Bagaimana untuk menghadapi masa yang sukar ini?
SHAFIE: Kita mesti menyesuaikan gaya hidup dengan perubahan keadaan. Para pengguna harus berbelanja dengan berhemah. Kita harus memberikan keutamaan kepada perkara yang utama.
Apakah selama ini tidak berhemah?
SHAFIE: Saya tidak kata begitu. Cuma kadang-kadang kita dapati pengguna berbelanja untuk hal-hal yang tidak perlu. Kerajaan galakkan supaya jangan merokok tetapi masih ramai yang merokok. Itu hak mereka tetapi gesaan itu adalah untuk kesihatan dan kebaikan mereka juga.
Kadangkala orang juga berbelanja dengan berlebihan. Kita beli atau sediakan makanan dengan banyak tetapi berapa banyak yang sebenarnya kita makan. Inilah perubahan yang perlu dilakukan oleh semua orang sekarang. Bukan maknanya selama ini kita tidak berhemah cuma kita harus lebih banyak berjimat sekarang. Ada pengguna yang berjimat tetapi kita sekarang hendak meluaskan amalan baik itu.
Malah berjimat cermat itu pun selaras dengan ajaran agama. Kalau bukan kerana keadaan sekarang ini pun kita memang diseru supaya tidak membazir. Inilah masa untuk kita melihat semula cara hidup kita. Semua orang termasuk pengguna dan kerajaan perlu menyesuaikan diri.
Apakah itu tidak menjejaskan ekonomi?
SHAFIE: Saya tidak kata jangan langsung berbelanja, cuma jangan berlebihan. Utamakan keperluan. Kalau kita boleh menyesuaikan perbelanjaan dengan kemampuan, insya-Allah, kita boleh melakukannya.
Datuk memberi jaminan bahawa kenaikan harga barang tidak akan lebih daripada 0.12 peratus.
SHAFIE: Saya bukan jamin. Saya tidak kata kepada peniaga jangan naikkan harga cuma saya ingatkan kenaikan itu biarlah berpatutan. Saya hendak tegaskan bahawa kesan kenaikan harga minyak ini kepada harga barangan adalah minimum.
Sebagai contoh, kesan kenaikan lebih kurang 20 peratus itu terhadap industri ayam hanyalah 0.12 peratus. Kesannya kepada air mineral pula hanya 0.3 peratus. Tetapi adakah munasabah kalau sebotol air mineral berharga RM1.20 naik sampai RM1.50?
Kita tidak halang peniaga membuat untung tetapi biarlah dengan bertanggungjawab. Masalahnya ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan daripada kenaikan harga runcit minyak. Hari ini kita umum kenaikan harga minyak, esok dia (peniaga) kata kos sudah meningkat. Saya tidak tahu bagaimana kos boleh meningkat sedangkan barang-barang itu adalah stok yang disimpan berbulan-bulan.
Itu sebabnya kita membuat pemantauan harga barang. Kalau ada yang menaikkan harga dengan keterlaluan kita akan minta mereka berikan penjelasan atau berhadapan dengan tindakan.
Apakah kementerian mampu melakukan pemantauan dan penguatkuasaan ini?
SHAFIE: Kita akan buat apa saja untuk memastikan peniaga tidak mengaut keuntungan yang berlebihan dan tidak masuk akal. Pada masa yang sama, pengguna harus juga bertindak dengan bijak. Mereka mesti melaksanakan hak mereka untuk membuat pilihan dengan membandingkan harga barang.
Ada banyak yang boleh mereka lakukan. Kalau harga teh tarik naik misalnya, jangan minum di kedai tetapi buat sendiri teh di rumah. Kalau boleh bercucuk tanam di rumah, tanamlah sedikit sayur-sayuran untuk mengurangkan belanja dapur.
Bolehkah kementerian memantau harga barang? Ini bukan satu saja isunya dan tenaga kerjanya juga terhad.
SHAFIE: Kita menjalin kerjasama dengan badan-badan pengguna dan media untuk memantau perkembangan harga barang. Kalau ada kenaikan, laporkan dan kami akan pergi ambil tindakan.
Tetapi pengguna harus diperkasakan kerana kalau mereka melaksanakan tanggungjawab dengan bijak, saya fikir kita boleh menangani keadaan ini. Kalau saudara pergi ke pasar nanti, saya tidak ada di situ untuk mengingatkan apa yang patut dan tidak patut saudara lakukan dengan wang saudara. Saudaralah yang menentukannya sendiri. Kerajaan tidak ada di pasar untuk menolong pengguna berbelanja dengan bijak.
Apa ertinya kuasa pengguna ini?
SHAFIE: Apabila pengguna berkuasa, para peniaga akhirnya tidak ada pilihan melainkan lebih bertanggungjawab dan beretika. Apabila pengguna berkuasa peniaga yang tidak bertanggungjawab, tidak beretika, rakus dan haloba akhirnya akan mati sendiri.
Mengubah gaya hidup bukan satu saranan baru. Tetapi realitinya ini perkara yang bermusim dan responnya hanya sekejap.
SHAFIE: Kita harus menjadikannya satu gaya hidup baru. Kepada orang Islam, seruan berjimat cermat ini ada dalam agama tetapi apakah kita mengamalkannya? Semua orang tahu kerja membazir itu sahabat syaitan tetapi masalahnya kita buat juga.
Peringatan demi peringatan ini jelas tetapi orang tidak mahu mengamalkannya. Orang tahu gula berlebihan punca kencing manis, orang tahu rokok bahaya untuk kesihatan tetapi orang tidak peduli.
Kerajaan hanya boleh mengingatkan saja tetapi pada akhirnya pilihan terletak kepada para pengguna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan