juadah dijinjing yang akhirnya menjadi habuan bakul sampah.

“Walaupun Ramadan mendidik umat Islam untuk bersikap sederhana dalam segala bentuk amalan seperti makanan, namun tabiat berbelanja secara berlebihan masih sukar dikikis,” demikian komen Mohd. Yusof.

Di premis beli-belah, sebelum kedatangan bulan Ramadan kebanyakan premis sudah mula membuat pelbagai gimik jualan.

Bulan Ramadan seakan-akan bulan pesta menjual dan membeli-belah. Pelbagai slogan digunakan untuk menarik perhatian pengguna dengan pelbagai potongan harga dan hadiah.

“Peniaga mengadakan pelbagai jualan murah dan jualan mega kerana sikap pengguna yang suka berbelanja. Pelbagai taktik digunakan untuk menarik perhatian pengguna supaya membeli barang jualan mereka.

“Berdasarkan Akta Perihal Dagangan 1972 iaitu di bawah Peraturan Perihal Dagangan (Jualan Murah) 1997, pusat beli-belah dikehendaki memaklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui notis untuk mengadakan jualan murah.


JANGAN tewas dengan pelbagai juadah yang dijual di bazar Ramadan.-Gambar hiasan

________________________________________


“Setiap tahun, sebanyak lima jualan murah dibenarkan untuk pusat beli-belah iaitu tiga kali mengikut tarikh dan jangka masa yang ditetapkan oleh Pengawal Perihal Dagangan dan dua kali ditentukan oleh pusat beli-belah itu sendiri,” jelasnya.

Menurut Mohd. Yusof, semasa jualan murah, 70 peratus daripada keseluruhan barang yang dijual di pusat beli-belah hendaklah diberikan potongan harga.

“Biarpun begitu, banyak aduan yang diterima daripada pengguna tentang pusat beli-belah yang melakukan penyelewengan semasa jualan murah, antaranya harga yang sama sebelum dan semasa jualan murah.

“Peniaga menaikkan harga semasa jualan murah dan memberikan diskaun tertentu yang akhirnya didapati harga barang selepas diskaun ialah sama sebelum jualan murah diadakan,” tambahnya.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Fomca itu berkata, ada juga pusat beli-belah yang menukar kualiti barang yang menunjukkan apabila diberikan diskaun harga barang adalah rendah.

“Sebenarnya harga rendah tetapi kualiti barang juga rendah. Disebabkan pelbagai unsur penipuan yang berlaku semasa jualan murah, maka KPDNKK akan meminda Akta Perihal Dagangan bagi mengetatkan peraturan jualan murah.

“Dalam pindaan yang baru ini, peniaga yang ingin mengadakan jualan murah diwajibkan menyenaraikan harga lama dan bagi barang yang ingin diadakan jualan murah, sebelum lesen jualan murah dikeluarkan,” katanya.

Bufet ramadan dan isu halal

Lazimnya bila datang bulan Ramadan, hotel dan restoran berlumba-lumba menawarkan bufet Ramadan dengan senarai menu makanan yang berjela-jela.

Ada promosi berbuka puasa menawarkan 99 jenis makanan, ada juga yang mengiklankan 100 hingga 200 juadah.







BULAN Ramadan bagaikan bulan pesta menjual dan membeli-belah. - Gambar hiasan


Harga bufet pula berbeza-beza mengikut premis. Ada yang serendah RM50 hingga melebihi RM100 seorang dewasa dan untuk kanak-kanak pula sekitar serendah RM25 hingga RM50 seorang.

Realitinya berbuka puasa di hotel umpama satu trend pada hari ini. Banyak syarikat korporat mengadakan majlis berbuka puasa di hotel termasuk menjemput mereka yang kurang bernasib baik antaranya anak-anak yatim.

Isu yang sering dikaitkan dengan berbuka puasa di hotel, di samping bayaran yang mahal ialah status halal juadah yang dihidangkan.

Nisbah hotel di negara ini yang memiliki Sijil Halal Malaysia dilaporkan terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan hotel yang ada.

Sehubungan itu, amat wajar sekali untuk umat Islam lebih berhati-hati sekiranya mahu berbuka puasa di mana-mana premis termasuk di hotel sepanjang Ramadan.














RAMADAN seharusnya mendidik kita menginsafi kesukaran mereka yang kurang bernasib baik.
________________________________________

Mohd. Yusof berkata, pengguna Islam perlu menjadikan bulan Ramadan sebagai masa untuk berjimat-cermat dalam setiap perbelanjaan dan mengamalkan gaya hidup lestari.

“Wang yang dapat dijimatkan itu digunakan sebagai perbelanjaan musim perayaan seperti menampung kos minyak kenderaan untuk balik kampung, membeli pakaian dan sebagainya.

“Jika boleh, sediakan dana dari awal tahun lagi untuk menyambut perayaan dengan menetapkan jumlah wang yang diperlukan.

Dengan cara demikian pengguna tidak terbeban untuk perbelanjaan pada musim perayaan.

Ramai pengguna yang menggunakan pendapatan bulanan mereka untuk berbelanja ketika musim perayaan tidak dapat menampung perbelanjaan pada bulan itu.

“Akhirnya mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk membayar hutang semasa, seperti hutang kad kredit, ansuran kereta, rumah dan sebagainya.

“Malah ramai juga yang terpaksa berhutang untuk perbelanjaan pada hari raya.

Sehubungan itu, amalan menyimpan wang untuk kegunaan musim perayaan perlu dijadikan satu kebiasaan agar tidak mengalami masalah kewangan,” katanya. – Bernama

Kosmo, 12 Ogos 2010