Rabu, Mac 16, 2005

Tangani isu kenaikan harga: Suruhanjaya khas perlu – Fomca

Friday, March 11 @ 18:51:17 MYT


KOTA BHARU, 11 Mac (Hrkh) – Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mahu kerajaan mewujudkan suruhanjaya khas yang berperanan mengkaji kesan kenaikan harga barangan atau perkhidmatan di negara ini.

Timbalan Presidennya, Haji Ahmad Othman berkata, suruhanjaya tersebut perlu diwujudkan segera memandangkan isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sukar ditangani kerajaan sekarang.

“Kesan kenaikan tersebut memberi implikasi yang besar kepada sosio ekonomi masyarakat terutamanya penduduk miskin yang tinggal di kawasan bandar.

“Apa yang berlaku sekarang, dilihat kerajaan tidak berupaya mengawal kenaikan harga sesuatu barangan dan perkhidmatan sehingga memberi kesan kepada taraf hidup masyarakat,” katanya di sini.

Beliau mengulas kenaikan harga diesel sebanyak lima menjadikan harga di pasaran sekarang 88.1 sen, bermula 1 Mac lalu. Sedangkan sebelum ini kerajaan sudah menaikkan harga bahan api tersebut termasuk petrol.

Kenaikan harga diesel menyebabkan pengusaha lori menuntut menaikkan harga pengangkutan kepada 7 sen setan bagi 1.6 kilometer.

Pada awal tahun ini pengguna lebuh raya dibebani dengan kenaikan harga tol.

Ahmad berkata, suruhanjaya yang dicadangkan tersebut boleh memainkan peranan berkesan bagi membantu kerajaan menangani isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Katanya, badan itu hendaklah diletak di bawah tanggungjawab parlimen iaitu hampir serupa fungsi dengan suruhanjaya lain yang diwujudkan kerajaan sebelum ini.

“Suruhanjaya tersebut akan membuat kajian secara lebih menyeluruh kesan-kesan kenaikan sesuatu barangan atau perkhidmatan dan dibentang kepada kerajaan sebelum kelulusan kenaikan dipertimbangkan.

“Badan itu hendak dianggotai mereka yang pakar dalam bidang ekonomi dan isu kepenggunaan termasuk dari institusi pengajian tinggi, badan bukan kerajaan atau individu difikirkan sesuai,” katanya.

Beliau juga mendakwa ketika pengusaha lori sibuk menuntut kenaikan tambang, kereta api sudah menaikkan tambang perkhidmatannya sejak harga diesel diisytiharkan naik.

Katanya, tambang kereta api ekpress dari Wakaf Baru, Tumpat ke Kuala Lumpur sudah dinaikkan sebanyak RM12 bagi tiket pergi dan balik untuk laluan tersebut.

“Baru minggu lepas saya menaiki kereta api ke Kuala Lumpur dan terkejut dengan kadar tambang yang dikenakan sekarang. Ini kerana tidak ada pengumuman dibuat mengenai kenaikan itu,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, syarikat rokok di negara ini menurunkan harga bahan tersebut baru-baru ini, disebabkan permintaan di pasaran sekarang menurun selepas dinaikkan awal tahun ini.

Kenaikan itu berlaku disebabkan peningkatan duti import yang dikenakan kerajaan.

Katanya, biar pun harga rokok naik sekejap bagi menampung kenaikan duti import sebelum ini, namun syarikat tertentu menurunkan semula selepas permintaan di pasaran merudum.

Misalnya harga rokok yang dikeluarkan syarikat Japan Tobacco International (JTI) diturunkan dari RM5 kepada RM4.50 sekotak sekarang.

“Ini bermakna syarikat terbabit boleh lagi mencatat untung biar pun menurunkan sedikit harganya. Begitu juga dengan harga tol dan petroleum kalau tidak dinaikkan sekali pun, syarikat pembekal dipercayai masih boleh mencatat keuntungan.

“Sekiranya pemegang konsesi tol tidak mendapat keuntungan sudah tentu prestasi syarikat menghadapi masalah. Namun, apa yang berlaku sekarang mereka mahu mendapatkan keuntungan besar tanpa mengambil kira kebajikan rakyat,” katanya. - mj

Tiada ulasan: