Sabtu, Februari 13, 2010

TIADA PRODUK KOSMETIK AJAIB



12 Februari 2010

KETUA Pegawai Eksekutif, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata wanita perlu lebih berhati-hati ketika membeli produk kecantikan dan jangan mudah terpedaya dengan apa yang diiklankan.

Katanya, produk kosmetik seperti pembayang mata, pemerah pipi, bedak asas atau maskara biasanya tidak mempunyai kesan berbahaya kepada kulit kerana ia hanya dipakai di kawasan luar.

Namun, Mohd Yusof menjelaskan, jika produk kosmetik itu membabitkan krim pencerah yang boleh menjejaskan kesihatan kulit, wanita perlu lebih berhati-hati kerana ia mungkin mendatangkan risiko kerosakan kepada kulit.

"Ramai pengguna khususnya wanita cepat terpengaruh dengan mempercayai cakap orang mengenai keajaiban sesuatu produk kecantikan yang kononnya mampu memutihkan wajah dengan cepat.

"Sebaiknya, pengguna perlu mendapatkan nasihat daripada pakar terlebih dulu dan jangan sesekali percaya bulat-bulat apa yang diberitahu jurujual terutama produk jualan langsung.

"Ini kerana mereka bukan pakar, sebaliknya hanya memberitahu apa yang diberitahu saja.

"Lebih menakutkan, ejen jualan langsung ini sukar untuk dipantau kerana ia bergerak bebas menerusi stokis atau ejen.

"Apa yang boleh dilakukan pihak berkuasa ialah memantau kilang pengeluarannya saja," katanya.

Mengulas mengenai kebanjiran produk kosmetik tiruan di pasaran, Mohd Yusof berkata, jika sekali pandang, pembungkusan produk berkenaan (tiruan) kelihatan hampir sama dengan yang asli, tetapi apa yang membezakan adalah daripada segi nombor pendaftaran.

Begitu pun, dia berkata, pengguna masih boleh mengesan perbezaan daripada segi lokasi ia dijual serta harga yang dikenakan.

Katanya, kosmetik tiruan biasanya mudah didapati di tempat terbuka seperti kaki lima pusat beli-belah atau pasar malam manakala produk asli hanya dijual di pasar raya terpilih.

"Kosmetik tiruan sering dikaitkan dengan golongan pembeli daripada golongan berpendapatan rendah, tetapi masih mahu bergaya seperti golongan berada.

"Memang diakui harga kosmetik tiruan jauh berkali ganda lebih murah daripada jenama kosmetik asli, tetapi sebagai pengguna, kita jangan melihat kepada harga murah semata-mata. Ia mungkin mengandungi bahan dilarang yang berbahaya kepada kulit dan kesihatan.

"Apapun, jika pengguna masih tegar memilih untuk menggunakan jenama kosmetik tiruan, mereka harus bersedia menerima sebarang risiko kesihatan berikutan penggunaan produk yang tidak berdaftar berkenaan," katanya.

Kata Mohd Yusof lagi, kebanyakan pengeluar kosmetik di negara Asean terbabit dalam perjanjian bersama untuk mendaftarkan produk masing-masing dengan nombor pendaftaran (lapan angka) yang diterima di negara yang terbabit.

"Sebelum ini, produk keluaran tempatan yang didaftarkan mempunyai nombor MAL di belakangnya dan hanya diiktiraf di negara ini saja. "Tetapi, dengan adanya kerjasama berkenaan, ia sudah ditukar kepada nombor pemberitahuan sebanyak lapan angka.

"Penggunaan nombor berkenaan tidak lain tidak bukan bertujuan untuk memaklumkan pengguna bahawa produk berkenaan sudah didaftarkan secara sah di negara pengeluar dan ia menepati standard pengguna," katanya.

Tiada ulasan: