Rabu, April 27, 2005

Kenaikan mendadak tambang feri bebankan pengguna - Fomca

Wednesday, April 20 @ 16:52:30 MYT


Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 20 April (Hrkh) - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menyifatkan kenaikan tambang feri Pulau Pinang terutama membabit penumpang pejalan kaki sebanyak 100 peratus adalah terlalu tinggi dan membebankan pengguna.

Mulai 1 Mei ini, tambang untuk penumpang pejalan kaki ialah RM1.20 naik 100 peratus daripada 60 sen sebelum ini.

Pengarah Komunikasi Korporat Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kenaikan tersebut membebankan pengguna berbanding perkhidmatan yang disediakan syarikat pengusaha masih berada pada tahap tidak memuaskan.

Malah katanya, kenaikan tersebut sangat tidak munasabah kerana hanya mahu menampung kerugian Syarikat Penang Port Sdn Bhd (PPSB) yang mengendalikan perkhidmatan feri itu.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi bagi mengulas isu kenaikan tambang feri di Pulau Pinang yang akan berkuatkuasa pada 1 Mei ini.

"Kebiasaanya kenaikan sesuatu perkhidmatan atau harga barang oleh sesuatu syarikat mahupun kerajaan, hanya mengikut pertimbangan mereka sahaja untuk menampung kerugian yang dialami,” katanya.

Beliau mendakwa, hal tersebut juga berlaku dalam tindakan PPSB yang menaikkan tambang feri berikutan kerugiannya.

Akibatnya beliau mendakwa, pengguna terus-menerus dibebankan dengan kenaikan bagi menampung bebanan hutang atau kerugian sesebuah syarikat.

Malangnya kata beliau, pihaknya mendapat rungutan daripada pengguna bahawa kualiti perkhidmatan yang disediakan tidak memuaskan selain perjalanan yang lambat.

Berikutan perkhidmatan yang tidak memuaskan katanya, ramai pengguna kini lebih berminat menggunakan Jambatan Pulau Pinang walaupun berlaku kesesakan di jambatan tersebut pada waktu kemuncak.

Sehubungan itu, Mohd Yusof berkata, Fomca mencadangkan kepada PPSB agar meningkatkan mutu perkhidmatan yang dilihat kurang memuaskan.

Tambah beliau, pada masa kini penduduk Pulau Pinang mempunyai dwi-pilihan sama ada menggunakan feri ataupun Jambatan Pulau Pinang.

Katanya, PPSB perlu mengambil inisiatif sendiri bagi menaikkan semula imej perkhidmatannya supaya mampu berdaya saing dengan perkhidmatan lain di Pulau Pinang.

Antaranya kata beliau, PPSB boleh mengkaji semula penggunaan feri pengangkutan penumpang yang bersekali dengan pengangkutan kenderaan yang sedang diamalkan kepada pengangkutan penumpang sahaja.

Kata Mohd Yusof, tindakan itu boleh mengurangkan kos operasi PPSB yang selama ini menjadi faktor kerugian syarikat tersebut.

Tambang feri di Pulau Pinang akan dinaikkan 10 hingga 100 peratus berkuatkuasa 1 Mei ini.

Kali terakhir kenaikan tambang ialah pada 1994 dan kajian kadar baru dinilai semula selepas lima tahun akan datang.

Mesyuarat Kabinet pada 13 April lalu memutuskan kenaikan itu bagi mengurangkan beban serta kerugian PPSB berikutan peningkatan kos perkhidmatan, penyelenggaraan, minyak dan tenaga kerja.

Dengan kenaikan kadar tambang itu, PPSB dapat mengurangkan kerugian kira-kira RM280 juta yang terpaksa ditanggung hingga tamat konsesi menjelang 2023. – lanh

Tiada ulasan: