PRESIDEN Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), N. Marimuthu kelmarin menggesa kerajaan supaya menubuhkan sebuah suruhanjaya harga.
Katanya, suruhanjaya itu perlu diwujudkan bagi mengkaji sebarang permintaan untuk menaikkan harga dan perkhidmatan.
Marimuthu membuat gesaan itu ekoran cadangan persatuan pengusaha teksi, bas bandar dan bas ekspres yang mahu kerajaan menaikkan tambang pengangkutan awam sehingga 80 peratus.
Menurut Marimuthu, mengambil model daripada amalan di negara-negara maju, suruhanjaya itu berperanan menerima bantahan daripada pihak yang tidak bersetuju dengan kenaikan harga sesuatu barangan atau perkhidmatan.
Mekanismenya begini: Mana-mana pihak yang mahu menaikkan harga barangan atau perkhidmatan boleh mengemukakan cadangan kepada suruhanjaya. Suruhanjaya kemudian akan mengumumkan bahawa ia sudah menerima satu cadangan dan mana-mana pihak yang ingin membantah boleh mengemukakan pandangan.
Selepas mendengar pandangan daripada kedua-dua belah pihak, suruhanjaya kemudian akan membuat keputusan mengenai cadangan kenaikan tersebut.
Mengulas cadangan itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk S. Veerasingam menyifatkannya sebagai ``munasabah'' dan akan diusulkan ke dalam mesyuarat Kabinet.
Tetapi kalau ingatan kita baik, cadangan penubuhan suruhanjaya itu, atau sebuah mekanisme yang hampir serupa, pernah dibincangkan di peringkat kementerian.
Ia mula dibangkitkan pada pertengahan tahun 2000 oleh menterinya ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Bercakap selepas satu mesyuarat kajian perancangan strategik peringkat kementerian di Langkawi, Muhyiddin berkata, kerajaan bercadang memperkenalkan Akta Pengawasan Harga yang akan menggabungkan beberapa elemen di Akta Kawalan Harga dan Akta Kawalan Bekalan yang sedia ada.
Akta yang mahu diperkenalkan itu adalah mengambil model daripada akta yang sama yang dilaksanakan di Australia.
Muhyiddin beberapa bulan selepas itu mengadakan lawatan ke Australia yang salah satu tujuannya ialah melihat operasi Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna (ACCC) negara itu yang melaksanakan akta berkenaan.
Sekembali daripada lawatan itu, Muhyiddin mengumumkan bahawa rang undang-undang berkenaan sedang digubal, dan pihak kementerian sedang mengumpulkan maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk persatuan-persatuan pengguna.
Setahun kemudian, laporan menyebut bahawa rang undang-undang pengawasan harga itu akan dibentangkan di Parlimen pada sesi Julai 2002. Tetapi selepas itu cerita tentang Akta Pengawasan Harga yang antara lain memberi kuasa kepada menteri untuk campur tangan terhadap sebarang kenaikan harga yang menjejaskan pengguna senyap begitu saja.
Sekarang ini, selepas timbul desakan daripada pihak pengusaha kenderaan awam yang mahukan tambang dinaikkan sehingga 80 peratus isu tentang mekanisme kawalan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ini timbul semula.
Dalam keadaan penggubalan undang-undang menjadi urusan sekelompok kecil orang - maksudnya tidak dibuat secara terbuka melalui rujukan pendapat seperti di United Kingdom dan Australia, misalnya - kita tentu bertanya-tanya apa sudah jadi kepada cadangan lama itu.
Kita pun tidak tahu apakah sebabnya rang undang-undang itu tidak jadi dibawa ke Parlimen.
Rang undang-undang yang akan mengambil alih peranan Akta Kawalan Harga dan Akta kawalan Bekalan itu diasaskan kepada Akta Pengawasan Harga 1983 di Australia.
Apakah pindaan yang dilakukan sehingga membawa kepada pemansuhan akta itu di Australia sendiri berkuat kuasa pada 1 September 2003 menyebabkan cerita tentang penggubalan akta yang sama senyap begitu saja, kita tidak tahu.
Atau apakah kerana kementerian setelah beralih teraju kepimpinan dua kali sejak setahun yang lalu mempunyai keutamaan yang lain, kita juga tidak tahu.
Selepas Muhyiddin dipindahkan ke Kementerian Pertanian pada awal 2004, tempatnya diambil alih oleh Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis sebelum beliau pula digantikan oleh Datuk Mohd. Shafie Apdal pada April berikutnya.
Walaupun menteri bertukar masalah pengguna tetap sama, dari tahun ke tahun. Harga barang naik tidak pernah tidak menjadi isu. Isu harga naik tetap jadi isu harga naik, dan perlu dicari penyelesaiannya. Pemimpin bertukar tidak seharusnya menjadi alasan dasar dan keutamaan harus juga bertukar.
Cadangan FOMCA mengenai suruhanjaya harga ini harus dilihat dalam konteks gerak kerja yang sudah dijalankan oleh kementerian semasa di bawah seliaan Muhyiddin dulu. Ia tentulah tidak boleh lari jauh daripada itu.
Pada masa yang sama, ada baiknya juga kita memikirkan satu persoalan besar tentang ekonomi: Apakah kawalan harga mampu mengawal inflasi? Peter Samuel dalam sebuah eseinya dalam buku bertajuk Conservatism as Heresy yang terbit tahun 1974 menghujahkan bahawa kawalan harga bukanlah penyelesaian mudah kepada inflasi.
Malah semakan undang-undang di Australia yang membawa kepada pemansuhan Akta Pengawasan Harga 1983 itu juga menemui jawapan yang sama. Ia membuat pemerhatian bahawa iklim ekonomi dunia sudah jauh berubah. Persaingan adalah sesuatu yang terpaksa digalakkan.
Pada masa yang sama, semakan itu juga mendapati bahawa pengawasan harga tidak banyak dibuat melalui akta 1983 itu. Selepas dimansuhkan, kandungan akta 1983 itu dimasukkan sebagai satu bab dalam Akta Perdagangan Adil 1974.
Tentang perdagangan adil, itu satu hal yang lain pula. Laporan Pembaharuan Undang-Undang Pengguna oleh S. Sothi Rachagan yang diserahkan kepada kerajaan pada tahun 1992 ada menyebut tentang hal ini. Beberapa tahun lalu pun kita ada mendengar cadangan kementerian untuk memperkenalkan sebuah akta yang sama bagi melindungi pengguna dan mengingatkan peniaga.
Itu pun satu cerita lama juga. - NOOR AZAM SHAIRI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan