Isnin, Mac 06, 2006

Soal Jawab: Kerajaan terpaksa naikkan harga minyak - Datuk Shapie Afdal

Jumlah subsidi pada tahap tinggi memberi kesan pembiayaan projek pembangunan


KERAJAAN membuat kejutan apabila mengumumkan kenaikan 30 sen harga petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG), berkuat kuasa Selasa lalu. Pastinya pengguna perlu menerima hakikat, tapi dalam pada itu tetap menginginkan jaminan bahawa kenaikan harga minyak tidak disusuli peningkatan harga barang keperluan dan perkhidmatan.

Wartawan Berita Minggu, HASLIZA HASSAN, menemuramah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal untuk mengetahui langkah kementerian dari segi pemantauan dan penguatkuasaan agar tiada pihak menangguk di air keruh. ZIAUDDIN SHARUDDIN pula menemuramah Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), N Marimuthu mengenai kesan kenaikan kepada pengguna.


Datuk Shafie Apdal

TAHUN lalu ada juga bayangan daripada kerajaan mengenai langkah menaikkan harga minyak tetapi tahun ini, tiba-tiba saja kerajaan membuat pengumuman menaikkan sebanyak 30 sen, kadar yang agak tinggi.

Kerajaan sudah mengumumkan tahun lalu tidak akan menaikkan harga petrol dan diesel sejak Julai sehingga akhir tahun walaupun harga minyak dunia melambung bagi mengelak kenaikan harga barang, sekali gus meringankan beban rakyat.

Nampaknya tahun ini kerajaan perlu mengambil langkah menaikkan harga minyak kerana trend peningkatan harga minyak mentah di pasaran dunia terus menaik disebabkan faktor luar jangka yang memberi tekanan kepada harga minyak mentah.

Jumlah subsidi pada tahap tinggi dan semakin meningkat memberi kesan kepada keupayaan kerajaan dalam membiayai projek pembangunan penting kepada rakyat.

Bukan kita tidak mahu beri bayangan tetapi jika kita beritahu, banyak stesen minyak tutup awal sebab jika orang ramai tahu awal semua orang berpusu-pusu ke stesen minyak. Tentu ada situasi di mana pengusaha stesen minyak kata minyak sudah habis sedangkan bekalan masih ada.

Berikutan kenaikan harga minyak, rakyat sekarang melalui tempoh yang sukar kerana harga barang juga mungkin naik dan kos sara hidup meningkat. Bagaimana pengguna hendak menghadapi situasi ini?

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sudah menerangkan langkah yang perlu diambil agar kita mengubah cara hidup. Masyarakat di negara ini perlu bijak memberi keutamaan kepada perkara dan barang yang perlu saja. Jika tidak perlu menonton wayang, jangan tonton wayang.

Apakah pengguna selama ini tidak berhemah dan tidak bijak berbelanja?

Bukan kita kata pengguna tidak berhemah tetapi kadang-kadang kita dapati kerajaan menggalakkan agar tidak merokok, tapi dia tetap merokok. Kita tahu itu hak mereka tetapi kita galakkan ini untuk kesihatan mereka, untuk kebaikan.

Kadang-kadang kita dapati orang naik motosikal berlumba pusing sana dan pusing sini. Pusing saja dan ini meningkatkan perbelanjaan juga. Kita beli makanan dan kita lihat berapa banyak yang kita makan sebenarnya. Ini yang kita kata perubahan yang perlu kita lakukan.

Tidak bererti selama ini mereka tidak berjimat tetapi penjimatan demi penjimatan harus dilakukan oleh pihak tertentu. Apabila kita kata berjimat cermat dalam kehidupan, ini selaras dengan ajaran agama. Memang masyarakat melakukan amalan berjimat tetapi kita hendak luaskan amalan ini. Kadang-kadang kereta sampai lima buah, tapi yang pakai dua saja.

Mungkin kenaikan harga petrol boleh diterima pengguna tetapi apa yang menimbulkan kemarahan ialah ekoran daripada kenaikan itu, harga barang mungkin naik dan mereka tidak dapat menerima di mana rasionalnya harga barang naik hanya kerana harga petrol naik. Malah, tiada jaminan dari segi pemantauan dan penguatkuasaan dari kementerian sendiri.

Kerajaan tidak boleh memberi jaminan. Jika kita katakan kepada peniaga jangan naikkan harga, sesetengah mereka naikkan juga. Mereka berniaga dan mungkin kos mereka turut meningkat tetapi yang kita katakan, jika naikkan harga mesti peningkatan itu minimum.

Jangan sampai ada peningkatan sehingga 30 peratus. Contohnya harga air mineral naik hanya 0.3 peratus saja dari kenaikan harga minyak di pasaran. Jika harga minyak naik, kesan kepada pengeluaran ialah 0.3 peratus. Jadi jika harga sekarang RM1.20 dia naikkan RM1.50 itu tidak munasabah.

Adakah kerajaan boleh memberi jaminan bahawa tiada peniaga akan menaikkan harga barang keperluan sesuka hati?

Jika peniaga naikkan harga berpatutan dengan kenaikan kos kesan kenaikan harga minyak, maknanya kita selaku kerajaan ingin melihat pertumbuhan ekonomi. Tetapi pertumbuhan itu kita berlandaskan dengan ada pertanggungjawaban. Harga barang naik memang akan berlaku kerana ada yang nakal menumpang kesan kenaikan harga minyak.

Semalam kerajaan umum harga minyak naik, hari ini dia kata kos meningkat. Mana logiknya. Bekalan barang yang dia ada mungkin sudah berminggu atau berbulan simpan di stor. Kerajaan tidak boleh beri jaminan tetapi kita mengambil langkah proaktif. Kita senaraikan harga hari ini dan lepas itu buat pemantauan. Jika ada peningkatan kita ambil tindakan kepada peniaga. Jika mereka enggan tarik balik kenaikan harga, kita tarik lesen.

Dengan kakitangan yang terhad dan banyak lagi perkara lain yang perlu diberi perhatian, bagaimana kementerian akan memastikan langkah pemantauan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan?

Kita tidak bertindak sendirian, kita juga bekerjasama dengan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk memantau dan membuat laporan kepada kita.

Setiap laporan diterima kita akan ambil tindakan. Malah jika saya terbaca dalam akhbar ada laporan atau aduan, kita akan siasat. Kita juga akan menggalakkan pengguna menggunakan kuasa membuat perbandingan dan menjadi pengguna yang bijak.

Kerajaan tidak akan sentiasa berada di sisi pengguna untuk membantu mereka. Seperti di Eropah, kuasa pengguna kuat dan ini menjadikan peniaga lebih berdisiplin. Setiap peningkatan harga barang jika tidak munasabah, mereka boleh beritahu bahawa harga itu tidak berpatutan. Selaku peniaga, jika pembeli buat begitu, lama-kelamaan mereka akan menyerah kalah. Jadi dengan itu kita boleh bina amalan perniagaan beretika.

Selain pemantauan, bagaimana kerajaan hendak menangani amalan perniagaan tidak beretika?

Kerajaan bertindak memastikan agar peniaga tidak mengaut keuntungan berlebihan. Jika ada keuntungan dilandaskan pada tahap berpatutan. Kita tidak boleh kata boikot tetapi tindakan tegas dari pengguna perlu ada.

Contohnya jika roti ini harganya 60 sen di tempat ini dan di sana 50 sen, kita beli yang harga 50 sen. Pengguna perlu bijak memilih. Jika teh tarik naik keterlaluan kita jangan minum teh tarik di kedai itu, buat teh tarik sendiri.

Cara lain, bercucuk tanam kerana saya ingat lagi semasa Rancangan Buku Hijau, dulu balik rumah saya tolong emak tanam sayur. Sekarang kita tidak tanam dan tanah belakang rumah terbiar saja. Ini adalah langkah kita boleh mengurangkan perbelanjaan.

Untuk jangka masa panjang, kita mempunyai Dasar Amalan Perniagaan Adil dan kita sedang merangka akta untuk dibentang tahun depan. Apabila ini berlaku, tindakan tersusun dapat dilaksanakan. Sekarang kita masih ada kuasa contohnya, kawalan harga barang dalam keadaan tertentu seperti musim perayaan, keadaan memudaratkan ekonomi atau menekan pengguna.

Dulu masa zaman gawat, kita ada langkah mengurangkan kos dan semua mengubah gaya hidup termasuk agensi kerajaan. Tetapi selepas itu keadaan kembali seperti dulu. Sekarang kenaikan harga minyak, kita digalakkan ubah gaya hidup. Ada yang berani kata kesedaran ini hanya sebulan saja?

Niat kerajaan agar masyarakat beramal berterusan bukan bermusim. Peringatan berjimat cermat ada di sebut di dalam al-Quran dan Hadis. Peringatan itu sejak beribu tahun lalu tetapi berapa ramai yang amalkan. Rasulullah SAW selalu ingatkan buat kerja baik dan berjimat.

Selaku kerajaan kita juga mengingatkan dan berharap ia diamalkan secara berterusan. Kerajaan tidak boleh berdampingan setiap masa, setiap bulan, setiap tahun. Takkan nak kata jika saya tidak ada, jangan beli barang ya.

Pengguna yang buat keputusan. Jadi jika kita tahu amalan jangan minum gula banyak nanti kena kencing manis, jangan minum yang terlalu banyak gula. Selaku kerajaan, kita umpama bapa yang sayangkan anak. Memang sekarang rasanya tindakan ini bebanan kepada rakyat tetapi dalam jangka masa panjang, generasi akan datang merasa nikmatnya.

Biar buat sekarang demi masa depan. Bapa kerja keras hari ini, esok anak-anak dapat kehidupan yang lebih baik. Bersusah-susah dulu bersenang-senang kemudian.

Berita Minggu, 5 Mac 2006

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sebab menteri yang bernama shafie bodoh