Selasa, Mac 01, 2005

Diesel naik 5 sen -- Amaran tindakan tegas jika tingkatkan harga barang, perkhidmatan

Oleh: FAUZI JAAFAR

PUTRAJAYA 28 Feb. - Harga runcit diesel naik lima sen seliter berkuat kuasa esok, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Shafie Apdal.

Ini bermakna harga baru diesel ialah 88.1 sen seliter berbanding harga sebelumnya iaitu 83.1 sen seliter.

Beliau dalam pada itu, memberi amaran kerajaan akan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mengambil peluang daripada kenaikan harga tersebut untuk meningkatkan harga barangan dan perkhidmatan.

Katanya, kenaikan tersebut adalah berikutan kenaikan harga minyak mentah dan usaha kerajaan mengurangkan beban subsidi bahan api itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, harga petrol Ron97 sebanyak RM1.42 sen seliter, Ron92 (RM1.38) dan gas petroleum cecair (LPG) (RM1.40 sekilogram) tidak berubah.

Kali terakhir harga runcit diesel di stesen minyak dinaikkan ialah pada 1 Oktober tahun lalu iaitu daripada 78.1 sen seliter kepada 83.1 sen seliter, kenaikan sebanyak lima sen.

Menurutnya, walaupun harga diesel dinaikkan lima sen seliter, kerajaan masih menanggung beban subsidi produk itu sebanyak RM229.6 juta, Mac ini.

Shafie juga menegaskan, kenaikan harga diesel tidak boleh dijadikan alasan untuk para peniaga menaikkan harga barangan atau perkhidmatan.

Beliau berkata, langkah menaikkan harga runcit diesel lebih wajar berbanding dengan menaikkan harga petrol.

``Ini kerana jumlah jualan diesel yang diberi pengecualian cukai dan subsidi oleh kerajaan sepanjang tahun 2004 telah meningkat dengan mendadak iaitu sebanyak 4.7 bilion liter berbanding 3.5 bilion liter pada tahun 2003,'' katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini, petang ini.

Menurutnya, langkah kerajaan menaikkan harga diesel juga turut didorong oleh penyalahgunaan penjualan diesel subsidi di stesen-stesen minyak.

``Ini disebabkan jurang perbezaan yang besar di antara harga runcit diesel yang diberi subsidi dan pengecualian cukai oleh kerajaan iaitu 83 sen seliter berbanding harga diesel yang dijual kepada industri tanpa subsidi iaitu RM1.36 seliter, perbezaan sebanyak 53 sen,'' katanya.

Sehubungan itu, Shafie berkata, langkah untuk membendung sepenuhnya penyelewengan yang berlaku di dalam penjualan diesel di stesen-stesen minyak adalah sukar sekiranya perbezaan harga runcit diesel kekal pada paras yang tinggi.

``Kementerian berpendapat sekiranya jurang perbezaan harga diesel di peringkat runcit dengan harga di peringkat industri dapat dikurangkan ke tahap tidak melebihi 20 sen seliter, kemungkinan besar langkah membendung penyelewengan dalam penjualan diesel subsidi dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,'' jelasnya.

Menurutnya, berasaskan mekanisme pengiraan di bawah Mekanisme Harga Automatik (APM), harga diesel pada bulan Oktober 2004 hingga bulan Februari 2005 sepatutnya RM1.59 seliter.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak mahu membebankan pengguna diesel dengan harga itu walaupun terpaksa menanggung beban subsidi bernilai RM1.8 bilion.

Shafie berkata, walaupun menaikkan harga diesel, kerajaan masih kehilangan hasil sebanyak RM654 juta dan pada masa yang sama terpaksa menyediakan subsidi sebanyak RM338 juta pada bulan Mac 2005.

``Jumlah keseluruhan kehilangan hasil dan pemberian subsidi bagi bulan Januari 2005 sehingga Mac 2005 dianggarkan sebanyak RM1.9 bilion dan RM1.2 bilion,'' katanya.

Beliau berkata, selain memberi subsidi terhadap diesel yang dijual di stesen, kerajaan juga memberi subsidi terhadap diesel yang dijual kepada bot nelayan, kenderaan darat seperti bas dan kenderaan komersial lain serta bot penumpang di Sarawak yang keseluruhannya bernilai RM192 juta dari Oktober 2004 hingga Februari 2005.

Shafie berkata jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan terhadap RON97, RON92 dan LPG adalah sebanyak RM1.09 bilion.

Menurutnya, di Semenanjung Malaysia, harga runcit RON97 sepatutnya adalah RM2.02 seliter, RON92 RM1.96 seliter dan LPG RM2.27 sekilogram, sementara di Sabah, RON97 berharga RM2.02 seliter, RON92 (RM1.95), dan LPG (RM3.42), dan di Sarawak harga RON97 adalah pada RM2.01 seliter, RON97 (RM1.94), dan LPG (RM2.41).

Harga runcit diesel tempatan jauh lebih murah berbanding harga barangan petroleum itu di negara lain menyebabkan kerajaan mendapati lebih sesuai harganya dinaikkan sebagai langkah untuk mengurangkan bebanan subsidi kerajaan terhadap produk itu, katanya.

Harga barangan petroleum itu di Thailand kini ialah RM1.42 seliter, Filipina RM1.59 seliter dan Singapura RM1.71 sen seliter.

Harga diesel bagaimanapun lebih rendah di Brunei dan Indonesia, masing-masing pada harga 72 sen dan 60 sen seliter.

- Utusan Malaysia, 1 Mac 2005

Tiada ulasan: