Rabu, April 20, 2005

Fomca desak pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dalam isu air

Wednesday, April 20 @ 13:24:14 MYT

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 20 April (Hrkh) - Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Pakatan Membantah Penswastaan Air (CAPW) menggesa Kabinet Malaysia meluluskan pembentukan Jawatankuasa Pilihan Parlimen dalam isu penswastaan air dalam persidangan mereka hari ini.

Menurut Presiden Fomca, N Marimuthu, pihaknya bersama 26 pertubuhan mahu jawatankuasa yang telahpun dicadangkan penubuhannya oleh ahli Dewan Rakyat dalam hansard 18 Januari lalu diluluskan oleh Kabinet Malaysia demi kepentingan rakyat dan pengguna.

"Jawatankuasa ini dimaklumkan bertujuan untuk mendapatkan maklum balas rakyat dan diberi masa tiga hingga enam bulan selepas bacaan pertama dan sebelum bacaan kedua di persidangan Dewan Rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam memorandum Fomca bersama CAPW yang diserah kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohamed Nazri Aziz di lobi Parlimen semalam.

Turut serta dalam perjumpaan itu ialah, Presiden Kesatuan Sekerja Kebangsaan (MTUC), Syed Shahir Syed Mahmud; Pengarah Komunikasi Korporat Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman dan aktivis pengguna, Charles Santiago.

Mengulas lanjut tuntutan Fomca dan CAPW itu Marimuthu berkata, pihaknya kecewa dengan keputusan Kabinet pada 6 April lalu yang memutuskan bahawa jawatankuasa tersebut tidak akan ditubuhkan dan justifikasi kepada keputusan tidak akan didedah.

Fomca percaya penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen itu akan berperanan penting dalam mengumpul maklum balas daripada rakyat termasuk golongan profesional dan akademik terhadap soal reformasi industri air negara.

"Pendapat rakyat akan mencermin ketelusan dan sikap serta kredibiliti kerajaan mengurus industri air di negara kita," kata Marimuthu.

Selain itu Fomca juga yakin bahawa kerajan sewajarnya mengambil kira pandangan dan komen daripada persatuan-persatuan pengguna, pertubuhan bukan kerajan serta persatuan penduduk dalam apa juga langkah penswastaan air.

Dalam isu penubuhan semula jawatankuasa itu Fomca menyambut baik gesaan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Dato' Shahrir Samad dan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang yang mahu jawatankuasa itu dibentuk.

Bagaimanapun ketika wartawan mahu Fomca mengulas lanjut memorandum mereka, kakitangan Parlimen menghalang Fomca dan wartawan melanjutkan sesi soal jawab.

Sementara itu Mohammed Nazri yang mengulas bagi pihak kerajaan berkata, pihaknya menerima baik memorandum yang dikemuka Fomca serta CAPW.

Mohammed Nazri berkata, pihaknya menghormati pandangan persatuan pengguna berhubung isu penswastaan air itu.

Beliau seterusnya berjanji akan membawa isi kandungan tuntutan itu dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Dalam pada itu Mohd Yusof yang ditemui selepas pertemuan dengan menteri berkata, secara keseluruhanya Fomca mahu kerajaan mengkaji semula dasar penswastaan air yang mahu dilaksanakan.

Katanya, penswastaan air hanya akan membebankan pengguna sekiranya masalah air termasuk kualiti dan kecekapan pengurusan tidak berada pada tahap yang baik.

"Sebelum ini masalah pengurusan bekalan air di negara ini berlaku kerana kelemahan pengurusan air oleh pihak yang diberi tanggungjawab menguruskan air," katanya.

Sehubungan itu katanya, Fomca akan melancarkan kempen jimatkan penggunaan air peringkat kebangsaan sebagai satu simbolik kepada keputusan kerajaan menswastakan bekalan air. – lanh

Tiada ulasan: