Cadangan kenaikan sebanyak 30 sen daripada harganya sekarang iaitu RM1.40 itu difikirkan dapat menyelesaikan masalah kekurangan bekalan gula di pasaran yang sudah berlarutan sejak April lalu.
Presiden FOMCA, N. Marimuthu yakin bahawa kenaikan itu juga boleh menjadi satu senjata strategik dalam usaha kerajaan menggalakkan gaya hidup sihat di kalangan rakyat.
“Saya setuju bahawa kita perlu mengurangkan penggunaan gula dan menaikkan harga gula adalah salah satu caranya,” katanya dalam satu wawancara bersama wartawan NOOR AZAM SHAIRI di pejabatnya, kelmarin.
Kenaikan harga itu, katanya, adalah sesuatu yang sangat praktikal berbanding pelbagai cadangan supaya pengguna beralih kepada gula alternatif yang dirasakan lebih mahal dari segi kos. Mengenai saranan pemulauan itu, Marimuthu bertanya: “Apa yang hendak diboikot kalau barangnya pun tidak ada?”
Sementara itu, dalam satu wawancara berasingan, pakar pemakanan di Institut Jantung Negara, Mastari Mohamad menjelaskan tentang peranan gula kepada tubuh manusia, serta buruk dan baiknya.
“Bukan gula itu yang buruk tetapi tabiat pemakanannya yang tidak baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau melihat satu kesan baik daripada masalah kekurangan bekalan gula yang dikatakan semakin kritikal sekarang – bahawa orang mula berbincang mengenai gaya pemakanan yang sihat.
“Ini adalah sesuatu yang sangat positif kerana ia memberikan kesedaran kepada masyarakat tentang baik buruk gula, serta pemakanan yang sihat.
“Mungkin orang akan mula sedar bahawa kita selalu berlebihan dalam soal makan, terutamanya gula serta lemak dan garam,” katanya.
MINGGUAN: Kenapa harga gula perlu naik?
MARIMUTHU: Saya yakin bahawa bekalan yang kurang sekarang akan pulih seperti sedia kala. Harga itu perlu dinaikkan dan dikawal di setiap peringkat pemasaran, pengeluar, pemborong dan peruncit supaya tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan seperti sekarang.
Kita harus faham bahawa syarikat pengeluar tempatan bergantung hampir sepenuhnya, 95 peratus, kepada gula mentah yang dibeli dari luar sebelum ditapis untuk pasaran tempatan dan eksport. Setelah diproses, hampir 50 peratus daripada gula tapis itu dieksport ke Singapura, Indonesia, New Zealand, Arab Saudi dan Filipina, dan bakinya untuk pasaran tempatan.
Bolehkah masalah selesai kalau harga naik?
MARIMUTHU: Kekurangan bekalan ini disebabkan antaranya oleh kegiatan menyorok oleh para pemborong yang mahu memberikan tekanan kepada kerajaan supaya menaikkan harga gula yang sudah 10 tahun tidak dikaji semula. Kita boleh semak laporan akhbar sejak kebelakangan ini mengenai serbuan oleh pihak penguat kuasa. Apa yang dilaporkan itu adalah bot-bot yang ditahan. Soalnya, apakah tidak ada bot-bot yang terlepas?
Malah saya tidak terperanjat kalau rakyat Singapura membeli gula di Johor Bahru kerana harganya yang lebih murah. Hal yang sama juga berlaku di sempadan Thailand. Harga gula kita ialah RM1.40 atau RM1.45 sekilogram manakala di Brunei harganya RM2.95, di Singapura RM2.05, di Thailand RM1.90, di Indonesia RM2.40 dan di Filipina RM2.88. Malah harga gula kita adalah yang kedua terendah di dunia.
Selain itu, bekalan gula untuk pasaran tempatan juga dilaporkan diseludup ke negara luar untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana keadaan harganya yang rendah itu.
Bukankah harga dan bekalan gula dikawal?
MARIMUTHU: Ya, tetapi sistem kawalan yang ada tidak menyeluruh. Harganya hanya dikawal pada peringkat runcit saja dan tidak melibatkan pengeluar dan pemborong. Akibatnya, ada pemborong yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harganya sehingga melebihi harga yang dikawal. Ini sudah tentu menimbulkan masalah kepada peruncit yang boleh dikenakan tindakan undang-undang kalau menjual lebih daripada harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Itu sebabnya FOMCA mencadangkan supaya harga gula dinaikkan.
Apa betul masalah bekalan ini ada kaitan dengan kenaikan harga pasaran gula dunia?
MARIMUTHU: Harga pasaran gula dunia telah meningkat dengan mendadak sejak Februari lalu, ke paras yang tertinggi dalam masa 25 tahun. Harganya sekarang ialah RM2,000 setiap tan metrik manakala harga pasaran tempatan ialah RM1,300.
Sektor industri tempatan selama ini mengimport gula dari Thailand tetapi sekarang harga di sana pun sudah meningkat dan ini tentu mengurangkan margin keuntungan mereka. Jadi, mereka mula mendapatkan bekalan daripada pasaran runcit tempatan tetapi malangnya – saya dapat tahu tentang sebuah syarikat coklat – mereka membuat produk untuk pasaran eksport. Itu sebabnya kita berpendapat harga gula patut dinaikkan.
Apakah ini tidak akan memberikan tekanan kepada harga barangan lain?
MARIMUTHU: Kita tidak dapat mengelak daripada hakikat bahawa akan berlaku sedikit reaksi pasaran. Tetapi dalam hal ini, kita harus memikirkannya dari pelbagai sudut. Adalah sesuatu yang sangat logik untuk menaikkan harganya sekarang. Saya percaya negara akan mendapat manfaat daripada kenaikan harga gula itu.
Pertama, bekalan gula di pasaran akan pulih, dan yang paling utama, kita boleh menggerakkan kempen mengurangkan penggunaan gula. Saya tidak nampak ada cara lain untuk kita menjayakan kempen gaya hidup sihat itu. Kalau gula mahal, orang akan mula kurang makan gula.
Tetapi sekarang ini pun orang bercakap tentang gula alternatif?
MARIMUTHU: Apakah kita sedar bahawa harga gula alternatif itu sebenarnya lebih mahal daripada gula pasir? Gula merah harganya RM1.89 sekilogram, gula kastor RM1.49, gula batu RM4 dan gula melaka RM5.98. Apakah orang mahu beralih daripada yang murah kepada yang mahal?
Saya ada juga terbaca tentang nasihat supaya orang mengambil buah-buahan. Cuba kita ambil sebuah keluarga empat orang. Kita kata kepada mereka jangan ambil gula tetapi makan epal. Kalau harga epal 50 sen sebiji, ini bermakna sehari mereka membelanjakan RM2.
Apa yang saya hendak katakan ialah adakah kita hendak kecoh hanya dengan kenaikan 30 sen yang kalau dilihat dari sudut yang lebih luas sebenarnya masih menguntungkan pengguna? Menaikkan harga gula itu mungkin sesuatu pahit tetapi apakah kita ada pilihan lain?
Apakah yang harus dilakukan oleh pengguna?
MARIMUTHU: Saya setuju bahawa ada atau tidak bekalan, pengguna memang sepatutnya mengurangkan pengambilan gula. Kita harus ingat bahawa kencing manis adalah saudara kepada segala macam penyakit – darah tinggi, buah pinggang dan sebagainya. Itu sebabnya saya percaya kalau harga gula mahal, orang tidak lagi akan bermewah-mewah menggunakan gula. Tetapi saya sangat tidak bersetuju dengan cadangan supaya pengguna memboikot gula kerana masalahnya ialah kita tidak ada bekalan dalam pasaran. Apa yang kita hendak boikot kalau barangnya pun tidak ada?
Kalau sekarang pun orang kecoh kerana tiada bekalan, kalau harganya naik tentulah lebih riuh.
MARIMUTHU: Kenapa hendak riuh? Gula bukanlah barangan keperluan harian seperti beras atau tepung. Kita tidak perlu kepada gula setiap hari sebenarnya. Tanpa gula, kita masih boleh hidup.
Sejak beberapa hari lalu, kita membaca pelbagai pandangan pakar mengenai bahaya gula. Gula bukan bahan yang paling penting untuk tubuh manusia tetapi sudah menjadi tabiat kebanyakan daripada kita suka makan yang manis-manis. Semua makanan kita hendak tambah gula. Pisang goreng pun cecah dengan gula. Kita bukan saja makan terlalu banyak gula tetapi juga susu pekat manis. Kalau terasa dahaga, orang pergi minum teh tarik atau sirap atau air berkarbonat. Kalau kita kurangkan gula dalam teh atau kopi sekalipun, kita minum air berkarbonat.
Itu sebabnya ramai di kalangan rakyat Malaysia tidak tahu bahawa mereka ada penyakit kencing manis sehinggalah diserang sakit jantung, darah tinggi, strok dan rosak buah pinggang. Menurut laporan terbaru, pakar kesihatan menjangkakan 13 hingga 15 peratus penduduk negara ini menghidap kencing manis berbanding 8.8 peratus sepuluh tahun lalu. Ini sangat membimbangkan.
