Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus | am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Sistem pendaftaran bomoh perlu dilaksanakan di negara ini bagi membendung aktiviti individu tertentu yang mengaku sebagai bomoh untuk menipu serta mengambil kesempatan ke atas pesakit.
Presiden Persatuan Pengguna Selangor dan Wilayah Persekutuan, Mohd Yusof Abdul Rahman, mengutarakan cadangan itu berikutan peningkatan kes berkenaan yang agak ketara sejak kebelakangan ini.
Menurut Mohd Yusof, masyarakat tempatan sememangnya mudah terpedaya dengan pelbagai janji palsu yang ditaburkan individu yang tidak bertanggungjawab, semata-mata untuk mengambil kesempatan di atas kelemahan mereka.
Katanya, menerusi sistem pendaftaran bomoh, kes penipuan akan dapat diselesaikan dengan mudah kerana bomoh yang terbabit dalam kegiatan seumpama itu akan dapat dikesan.
“Sekarang, pihak berkuasa sukar untuk mengesan kegiatan bomoh palsu kerana mereka tiada apa-apa pengenalan diri yang membuktikan kesahihan rawatan mereka.
“Sistem pendaftaran ini boleh mengawal lambakan bomoh palsu yang sejak akhir-akhir ini dan pada masa yang sama, dapat memastikan hanya individu yang betul-betul layak menjalankan rawatan kepada orang ramai.
“Orang ramai khususnya wanita diingatkan agar membawa teman jika ingin mendapatkan rawatan bomoh dan sekiranya mereka musykil mengenai kaedah rawatan yang diberi, segera laporkan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, Mohd Yusof, turut mengingatkan orang ramai agar menyelidik terlebih dulu latar belakang bomoh sebelum mendapatkan khidmat mereka kerana bimbang terpedaya dengan iklan perubatan tradisional yang diwar-warkan.
“Perubatan moden sememangnya sudah terbukti berkesan namun jika ingin mencuba rawatan tradisional, tiada salahnya asalkan melalui jalan yang betul,” katanya.
Harian Metro Jumaat lalu melaporkan seorang suri rumah, Azizah Ahmad yang kerugian RM11,000 apabila ditipu bomoh palsu yang berjanji mengubati penyakitnya.
Azizah akhirnya sedar dirinya ditipu selepas mendapati sakit yang dialaminya tidak berkurangan walaupun menerima pelbagai rawatan daripada bomoh berkenaan sejak empat bulan lalu.
Jurucakap Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak semalam mengesahkan menerima laporan itu namun enggan mengulas lanjut kerana sehingga semalam tiada sebarang tangkapan dilakukan.
- Harian Metro, 28 Februari 2005
Tiada ulasan:
Catat Ulasan