Selasa, Februari 02, 2010

PENIAGA DIMINTA TAK AMBIL KESEMPATAN



2 Februari 2010

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) meminta peniaga tidak menaikkan harga hasil tangkapan laut dan sayuran terlampau tinggi walaupun alasan faktor bekalan yang tidak mencukupi.

Ketua Eksekutifnya, Mohd Yusof Abdul Rahman, walaupun pihaknya tidak menerima banyak aduan mengenai perkara itu memandangkan ia tidak membabitkan kerugian pembelian, peniaga seharusnya mengambil kira kepentingan pembeli terutama berpendapatan rendah.

“Memang kita sedia maklum, cuaca yang tidak menentu pada masa ini menyumbang kepada kenaikan harga hasil tangkapan laut dan sayuran, namun ia tidak sepatutnya menjadi alasan untuk peniaga mengambil kesempatan untuk menaikkan harga ke satu paras yang melampau.

“Kalau naik setakat 10 peratus, kita boleh terima... tapi kalau sampai 100 hingga 200 peratus, itu terlalu tinggi dan membebankan pembeli,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahayudin, berkata kementerian akan mengumumkan skim kawalan harga bagi barangan basah esok untuk berkuat kuasa mulai 10 hingga 21 Februari ini sempena Tahun Baru Cina.

Katanya, antara barang yang termasuk dalam skim itu adalah ayam, daging lembu, ikan bawal putih, udang putih besar, telur ayam dan kobis.

“Kita juga mengadakan perbincangan dengan pihak industri dan agensi berkaitan termasuk Fama (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) dan LKIM (Lembaga Kemajuan Ikan Malay-sia) setiap kali sebelum musim perayaan supaya ada mekanisme tertentu untuk mengawal dan kestabilan harga khususnya pada musim perayaan.

“Selain itu, pemantauan juga sentiasa dilakukan di peringkat pemborong, pasar dan pasar raya besar. Berdasarkan pengalaman kita, kebanyakan peniaga akan mematuhi harga kawalan yang kita tetapkan,” katanya.

Beliau berkata, peniaga yang melanggar skim kawalan harga boleh dikenakan hukuman mengikut Akta Kawalan Harga 1946 termasuk denda RM15,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali, sementara kompaun RM7,500.

Roslan bagaimanapun tidak menolak kemungkinan kenaikan harga hasil tangkapan laut disebabkan kekurangan bekalan berpunca daripada faktor cuaca. Harga tangkapan laut, sayuran naik mendadak.


Tiada ulasan: