Isnin, Jun 12, 2006

FOMCA beri tujuh hari selesai masalah

KUALA LUMPUR 11 Jun - Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) memberi tempoh tujuh hari kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk menyelesaikan isu kekurangan bekalan gula di pasaran yang sudah berlarutan hampir dua bulan.

Presiden FOMCA, N. Marimuthu berkata, pihaknya kesal kerana pihak kementerian seperti tidak berminat untuk menyelesaikan segera masalah tersebut sehingga ia berlarutan bagi tempoh yang panjang.

Beliau berkata, kelewatan kementerian yang mempunyai kuasa untuk bertindak menyelesaikan segera masalah tersebut, telah menyebabkan pengguna berdepan dengan pelbagai masalah.

‘‘Kita beri masa kementerian tujuh hari untuk menyelesaikan masalah tersebut. Sekiranya mereka masih gagal, maka FOMCA akan mencari jalan penyelesaian sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Penyelesaian

Beliau, bagaimanapun enggan mengulas lanjut bentuk penyelesaian yang akan diambil oleh gabungan itu sekiranya pihak kementerian masih gagal bertindak dalam tempoh ditetapkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shafie Apdal sebelum ini berkata, masalah kekurangan bekalan gula di pasaran berpunca daripada permintaan tinggi pihak industri untuk membeli barang keperluan asas itu daripada pemborong dan pengeluar.

Sementara, Timbalannya, Datuk S. Veerasingam semalam memberi amaran, tindakan tegas boleh dikenakan ke atas peruncit yang enggan mengambil bekalan gula daripada pemborong.

Ini berikutan terdapat aduan yang peruncit yang enggan menjual gula atas alasan margin keuntungan yang diperoleh terlalu rendah.

Marimuthu berkata, sekiranya benar kekurangan bekalan gula berpunca daripada permintaan tinggi pihak industri, maka kementerian perlu mengkaji mengapa perkara itu berlaku.

‘‘Buat apa pihak industri beli gula. Kalau industri nak naik harga pun, berapa banyak kenaikan yang mereka hendak, kita boleh berbincang.

‘‘Ini tidak, tiada kesungguhan yang ditunjukkan untuk menyelesaikan masalah tersebut,” katanya.

Marimuthu berkata, beliau menerima antara 30 hingga 40 khidmat pesanan ringkas (SMS) sehari daripada ahli dan badan gabungan FOMCA di seluruh negara, menyuarakan rungutan tentang kekurangan bekalan gula.

‘‘Saya pun tak tahu apa nak balas kerana pihak kementerian yang mempunyai kuasa pun masih gagal menangani masalah yang wujud,” katanya kesal.

Utusan Malaysia
12 Jun 2006

Tiada ulasan: