Khamis, Mac 17, 2005

Minta hak anda walaupun satu sen

Oleh Salmiyah Harun

Wednesday, March 16 @ 18:37:31 MYT


"THANK YOU," dengan selamba 'amoi' (juruwang) menyerahkan baki wang sebaik sahaja saya membeli minuman Vitagen yang berharga RM3.49 di Pasaraya Bintang, Kajang hujung minggu lepas.

Saya terus membalas terima kasihnya dan beredar daripada situ, sambil berjalan saya masukkan baki wang itu ke dalam poket, tanpa menyedari baki wang saya tidak mencukupi.

Masuk sahaja di dalam kereta, saya kemaskan semula baki wang itu ke dalam beg duit saya di samping itu juga saya membelek-belek resit barang yang dibeli itu, saya dapati jurujual tidak pulangkan baki satu sen, sepatutnya beliau memulangkan RM0.51 kepada saya.

Terus saya merungut. Suami saya terus menegur saya "haaa keno pulak ker?".

Saya mengangguk. Sudah dua kali saya terkena seperti ini. Bagaimanapun saya cepat-cepat berganjak untuk ke kaunter jurujual semula untuk meminta balik baki saya bagaimanapun dihalang oleh suami saya.

Pada tahun lepas, baki wang tiga sen saya turut 'dikebas' ketika makan tengah hari di sebuah medan selera di pusat membeli-beli yang berprestij di Sungai Besi.

Waktu itu saya membayar sejumlah wang yang tidak pasti berapa, dan yang pastinya jumlah sennya adalah tujuh sen dan jurujual mengenapkan bayaran sen itu kepada sepuluh sen. Sejurus selepas itu saya bertindak meminta wang saya bagaimanapun alasan yang diberikan jurujual ketika itu syiling satu sen sudah habis.

Kita sebagai pengguna harus bersikap tegas dalam hal seperti ini, jangan sekali-kali memberi peluang kepada peniaga yang sudah untung besar tetapi masih mahu mengaut keuntungan dengan 'memeras' wang syiling pengguna.

Kita juga sebagai pengguna janganlah berasa malu untuk menuntut baki wang kita walaupun ianya adalah satu sen. Jangan memikirkan wang satu sen itu tidak ada nilai tetapi bagi peniaga pasar raya besar satu sen itu adalah amat berharga buat mereka.

Rasa sakit hati timbul apabila sikap jurujual pula boleh selamba dan tanpa rasa bersalah mengembalikan baki wang yang tidak mencukupi dengan tidak menjelaskan keadaan itu dan tidak meminta maaf kepada kita.

Bagaimana sekiranya perkara ini berlaku ke atas mereka? Bagaimana pula pengguna membayar RM 3.48 sen untuk harga Vitagen itu. Adakah pasaraya itu akan menerimanya?

Sudah tentu tidak dan masa itu juga mereka sanggup tunggu supaya kita jelaskan bayaran setepat mungkin. Kalau dalam soal ini kenapakah peniaga tidak boleh bersikap seperti pengguna yang sanggup menyerahkan satu sen mereka?.

Adakah ini taktik mereka untuk mengaut keuntungan tanpa disedari oleh pengguna, dan menganggap pengguna akan menghalalkan baki yang amat kecil nilainya pada masa itu sehingga peniaga tidak perlu memulangkan baki satu sen itu kepada pengguna.

Cuba renungkan berapa banyak peniaga atau pengusaha pasar raya memperolehi untung hasil daripada 'menagih' satu sen daripada pengguna.

Misalnya dalam satu masa, pengusaha pasaraya 'memeras' satu sen daripada seribu orang pengguna mereka akan memperolehi untung mencecah RM10 sehari. Ini adalah untung 'memeras' satu sen pengguna tidak termasuk lagi untung bersih yang diperolehi setiap hari hasil daripada jualan mereka.

Apa yang pastinya, baki wang satu, dua, tiga dan empat sen mahupun lima sen jika dihitung dan dicampur mampu menambah keuntungan berlipat ganda sehingga beribu-ribu ringgit. Wow!

Cukuplah dengan keuntungan dengan penjualan barang-barang tak usahlah hendak mengaut untung lagi daripada pengguna. Pengguna pun bukannya banyak duit, sekadar cukup makan. Malah bermacam-macam benda sudah naik harga, barang keperluan, tol, minyak kereta, tanbang bas, dan banyak lagi.

Sekarang pula banyak pasar raya yang menawarkan harga 99 sen, 88 sen, RM1.99 dan sebagainya yang melibatkan satu sen. Ini juga satu promosi 'menipu' untuk menarik pembeli menabur satu sen kepada mereka.

Mereka ini menggunakan psikologi untuk memperdayakan pengguna kerana ramai menyangka promosi itu menawarkan harga lebih murah berbanding harga genap seringgit mahupun RM3.50, padahal mereka yang pastinya akan untung dengan promosi itu.

Juteru, sempena sambutan 'Hari Pengguna Sedunia' semalam (15 Mac 2005) marilah kita sebagai pengguna memasang tekad dan azam untuk mempertahankan hak kita untuk mendapatkan satu sen itu.

Jangan sekali-kali mengalah atau membiarkan sahaja satu sen itu dikebas peniaga. Mintalah hak anda sebagai pengguna dan jangan takut, malu serta pertahankan hak anda sebagai pengguna selagi peniaga tidak memulangkan baki anda.

Bagi para peniaga di luar sana, sedarlah tanpa pengguna siapalah anda! - mks.

1 ulasan:

Lima Kedai berkata...

jgn jd bodoh! anto tmpt lain............