Jumaat, April 09, 2010

FOMCA SIFATKAN KERAJAAN TERLALU BERKOMPROMI



29/3/2010

GABUNGAN Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), menyifatkan kerajaan selama ini terlalu berkompromi dalam aspek keselamatan dan sering tunduk desakan orang ramai sehingga gagal melaksanakan mekanisme khusus menangani lambakan kenderaan lama di jalan raya seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata jika kajian sudah jelas menunjukkan banyak kenderaan lama didapati menggunakan teknologi lama dan tidak begitu selamat dipandu di jalan raya, satu pendekatan segera perlu diambil untuk memastikan hanya kenderaan yang disahkan memenuhi piawaian keselamatan boleh dibenarkan ada di jalan.
Beliau berkata, pelbagai cadangan untuk melaksanakan sistem pelupusan dan pemeriksaan kenderaan sebelum cukai jalan diperbaharui cuba dilaksanakan tetapi gagal lantaran bantahan orang ramai sebenarnya tidak memahami mengenai keperluan pelaksanaan sistem itu.

“Ditambah lagi dengan kurangnya kemudahan untuk membolehkan pemeriksaan dijalankan kerana sebelum ini kita hanya bergantung kepada Puspakom semata-mata sedangkan banyak kawasan jauh dari lokasi pusat pemeriksaan kenderaan itu.

“Sudah sampai masa kerajaan melantik bengkel khusus sebagai panel untuk memeriksa kenderaan dan mengeluarkan perakuan sebelum cukai jalan diperbaharui. Pemantauan juga perlu diperketatkan supaya tidak ada pihak mengambil kesempatan atas pelaksanaan kaedah itu nanti.

“Masalahnya, sudah menjadi resam kebanyakan bengkel suka ambil kesempatan. Rosaknya sikit saja, tetapi macam-macam yang mereka suruh ganti. Itu yang kita bimbang, takut menganiaya pengguna,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, apapun alasannya, soal keselamatan tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi sudah terbukti sikap pemandu di Malaysia yang suka mengundang bahaya dengan pelbagai tindakan di luar batas undang-undang.
“Buktinya, ramai pengguna kereta lama suka ubahsuai kenderaan untuk meningkatkan prestasi. Kereta lama selalunya tidak mampu dipandu terlalu laju tetapi untuk membolehkan ia lebih pantas, macam-macam mereka buat, tukar enjin dan sambung itu ini.

“Sistem di negara ini pula tak mewajibkan kenderaan diperiksa sebelum perbaharui cukai jalan. Jadi, bagaimana pihak berkuasa nak kesan kereta yang mengubahsuai tanpa kebenaran sedangkan pengubahsuaian itu mungkin membahayakan mereka. Justeru, perlu ada mekanisme khusus terhadap kenderaan lama.

“Banyak implikasi boleh berlaku jika kenderaan lama tidak diselenggara dengan sempurna. Risiko kemalangan jiwa membabitkan kenderaan lama juga diakui tinggi. Jika dipandu terlalu perlahan di lebuh raya juga menyusahkan orang lain,” katanya lagi.

Mohd Yusof menyarankan supaya wujud lebih banyak insentif untuk menggalakkan pengguna menukar kereta lama dengan yang baru termasuk melihat bagaimana untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kenderaan lebih elok.

Katanya, satu agensi atau badan khas perlu diwujudkan untuk menangani masalah pengguna berpendapatan rendah kerana hakikatnya meskipun peratusan mereka sedikit tetapi mereka juga mahu memiliki kenderaan sendiri lantaran sistem pengangkutan awam masih tidak sempurna.

“Memang benar, negara ini juga sewajarnya mengikut jejak negara lain yang bertegas dalam kaedah pelupusan atau pemeriksaan kenderaan tetapi jika dilihat dalam aspek lain, kita sebenarnya belum cukup bersedia lantaran kekangan lain seperti kualiti pengangkutan awam dan pendapatan rakyat umpamanya.

“Namun, ia tetap perlu dilaksana dengan melihat kepentingan semua pihak,” katanya.

Tiada ulasan: