Khamis, Mac 16, 2006

TNB perlu bertindak ke atas syarikat gergasi, henti susahkan pengguna awam

Thu | Mar 16, 06 | 12:07:12 PM
Oleh Saidatul Amani

KUALA LUMPUR, 16 Mac (Hrkh) - Pelbagai pihak menyarankan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak tegas dan tidak mengamalkan 'double standard' dalam menghadapi bebanan hutang tertunggak sama ada membabitkan sektor domestik (awam) atau perindustrian.

Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pusat, Mahfuz Omar, berkata TNB tidak wajar menunjukkan kelemahannya dengan memindahkan masalah hutang dan tunggakan daripada syarikat besar kepada pengguna.

Beliau yang dihubungi Harakahdaily berkata, selama ini pengguna begitu setia dan taat pada peruntukan syarat-syarat TNB dengan mematuhi tempoh untuk membayar bil sebagaimana ditetapkan.

Oleh itu katanya, amat tidak wajar jika TNB menekan pengguna awam untuk menyelesaikan masalah hutang lapuk syarikat-syarikat besar di negara ini.

Antara syarikat besar yang berhutang dengan TNB ialah Perwaja Steel Sdn Bhd sebanyak RM254.33 juta, Nur Distribution Sdn Bhd RM19 juta dan Pendindingan Megajana sebanyak RM6.69 juta.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Dato' Shaziman Abu Mansor berkata, kos perbelanjaan untuk bekalan utiliti semakin tinggi berikutan permintaan yang bertambah daripada pengguna.

Menurutnya, kos perbelanjaan modal yang terpaksa ditanggung oleh TNB ialah RM6.6 bilion setahun berbanding keuntungan yang dicatatkan RM1.5 bilion manakala hutang syarikat utiliti negara itu berjumlah RM29.9 bilion.

Dalam pada itu Shaziman berkata, sehingga Januari lepas, tunggakan bil elektrik di seluruh negara untuk sektor domestik, komersial, industri, perlombongan dan lampu jalan berjumlah RM2.3 bilion.

Mengulas penjelasan Shaziman Mahfuz berkata, pengurusan TNB tidak adil memaksa pengguna perumahan yang setia mematuhi syarat TNB untuk menampung hutang lapuk yang gagal dibayar oleh syarikat-syarikat besar.

"Kelemahan pengurusan TNB dan kedegilan syarikat-syarikat besar untuk melunaskan hutang jangan dipindahkan kepada para pengguna," katanya.

Pengarah Perhubungan Fomca, Yusof Abdul Rahman berkata, TNB perlu menyelesaikan dahulu masalah tunggakan hutang oleh syarikat besar perindustrian barulah boleh pertimbangkan cadangan untuk menaikkan tarif.

Beliau mempersoalkan kalau TNB gagal mengutip hutang daripada syarikat-syarikat besar yang telah mengaut keuntungan daripada TNB mengapa pula pengguna dipaksa menanggung segala bebanan hutang.

Katanya, jika pengguna tidak menjelaskan bil dalam tempoh tertentu TNB akan cepat mengambil tindakan memotong bekalan tersebut tetapi jika syarikat besar tidak menjelaskan hutang TNB masih boleh bertolak ansur.

Beliau kesal dengan tindakan TNB kerana perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana pengguna menggunakan elektrik untuk meneruskan hidup manakala syarikat-syarikat besar menggunakan letrik untuk mengaut keuntungan. - lanh

Tiada ulasan: