Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 30 Mac (Hrkh) - Majoriti besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya lalu dilihat tidak mampu membela nasib rakyat lebih-lebih lagi apabila isu kenaikan harga tol Lebuh raya Utara Selatan berlaku.
Salahuddin Ayob (PAS - Kubang Kerian) berkata, majoriti besar BN itu hanya dilihat memberi penderitaan kepada rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.
Sebaliknya Salahuddin berkata, majoriti besar BN itu menyaksikan Syarikat Plus yang memiliki Lebuh Raya Utara Selatan mengaut keuntungan di atas kenaikan harga tol bermula pada 1 Januari 2005.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul tergempar mengenai kenaikan harag tol yang dikemukakan oleh Ketua Pembangkang di Parlimen, Lim Kit siang (DAP-Ipoh Timur) di Dewan Rakyat petang semalam.
Plus akui ada untung jika tidak naik harga tolMenurut Salahuddin, sebelum ini beliau dan Jawatankuasa Membantah Kenaikan Harga Tol (Cauti) telah berjumpa dengan pengurusan Plus pada 22 Disember 2004 untuk bertanyakan status keuntungan Plus.
Dalam pertemuan itu kata Salahuddin pihaknya diberitahu Plus bahawa Plus masih boleh mendapat keuntungan sekiranya kenaikan 10 peratus tidak berlaku.
Katanya lagi, Plus sendiri mengakui bahawa mereka dapat mengaut keuntungan hasil dari kutipan yang dikira sebelum kenaikan.
Cuma kata Salahuddin, Plus mendakwa mereka terpaksa membayar hutang yang ditinggalkan Renong selepas penswastaan Plus yang kini dipegang oleh saham Khazanah Holding, KWSP, Socso dan Plus sendiri.
Secara keseluruhannya menurut Salahuddin, dalam isu kenaikan harga tol itu kerajaan sebenarnya tidak melihat kepentingan rakyat sebagai perkara pertama.
Sebaliknya, kepentingan perniagaan korporat adalah menjadi agenda yang dibawa supaya keuntungan boleh dikutip oleh syarikat kroni.
Justeru Salahuddin menggesa kerajaan terutamanya ahli Parlimen BN yang mempunyai majoriti besar dalam Parlimen memaksa kerajaan menarik semula kenaikan harga tol yang membebankan rakyat.
Kenaikan tol bebankan pengguna
Beliau menegaskan, Salahuddin secara serius membantah kenaikan kadar tol atas beberapa aspek, pertamanya ialah kenaikan harga tol akan membebankan pengguna terutamanya golongan berpendapatan rendah.
Ujarnya, secara tidak langsung harga barang harian akan meningkat dan memberi kesan terhadap Indeks Harga Pengguna (CPI).
Selain itu kata Salahuddin walaupun pengguna membayar kadar tol yang tinggi, kualiti infrastruktur yang diperolehi masih berada di tahap yang rendah.
Jelas beliau, tuduhan itu berasas kerana pengguna masih mengalami masalah kesesakan jalan raya yang teruk terutamanya pada musim perayaan dan pada waktu-waktu kemuncak di plaza tol.
Kerajaan tidak telus
Menurut Salahuddin lagi, rakyat juga mendapati kerajaan tidak telus dalam proses perjanjian konsesi dengan tidak mendedahkan kepada umum mengenai perjanjian yang telah ditandatangani.
Buktinya ujar beliau, tidak ada satu pun akta untuk menyelenggara atau menyelaras perjanjian konsesi antara kerajaan dan swasta.
Justeru kata beliau, akta ‘Build-operate-transfer(BOT)’ perlu diwujudkan selain mengkaji semula Akta Rahsia Rasmi 1986 untuk memastikan masyarakat mengetahui syarat-syarat dan terma perjanjian di antara kerajaan dengan pemegang konsesi.
Salahuddin seterusnya mendesak kerajaan mendedahkan terma-terma perjanjian konsesi penswastaan kepada umum kerana ia memberi impak terus kepada semua pengguna.
Timbalan menteri pertahan perjanjian
Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Dato' Ir Mohammad Zin dalam penggulungan jawapannya berkata, perjanjian konsesi lebuh raya utara selatan bermula sejak 18 Mac 1988 lagi.
Kemudian perjanjian itu diubah semula pada tahun 1996 bagi membolehkan rakyat tidak terlalu terbeban dengan syarat dan terma yang ada pada perjanjian lama.
Sejak tahun 2002 hingga 2004, Plus telah berjaya melunaskan hutang sejumlah 1.935 bilion ringgit kepada kerajaan.
Menurut Ir Mohammad Zin, kenaikan harga tol sebenarnya adalah termaktub dalam perjanjian yang dibuat antara pemilikan konsesi.
Bagi kerajaan kenaikan harga tol itu sebenarnya tidak membebankan rakyat sebaliknya rakyat didakwa menikmati keuntungan yang lebih berdasarkan kepada pemilikan saham Khazanah Holding dalam Plus.
"Dalam masa yang sama rakyat menikmati keuntungan,"kata beliau.
Bagaimanapun jawapan Mohammad Zin itu dibantah oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang terutamanya dari DAP yang mempertikaikan kenyataan itu. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan