Selasa, Februari 02, 2010

NGO, PENGHUNI RUMAH PANGSA KOS RENDAH SOKONG TP 1MALAYSIA


2 Februari 2010

KUALA LUMPUR: Pelancaran Tabung Penyelenggaraan Satu Malaysia (TP 1Malaysia) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam disambut baik badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai khususnya mereka yang sekian lama tinggal di rumah pangsa kos rendah swasta di ibu negara.

Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya menyifatkan TP 1Malaysia sebagai satu jalan penyelesaian terbaik bagi menghuraikan kekusutan dialami penduduk rumah pangsa kos rendah di ibu negara sejak dulu lagi.

“Tabung ini diharap dapat membantu mengurangkan beban golongan miskin dan kurang berkemampuan. Ia memberi harapan kepada golongan ini untuk memiliki rumah yang lebih baik dan selesa,” katanya.

Pengerusi Pangsapuri Vista Kuala Lumpur, Mohammed Muswan Abu, berkata pada masa ini kebanyakan penghuni rumah pangsa kos rendah terpaksa menjalani kehidupan kurang selesa kerana penyelenggaraan yang teruk dan tidak memuaskan.

“Kita berterima kasih kepada Perdana Menteri yang peka dengan nasib rakyat. Pelancaran TP 1Malaysia memang sesuai dan elok,” katanya.

kerana dapat mengurangkan beban dihadapi penghuni rumah pangsa kos rendah swasta. Kita berharap dengan peruntukan ini, penghuni dapat hidup lebih selesa apabila rumah bersih dan teratur,” katanya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama Taman Mega Kepong, Sri Segambut, Anbu Arasu turut melahirkan rasa lega dengan pelancaran TP 1Malaysia dan berharap tabung berkenaan dapat menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi penghuni di rumah pangsa 12 tingkat itu.

“Kami berasa sedikit lega dengan peruntukan diberikan kerana banyak masalah kami hadapi tidak dapat diselesaikan. Sejak tahun lalu, lif kami rosak dan memerlukan sekurang-kurangnya RM20,000 untuk membaikinya manakala tangki air pula bocor.

“Tabung penyelenggaraan ini diharapkan dapat membantu golongan seperti kami yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah. Kebanyakan penduduk di rumah kos rendah bukan orang kaya. Kami mengucapkan terima kasih kepada kepekaan Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB), Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin, meminta sektor korporat menunaikan tanggungjawab sosial dengan tampil menghulurkan sumbangan kepada TP 1Malaysia.

Beliau berkata, setakat ini hanya RM2.6 juta daripada RM37.6 juta dana terkumpul TP 1Malaysia disalurkan pihak swasta, namun jika lebih banyak syarikat sedia menyokong usaha murni ini, dijangkakan tabungan mampu mencecah RM50 juta.

“Sebelum ini, bagi memastikan semua lapisan masyarakat berpeluang memiliki kediaman di ibu negara, kerajaan menerusi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menetapkan 30 peratus daripada kawasan pembinaan hartanah dikhaskan kepada perumahan kos rendah dan kini kerajaan menyediakan pula dana khas untuk memastikan penyelenggaraan serta penjagaannya terpelihara.

“Jika dulu pemaju mendapat peluang membangunkan sesuatu kawasan dan meraih pulangan lumayan, sudah tiba masanya mereka menyumbang semula kepada orang ramai khususnya bagi meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah,” katanya selepas mengadakan lawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini.

Lawatan itu turut membabitkan kunjungan ke wad bersalin sebagai meraikan kelahiran lima bayi yang dilahirkan serentak sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang turut diiringi isterinya, Datin Nafisah Abdullah dan Pengarah PPUKM yang juga Dekan Fakulti Perubatan, Profesor Datuk Dr Lokman Saim.

Mengulas mengenai kriteria kelayakan penerima TP 1Malaysia, beliau berkata Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan Bersama (JMC) boleh mengemukakan permohonan kepada YWP selaku pengendali dana namun pembiayaan berkonsepkan pemadanan geran di mana separuh kos dibiayai tabungan dan bakinya ditanggung JMB atau JMC.

Tiada ulasan: