Selasa, Februari 02, 2010

AKTA MLM MASIH ADA KELEMAHAN



KERAJAAN akan memperjelaskan lagi definisi pemasaran pelbagai peringkat (MLM) dan skim piramid dalam pindaan Akta Jualan Langsung 1993. Pindaan ini amat wajar kerana pengguna masih terus-menerus diperdaya oleh skim ini.

Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewajibkan semua syarikat jualan langsung mendapatkan lesen sebelum menjalankan operasi jualan langsung. Namun begitu, biasanya pelan pemasaran yang dilaksanakan tidak sama seperti yang diserahkan ketika memohon lesen.

Justeru, banyak syarikat ini yang memperdaya orang ramai untuk menjadi ejen mereka dengan dakwaan lesen mereka sudah diluluskan oleh KPDNKK. Akhirnya mereka ini terjebak dengan menjadi ejen syarikat dengan terpaksa membeli sejumlah stok bagi memastikan mereka terus mendapat komisen atau markah tertentu pada setiap bulan.

Mereka juga perlu menaja orang lain untuk menjadi ejen syarikat dengan menghadiri sesi penerangan yang diadakan secara berkala. Demikian juga dengan skim ‘gores dan menang’ yang dijalankan syarikat jualan langsung.

Walaupun kerajaan sudah mengharamkan pada 3 Disember 2007, skim ini masih berterusan sehingga kini dengan pelbagai taktik yang mengelirukan pengguna. Kebanyakan syarikat yang menjalankan perniagaan ala skim piramid serta ‘gores dan menang’ ini beroperasi tanpa mempunyai lesen jualan langsung daripada KPDNKK.

Ini diakui kementerian menyebabkan mereka terpaksa meminda akta ini kerana kesukaran mengambil tindakan mengikut akta sendiri terhadap syarikat terbabit. Begitu juga dengan kewujudan skim cepat kaya yang masih berleluasa, walaupun umum mengetahui skim ini diharamkan kerajaan.

Masih banyak risalah diedarkan melalui tempat awam, termasuk tempat ibadat untuk menarik orang ramai menyertai skim ini. Tindakan tegas bukan saja dikenakan kepada mereka yang menganjurkan skim ini, malah juga kepada mereka yang aktif memasar dan memujuk orang ramai menyertai skim ini.

Orang ramai diingatkan tidak mudah terpedaya dengan skim seperti ini. Nasib mereka mungkin tidak sebaik seperti dialami pelabur SwissCash yang mendapat balik sebahagian wang pelaburan mereka, disebabkan penganjur skim pelaburan itu bersedia membayar balik RM31 juta hasil tindakan Suruhanjaya Sekuriti.

Biasanya wang mereka akan lebur begitu saja apabila penganjur dikenakan tindakan undang-undang atau menghilangkan diri.

Justeru, kerajaan perlu mewujudkan peraturan tegas dalam Akta Jualan Langsung bagi memastikan tiada lompang (loopholes) yang boleh digunakan oleh syarikat jualan langsung untuk terus memperdayakan pengguna.

Surat & Emel, 2 Februari 2010



Tiada ulasan: