Khamis, Mac 17, 2005

Hanya enam pantau halal

PUTRAJAYA: Ketika umat Islam menyuarakan kebimbangan berhubung penyalahgunaan logo halal, ramai mungkin tidak tahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) cuma mempunyai enam pegawai penguat kuasa bagi memantau pengeluaran dan penjualan produk berkenaan di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mustafa Abdul Rahman ketika mendedahkan perkara itu berkata, bahagian penguat kuasa Jakim pada awalnya mempunyai dua penguat kuasa dan kini meningkat kepada enam pegawai yang bertanggungjawab mengawal selia barangan halal dan haram.

“Mereka kerja siang malam, kadangkala sampai jam 3 atau 4 pagi. Cuma saya nak kata kita sekarang perlu lebih ramai pegawai.

“Jabatan cukup memahami kebimbangan pengguna Islam apabila satu demi satu kes penjualan makanan yang diragui kesuciannya dibongkar serta dilaporkan media seperti penjualan sosej menggunakan usus babi.

“Kita tahu langkah paling berkesan membendung masalah itu ialah melalui pemantauan yang lebih ketat. Namun, Jakim berhadapan masalah mendesak iaitu kekurangan tenaga penguat kuasa,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Mustafa mengulas desakan umat Islam supaya kerajaan bertindak segera berikutan kes dua kilang memproses sosej di Selayang yang didapati menggunakan usus babi sebagai sarung bahan makanan.

Isnin lalu,dua kilang terbabit diserbu dan diarah ditutup selama dua minggu, berkuat kuasa serta merta. Sebuah kilang terletak di Kompleks Selayang manakala satu lagi berhampiran Pasar Borong Selayang.

Antara barang dirampas ialah 200 kotak berisi sosej, kotak kosong dengan logo ‘halal’ yang tidak sah, pelekat dan sarung plastik.

Selain itu, sebuah restoran di gedung perabot terkemuka di Damansara Utama, yang dipercayai menjadi pelanggan utama kilang sosej itu turut diserbu dan 50 kotak berisi produk berkenaan dirampas.

Kelmarin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd Shafie Apdal, berkata kerajaan akan menyegerakan penguatkuasaan penggunaan logo halal baru yang dilengkapi ciri keselamatan lebih ketat bagi mengelak lebih ramai peniaga menipu pengguna.

Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan maklumat daripada Jakim berhubung perkembangan terbaru cadangan menguatkuasakan penggunaan logo halal baru yang mula diperkatakan tahun lalu itu.

Mustafa mengesahkan Kabinet juga sudah mengarahkan Jakim memperkemaskan pemantauan terhadap pengeluaran produk halal dan haram, tetapi menegaskan pihaknya kini berhadapan dengan masalah kekurangan pegawai penguat kuasa.

Sehubungan itu, katanya, Jakim sedang berusaha mendapatkan tambahan 120 penguat kuasa bagi membolehkan tindakan lebih tegas dan terancang dikendalikan.

“Kita sedang menyiapkan kertas permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan amat berharap ia diluluskan segera. Kita akan mempercepatkan semua usaha bagi mendapatkan lebih ramai kakitangan penguat kuasa.

“Kabinet sudah mengarahkan Jakim memperkemaskan pemantauan terhadap pengeluar produk halal dan haram. Itulah yang sedang kita usahakan termasuk mengemukakan kertas cadangan lengkap kepada JPA untuk dipertimbangkan,” katanya.

Mustafa berkata, enam pegawai penguat kuasa yang ditugaskan sekarang, meskipun mendapat bantuan 73 pegawai jabatan agama Islam negeri, tidak mencukupi bagi memantau pengeluaran dan pengedaran produk halal dan haram, termasuk kira-kira 1,000 produk yang mempunyai logo halal.

“Sehingga November tahun lalu, 586 premis diperiksa di seluruh negara dan jumlah itu dianggap membanggakan jika mengambil kira faktor keupayaan dan jumlah logo halal yang dikeluarkan jabatan,” katanya.

Beliau berkata, caj yang dikenakan bagi semua pihak mendapatkan logo halal daripada Jakim amat minimum, iaitu antara RM100 hingga RM700 yang boleh ditanggung pengeluar terutama syarikat besar.

“Kita mengenakan bayaran RM100 bagi pengusaha industri kecil dan sederhana mendapatkan logo halal. Begitu juga pengusaha restoran yang dikenakan RM100 bagi setiap dapur yang digunakan,” katanya.

Mustafa berkata, Jakim kini di peringkat akhir menyiapkan kertas cadangan memperkenalkan logo halal yang dilengkapi cip keselamatan khas bagi mengelak penggunaan tanda palsu.

“Kita jangka kertas cadangan itu dapat disiapkan bulan depan.

“Sehubungan itu, kita akan mengadakan pertemuan dengan semua pengeluar termasuk persatuan pengilang bagi mendapatkan maklum balas bagaimana logo halal baru boleh digunakan,” katanya.

Berita Harian, 17 Mac 2005

Tiada ulasan: