Khamis, Mac 17, 2005

Lahirkan pengguna pintar fokus utama

PUTRAJAYA 15 Mac - Agenda melahirkan pengguna pintar menjadi fokus utama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam usaha memperkasakan golongan itu di negara ini.

Menterinya, Datuk Mohd. Shafie Apdal berkata, untuk tujuan itu, kementerian akan mengadakan program-program berkaitan isu-isu kepenggunaan secara berterusan dengan menjadikan golongan pelajar sebagai kumpulan sasar utama.

Kata beliau, sehubungan itu, kementerian mengharapkan kerjasama padu daripada agensi-agensinya dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha memberikan pendidikan kepenggunaan, khususnya, kepada golongan itu.

``Usaha ini sangat penting kerana generasi berkenaan bakal berhadapan dengan persekitaran yang lebih dinamik dan mencabar. Pada mereka inilah terletaknya masa depan negara kita,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pelancaran program-program Hari Pengguna 2005 di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), N. Marimuthu.

Mohd. Shafie berkata, NGO khususnya persatuan pengguna merupakan elemen penting dalam menyatukan golongan pengguna untuk bertindak secara bersepadu dalam memperjuangkan isu-isu kepenggunaan.

Katanya, kumpulan lain yang turut menjadi sasaran program kepenggunaan yang berterusan ialah wanita, belia, profesional, ahli-ahli NGO dan masyarakat luar bandar.

``Program-program ini amat penting untuk mendidik mereka mengenai hak dan tanggungjawab sebagai pengguna yang membolehkan mereka sedar dan mampu mengamalkan perlindungan diri dalam menghadapi isu pengguna ini,'' ujarnya.

Dalam pada itu, sempena sambutan Hari Pengguna Malaysia 2005 pada 22 Julai ini, pelbagai pertandingan yang memfokuskan isu kepenggunaan telah dirancang.

Program-program itu termasuklah pertandingan mengarang esei, melukis poster, mewarna, melukis kartun, bahas antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan folio atau buku sekerap antara Kelab Pengguna Sekolah.

Program-program anjuran kementerian dan FOMCA itu mendapat tajaan daripada Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia.

Ia akan berlangsung selama lima bulan bermula hari ini dan berakhir pada 6 Ogos 2005.

Menurut Marimuthu, pihak penganjur melancarkan pertandingan itu lebih awal bagi memberi masa yang secukupnya kepada pihak IPT dan sekolah membuat persediaan.

Katanya, hadiah-hadiah menarik dalam bentuk wang tunai yang berjumlah RM150,000 disediakan kepada pemenang untuk semua kategori yang dipertandingkan.

Tambah beliau, FOMCA menyasarkan 20,000 penyertaan bagi semua enam program pada tahun ini.

Tahun lalu, sebanyak 11,000 penyertaan diterima.

``Hadiah yang ditawarkan adalah sekadar tarikan kerana yang lebih utama ialah penglibatan semua golongan dalam program-program yang kita sediakan ini,'' ujarnya.

Maklumat lanjut mengenai pertandingan tersebut boleh diperolehi dengan menghubungi urus setia Program Hari Pengguna Malaysia 2005 di talian 03-78762009 atau laman web www.fomca.org.my.

Utusan Malaysia - 16 Mac 2005

Tiada ulasan: