Jumaat, April 01, 2005

Tambang pengangkutan awam naik lagi, rakyat makin terbeban

Oleh Salmiyah Harun
KUALA LUMPUR, 31 Mac (Hrkh) - Kenaikkan kadar tambang pengangkutan awam yang diumumkan hari ini, membuatkan rakyat kehilangan pengangkutan alternatif yang diharap menawarkan tambang yang lebih murah.

Hari ini kerajaan mengumumkan harga tambang baru untuk pengangkutan awam seperti bas, teksi dan kereta sewa.

Pegawai Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Yusoff Abdul Rahman berkata, beliau sudah menjangka tambang pengangkutan awam akan dinaikkan memandangkan kenaikkan harga petrol dan diesel.

Bagaimanapun Fomca memang tidak setuju dengan kenaikkan kadar tambang pengangkutan awam, kerana ia adalah satu kemudahan alternatif yang menawarkan harga yang murah biarpun dalam suasana kenaikkan harga minyak ataupun petrol.

Sepertimana pendirian Fomca sebelum ini, Fomca sememangnya tidak bersetuju kerajaan menaikkan harga tambang pengangkutan ini kerana kenaikkan itu akan dipikul oleh pengguna.

Di samping itu, Yusoff kesal kerana sebelum ini menteri berkenaan menjelaskan kenaikkan harga petrol penghujung tahun lepas tidak memberi kesan kepada kenaikkan keperluan asas termasuklah kenaikkan tambang pengangkutan awam.

"Apabila kerajaan mengumumkan kenaikkan harga petrol dan tol baru-baru ini pihak yang menyediakan pengangkutan awam terasa bebanannya sehinggakan mereka terpaksa menaikkan harga tambang, "kata beliau yang dihubungi hari ini.

Bagaimanapun katanya. kini kerajaan seperti cenderung untuk menaikkan harga tambang pengangkutan awam biarpun kerajaan menyatakan kenaikkan tambang itu seimbang.

Kenaikkan tambang itu difahamkan tidak akan dikuatkuasakan serta merta dan mungkin diwartakan pada Mei bulan hadapan.

Semakan kenaikkan itu dikatakan cuma membabitkan tambang bas ekspres, bas henti-henti dan teksi atau kereta sewa manakala kadar tambang bas sekolah kekal sebagaimana yang disemak pada tahun 2001.

Justeru, Yusoff berkata, untuk mengelak daripada pengguna menjadi mangsa kenaikkan tambang pengangkutan awam ini, beliau menyarankan kerajaan mencari bahan api alternatif yang menawarkan harga yang murah misalnya Nature Gas Vehicle (NGV) khususnya kepada pengangkutan awam seperti teksi.

"Jika pengangkutan awam menggunakan bahan api semulajadi seperti NGV sekurang-kurangnya pengguna tidak terasa bebanan kesan kepada kenaikkan harga petrol itu, kini pengguna sedang memikul bebanan atas tindakan kerjaan sendiri biarpun kadar tambang yang diumumkan dikatakan tidka membebankan rakyat," katanya.

Hari ini Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato' Mohamed Khaled Nordin mengumumkan Kadar tambang baru pengangkutan awam di Semenanjung Malaysia bagi bas ekspres, bas henti-henti dan kereta sewa akan mengalami kenaikan antara 0.9 sen dan 12 sen berkuatkuasa Mei ini.

Bagi bas henti-henti tidak berhawa dingin, kadar kenaikkan yang diluluskan adalah sebanyak 8 sen bagi kadar tetap (setiap dua kilometer pertama) dan 1.2 sen bagi kadar berubah (setiap 1 kilometer berikutnya) manakala bas henti-henti berhawa dingin, dinaikkan sebanyak 12 sen bagi kadar tetap dan 1.2 sen bagi kadar berubah.

Beliau berkata, kadar tambang yang diluluskan bagi bas ekspres tidak berhawa dingin dan berhawa dingin, masing-masing akan mengalami kenaikan sebanyak 0.9 sen dan 1 sen bagi setiap kilometer.

Manakala kadar tambang teksi pula akan mengalami perubahan daripada segi kilometer iaitu daripada RM2 bagi dua kilometer pertama kepada RM2 satu kilometer pertama. - mks.

Tiada ulasan: