Isnin, Jun 12, 2006

Restoran wajib letak gula atas meja

Oleh SAHBULAH DARWI

KEPALA BATAS 11 Jun - Kementerian Kesihatan bercadang mewajibkan semua restoran dan kedai kopi menyediakan gula kepada pelanggan sebagai pilihan kepada mereka mengawal pengambilan bahan itu.

Sehubungan itu, kementerian akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan pengusaha restoran mematuhinya, sebagai satu syarat untuk mendapatkan lesen perniagaan.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, Datuk Lee Kah Choon berkata, langkah itu dijangka mampu mengurangkan pengambilan gula di kalangan penduduk negara ini.

‘‘Kementerian Kesihatan bercadang mewajibkan kaedah itu sebagai langkah mengurangkan kes kronik diabetes dan buah pinggang yang kini dihidapi lebih 26,000 orang dengan 2,500 pesakit baru setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Forum Awam dan Pameran Sayangi Buah Pinggang Anda di Pusat Budi Penyayang di sini hari ini.

Kah Choon berkata, PBT juga boleh mewujudkan kursus pendek tentang kesedaran kesihatan mengenai penyakit terbabit dalam kursus kebersihan untuk pengusaha-pengusaha itu.

Menurutnya, dua penyakit itu berkait rapat kerana sebanyak 52 peratus kes penyakit kegagalan buah pinggang adalah berpunca daripada kencing manis.

‘‘Teh tarik yang dijual biasanya terlalu manis walaupun telah dipesan teh tarik kurang manis dan jika pelanggan boleh mencampur sendiri gula maka tidak lagi timbul masalah ini,” katanya.

Kah Choon berkata, ketika ini dianggarkan kira-kira lapan peratus daripada jumlah populasi negara menghidap penyakit kencing manis.

Lebih membimbangkan, menurutnya, kos rawatan untuk penyakit kegagalan buah pinggang adalah terlalu mahal kerana harga sebuah mesin dialisis mencecah RM40,000 seunit.

‘‘Sebuah pusat dialisis yang mempunyai lapan mesin dialisis memerlukan sebanyak RM800,000 untuk ditubuhkan manakala RM400,000 lagi diperlukan setiap tahun untuk kos penyenggaraan, perubatan, pakar dan sewa bangunan,” katanya.

Utusan Malaysia
12 Jun 2006

Tiada ulasan: