Suruhanjaya Persaingan akan ditubuhkan di bawah Akta Persaingan. Demikian menurut kenyataan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Penubuhan Suruhanjaya Persaingan bertujuan untuk memantau kegiatan bersifat monopoli dan mengendalikan sebarang aduan yang berkaitan dengan kegiatan tersebut.
Kewujudan Akta Persaingan ini telah lama didesak oleh FOMCA agar diwujudkan. Ia bertujuan mengatasi masalah kawalan bekalan dan harga oleh sesetengah pihak bagi tujuan mengaut keuntungan. Selain itu, ia juga dilakukan untuk mewujudkan kekurangan bekalan secara palsu bertujuan untuk mendesak kenaikan harga.
Pada masa ini terdapat bekalan bagi beberapa komoditi keperluan asas dikendalikan oleh beberapa pengeluar dan pembekal tertentu. Mereka juga sering mewujudkan pakatan atau kartel dalam menentukan kedudukan bekalan dan harga, khususnya barang yang tidak dikawal harganya oleh kerajaan.
Keadaan ini menyebabkan pengguna berhadapan dengan kenaikan harga yang kerap bagi barang tertentu seolah-olah tidak ada sebarang kawalan yang mampu dilakukan oleh kerajaan. Dengan hanya bersenjatakan Akta Kawalan Harga 1946 dan Akta Kawalan Bekalan 1961, agak terhad bidang kuasa yang ada pada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk bertindak membanteras kegiatan ini.
Beberapa krisis bekalan yang berlaku sebelum ini, seperti bekalan beras, gula dan sebagainya kebanyakannya berkaitan dengan kegiatan monopoli ini.
Kewujudan Akta Persaingan, walaupun agak lewat berbanding negara lain yang lebih terbelakang daripada Malaysia, seperti Vietnam dan Kemboja, dapat mewujudkan persekitaran persaingan perniagaan yang lebih sihat.
Pengguna dapat membuat pilihan produk dan perkhidmatan berdasarkan kualiti perkhidmatan yang disediakan. Pihak yang memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan berkualiti akan menjadi pilihan pengguna.
Persaingan juga dapat memperkembangkan bidang penyelidikan dan inovasi bagi melahirkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti dan beraneka pilihan. Pandangan ini telah disuarakan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem, mantan Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) ketika melancarkan Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) pada 20 Mac yang lalu.
Dalam melaksanakan akta persaingan ini, kerajaan tidak sewajarnya memberikan tumpuan kepada sektor swasta sahaja. Ia juga perlu melihat kepada kegiatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang pada masa ini kebanyakannya menjalankan perniagaan bersifat monopoli, seperti sektor pembekalan tenaga elektrik, telekomunikasi, bekalan air dan sebagainya.
Kerajaan perlu menyediakan perancangan agar secara berperingkat, penguasaan secara monopoli syarikat-syarikat ini akan dipecahkan dan syarikat-syarikat lain yang ingin menyediakan perkhidmatan yang sama dibenarkan untuk beroperasi. Ini memberikan pilihan kepada pengguna untuk memilih pihak yang dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Keahlian Suruhanjaya Persaingan yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri kelak hendaklah dianggotai oleh pelbagai pihak yang berkepentingan, seperti wakil persatuan pengguna, persatuan pengilang, agensi kerajaan, ahli akademik dan sebagainya yang mampu membuat pertimbangan sewajarnya dalam mengendalikan isu berkaitan amalan monopoli. Suruhanjaya ini diberikan kuasa untuk mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak yang mewujudkan pakatan atau terlibat dengan kegiatan perniagaan bersifat monopoli tanpa berpihak dan pilih kasih.
9 April 2010
Tiada ulasan:
Catat Ulasan