Kita makan terlalu banyak gula. Barangkali inilah masanya kita meminta para peniaga kedai makan tidak membubuh gula dalam minuman yang dipesan sebaliknya meletakkan bekas gula di atas meja. Biar kita sendiri yang menentukan jumlah gula yang hendak diambil. Ini salah satu kempen yang boleh kita mulakan sekarang.
Ini soal menukar gaya hidup, dan ia bukan sesuatu yang mudah.
MARIMUTHU: Kita harus menukar gaya hidup, dan kita harus bermula dengan mengasuh anak- anak kita makan dengan betul. Kita tidak boleh lagi membiarkan anak-anak kita makan makanan yang tidak berkhasiat dan makanan segera. Kita tidak lagi boleh membiarkan mereka minum air berkarbonat dan sirap.
Adakah kita tahu apa yang mereka beli dengan duit belanja sekolah? Adakah kita ambil tahu apa yang dijual di kantin sekolah? Mereka membeli sirap, aiskrim dan sebagainya yang mengandungi banyak gula. Kita harus mendidik mereka. Kita harus menggalakkan mereka membawa bekal.
Dalam hal ini, FOMCA akan memulakan kempen asli dan khasiat mulai Julai ini untuk menunjukkan pemakanan yang sihat. Sasaran kita ialah kanak-kanak, bukan saja tentang pemakanan tetapi semua isu kepenggunaan. Inilah generasi yang mahu kami selamatkan. Inilah harapan kita.
Menukar tabiat itu sesuatu yang sukar?
MARIMUTHU: Memang sukar tetapi dalam semua perkara yang sukar dalam hidup ini, ia memerlukan keazaman yang tinggi. Ini adalah soal pilihan. Kita boleh memilih sama ada mahu tersenyum atau menangis, dan pilihan itu adalah di tangan kita sendiri. Hanya kerana kita mampu, apakah kita mahu makan apa saja mengikut kehendak selera, dan akhirnya kita menanggung sakit dan derita?
Bolehkah harga yang lebih tinggi mengubah sikap orang ramai terhadap gula? Orang mungkin mengubah gaya hidup tetapi tidak lama.
MARIMUTHU: Ini soal pilihan. Kita mesti ingat bahawa gula yang berlebihan boleh menghancurkan hidup kita. Kalau ada sesuatu yang tidak kena dengan badan kita, kita tidak boleh menukar spare partsnya di kedai. Kalau kita ada diabetes, kita akan menanggungnya sampai ke akhir hayat. Hidup kita pun sudah tidak ada kualitinya lagi.
Biarlah kita makan gula sedikit-sedikit tetapi kita boleh makan itu dan ini sampai kita mati. Jangan kita makan terlalu banyak gula sekarang tetapi selepas itu terpaksa hidup berulang ke hospital.
Adakah orang akan sokong cadangan FOMCA ini?
MARIMUTHU: Saya tahu ada orang yang bertanya apa sudah jadi dengan FOMCA. Mereka fikir FOMCA sudah hilang akal. Cadangan menaikkan harga gula itu mungkin tidak popular tetapi itulah caranya untuk kita menyelesaikan masalah bekalan sekarang. Saya dimaklumkan oleh ahli gabungan FOMCA di Kelantan bahawa orang bersedia membayar antara RM1.70 sehingga RM2 untuk mendapatkan sekilogram gula. Saya juga mendapat banyak panggilan telefon dari serata negara yang menyatakan sokongan kepada cadangan itu.
Kalau kita lihat, harga gula ini tidak pernah disemak sejak 1997; kalau gaji kita tidak naik sejak sepuluh tahun pun kita akan bising. Kalau kita serius hendak mengubah tabiat orang menggunakan gula, inilah caranya. Naikkan harga gula. Bekalan gula yang sekarang tidak adapun akan ada semula.
Ini adalah pendekatan yang akan menguntungkan semua pihak – kerajaan, peniaga dan pengguna. Ini bukan cadangan yang kita sengaja lontar, main tembak saja. Kita membuat cadangan ini selepas melihat keadaan pasaran gula tempatan dan antarabangsa. Pengguna harus faham keadaan ini.
Mereka jangan panik dan membeli gula sehingga melebihi keperluan. Para pemimpin politik pun janganlah memberikan mesej yang salah kepada rakyat. Jangan keluar gambar dalam akhbar menjual gula. Ini hanya akan menyebabkan rakyat panik. Selebihnya, ia tidak membantu usaha kerajaan yang mahu menggalakkan rakyat mengurangkan pengambilan gula.
Mingguan Malaysia
18 Jun 2006
Tiada ulasan:
Catat Ulasan