Jumaat, April 01, 2005

Tambang kenderaan pengangkutan awam naik Mei ini

Kadar tambang baru pengangkutan awam di Semenanjung Malaysia bagi bas ekspres, bas henti-henti dan kereta sewa akan dinaikkan antara 0.9 sen dan 12 sen berkuatkuasa Mei ini.

Manakala bagi bas henti-henti tidak berhawa dingin, kadar kenaikan yang diluluskan adalah 8 sen bagi kadar tetap (setiap dua kilometer pertama) dan 1.2 sen bagi kadar berubah (setiap 1 kilometer berikutnya). Bagi bas henti-henti berhawa dingin, ia dinaikkan 12 sen bagi kadar tetap dan 1.2 sen bagi kadar berubah.

Ketika mengumumkanya, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, kadar tambang bas ekspres tidak berhawa dingin dan berhawa dingin, masing-masing akan naik 0.9 sen dan 1 sen bagi setiap kilometer.

Menurut laporan Bernama, tambang teksi akan dari segi kilometer iaitu dari RM2 bagi dua kilometer pertama kepada RM2 satu kilometer pertama dan akan dikuatkuasa .

Katanya, kadar tambang baru ini hanya akan berkuatkuasa sebaik sahaja ia diwartakan oleh Jabatan Peguam Negara yang dijangka pada 1 Mei ini.

"Sehingga kadar baru ini diwartakan dan dikuatkuasakan, mana-mana pihak sama ada pengusaha individu atau syarikat pengendali perkhidmatan bas, teksi dan kereta sewa tidak dibenarkan mengenakan kadar baru ini kepada pengguna," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.

Kertas Kabinet mengenai cadangan kenaikan tambang pengangkutan awam dibentangkan kepada Jemaah Menteri Rabu lalu tetapi diarahkan supaya mengkaji semula kesan kenaikan itu terutama kepada rakyat.

Tambang bas sekolah kekal

Akhir tahun lalu, pengusaha kenderaan perdagangan termasuk teksi, bas ekspres dan bas henti-henti memohon menaikkan tambang berikutan kenaikan kos operasi akibat peningkatan harga petrol dan diesel.

Persatuan bas ekspres, bas henti-henti, teksi atau kereta sewa dikatakan mahu kenaikan antara 20 dan 80 peratus.

Mohamed Khaled menjelaskan, bagi teksi kenaikan tambangnya ialah RM2 bagi satu kilometer pertama dan 10 sen bagi setiap 150 meter berikutnya (sebelum ini RM2 bagi dua kilometer pertama dan 10 sen bagi setiap 200 meter berikutnya).
Kadar tambang bagi kereta sewa tidak berhawa dingin dan berhawa dingin, masing-masing dinaikkan antara 3 sen dan 3.5 sen bagi setiap kilometer, katanya.

Mengenai tambang bas sekolah, beliau berkata, Kabinet membuat keputusan untuk mengekalkan kadar sekarang memandangkan ia telahpun disemak semula pada bulan September 2001.

"Oleh yang demikian, penyemakan semula kadar tambang baru bas sekolah hanya akan dilakukan pada tahun 2006 iaitu berasaskan dasar penyemakan setiap lima tahun sekali," katanya.

Beliau menjelaskan kenaikan kadar tambang baru itu dibuat bukan berdasarkan perkembangan semasa yang melibatkan kenaikan harga minyak petrol dan diesel tetapi melibatkan pemerhatian dan analisis keseluruhan faktor dari tahun 2000 bagi bas dan 1996 bagi teksi.

Kualiti perkhidmatan

Katanya penggunaan kadar tambang baru itu akan digunapakai untuk tempoh lima tahun akan datang.

"Dengan perkembangan terbaru ini juga, syarikat-syarikat teksi tidak dibenarkan membuat sebarang kenaikan pada kadar sewa harian yang dikenakan kepada para pemandu," katanya.

Mohamed Khaled berkata selaras dengan kenaikan kadar tambang tersebut, kerajaan menyasarkan peningkatan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam menjelang 2010 yang meliputi kekerapan trip, masa menunggu, had usia kenderaan, piawaian kenderaan, etika perkhidmatan dan kesedaran mengenai hak-hak pengguna.

"Menjelang 2010, disasarkan terdapat 6,098 buah bas ekspres berbanding sekarang 4,778 dan 25 peratus daripadanya adalah bas eksekutif manakala bas henti-henti dalam bandar, masa menunggu adalah antara 15 dan 30 minit dan usia bas tidak melebihi 15 tahun," katanya.

Beliau berkata bas henti-henti luar bandar pula disasarkan 25 peratus daripadanya adalah bas berhawa dingin manakala teksi dan kereta sewa, masing-masing disasarkan masa menunggu 15 minit dan 30 minit yang sebelum ini tidak ditetapkan.

"Matlamat utama penyemakan had kadar tambang bas dan teksi serta kereta sewa ini bukanlah semata-mata untuk menyelaraskan kadar yang sedia ada dengan kos pengendalian perkhidmatan tersebut, tetapi juga bertujuan untuk meletakkan satu piawaian perkhidmatan atau 'benchmarking' mutu perkhidmatan pengangkutan awam yang bersesuaian dengan bayaran yang dikeluarkan oleh pengguna," katanya.

Malaysiakini, 1 April 2005

Tiada ulasan: