Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.myPELBAGAI juadah yang disediakan di hotel membuat pengguna rambang mata untuk memilih.
Pakej cecah harga lebih RM100 terlalu mahal untuk seorang individu berbuka puasa
SEHARIAN menahan lapar dan dahaga, menjelang waktu berbuka, mulalah nafsu menguasai jiwa. Jika boleh, apa saja yang ada mahu dijamah semuanya, tidak kira mahal atau murah, yang penting nafsu makan dapat dipenuhi.
Kerana itulah, benar bagai dikata kebanyakan orang. Pada bulan puasa ini, jual apa saja jenis makanan, mesti ada pembelinya kerana ketika itu bagi mereka yang penting ialah melayan perut yang berkeroncong, tidak kisah lagi mengenai duit yang mengalir keluar.
Atas sikap boros yang menjadi berlipat kali ganda pada Ramadan membuka ruang yang selesa kepada banyak pihak untuk mengambil kesempatan membolot keuntungan dengan mengenakan harga yang tidak munasabah bagi juadah berbuka yang disediakan.
Paling popular dan menjadi kegilaan ramai orang terutama golongan eksekutif di bandar besar ialah trend berbuka puasa di hotel mewah yang umum sedia maklum, kosnya bukan sedikit, malah kadar yang dikenakan untuk seorang boleh menampung kos makanan bagi tiga hingga empat orang jika berbuka puasa di tempat lain.
Memang tidak dinafikan pelbagai juadah disediakan di hotel memberi peluang kepada pelanggan membuat banyak pilihan, daripada makanan berkonsep ketimuran atau tradisional, makanan Barat hinggalah makanan aneka negara termasuk India, Jepun, China dan sebagainya.
Malah, keselesaan yang disediakan pihak hotel juga bukan kepalang. Dengan dekorasi yang menarik, susunan makanan kemas, hiasan meja makan yang ekslusif, alunan muzik yang enak didengar serta rasa nyaman makan dalam ruang yang berhawa dingin sepenuhnya.
Ditambah pula dengan layanan pekerja yang sentiasa diminta supaya ramah dan murah dengan senyuman membuatkan segala-galanya nampak serba sempurna, layanan kelas pertama yang semestinya tidak akan diperoleh di warung atau restoran biasa.
Namun, adakah berbaloi semua itu dibayar dengan harga yang sangat melampau? Sedangkan, semua sedia maklum bahawa nafsu berbuka puasa hanya membara sebelum makanan dijamah. Apabila perut sudah tidak mampu disumbat, nafsu itu hilang entah ke mana. Maksudnya, kebanyakan orang makan tidaklah sebanyak mana ketika berbuka.
Tinjauan Berita Harian bersama Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, di beberapa hotel sekitar Jalan Bukit Bintang mendapati kegilaan pihak hotel meletakkan harga yang kadangkala kelihatan agak melampau seakan sudah menjadi kebiasaan setiap kali Ramadan tiba.
Tawarannya nampak menarik. Kebanyakan mereka (hotel) mengiklankan pakej bufet Ramadan dengan harga yang nampak murah seperti RM55++ tetapi ramai yang lupa nilai tambah yang dimaksudkan sebenarnya adalah 15 peratus tambahan daripada harga pakej ditawarkan.
Ia termasuk 10 peratus caj servis perkhidmatan dan lima peratus cukai kerajaan yang sudahnya akan melonjakkan harga itu menjadi jauh lebih mahal daripada yang diiklankan.
Contohnya, ada hotel bertaraf lima bintang di situ mengiklankan kos berbuka bagi seorang dengan bayaran RM128. Harga sebanyak itu pun sudah kedengaran sangat mahal apatah lagi apabila ditambah dengan 15 peratus cukai yang dimaksudkan, jumlahnya meningkat kepada RM147.
Ayat pertama yang terpacul daripada mulut Mohd Yusof dengan kos setinggi itu ialah: “Gila, siapalah yang sanggup makan semahal ini. Harga itu boleh menampung kos makanan untuk lima orang. Bayangkan satu keluarga seramai lima orang datang makan di sini.”
Apa yang peliknya, pakej makanan disediakan di situ tidaklah sehebat mana. Makanan berkonsep tradisional dengan susunan dan hiasan sama saja seperti hotel lain, namun harganya sangat jauh melampau berbanding hotel lain. Pelik juga apabila pekerjanya memberitahu, hampir setiap hari sambutan menggalakkan.
Menjenguk ke hotel di sebelahnya pula, juga bertaraf lima bintang, lain pula halnya apabila dengan pakej makanan yang tidak jauh berbeza dengan hotel tadi, hotel ini hanya mengenakan kos sebanyak RM62.10 seorang selepas dicampur 15 peratus cukai. Jauh lebih murah sedangkan tarafnya sama.
Berdepan dengan hotel itu pula, sebuah lagi hotel lima bintang menawarkan kos berbuka puasa dengan bayaran sebanyak RM101.20 (selepas dicampur 15 peratus cukai) dengan suasana dan menu jauh lebih hebat daripada hotel pertama tadi sekali gus menimbulkan rasa pelik di hati kami, apakah kelebihan hotel pertama hingga mampu menyembelih pelanggan dengan harga semahal itu.
Mohd Yusof ketika mengulas mengenai perbezaan harga itu berkata, sesuatu yang tidak boleh diterima apabila hampir semua hotel dengan taraf bintang yang sama mengenakan harga jauh berbeza sedangkan menunya hampir sama.
“Kerajaan perlu mengawal perang harga ini. Buat satu garis panduan yang mengehadkan harga pakej bufet di hotel mengikut penarafan bintang yang diberi. Jangan biarkan mereka sewenang-wenangnya memainkan harga sesuka hati,” katanya sejurus selesai membuat tinjauan.
Beliau turut tidak bersetuju dengan harga ditawarkan untuk pakej bufet Ramadan di kebanyakan hotel kerana pelanggan pada dasarnya tidak mendapat apa yang mereka bayar tetapi sebenarnya lebih banyak membazir untuk sesuatu yang tersirat.
“Dalam konsep kepenggunaan, pelanggan berhak mendapat apa yang sepatutnya setimpal dengan apa yang mereka bayar. Dalam kes ini, pelanggan tidak mungkin akan mampu makan sama dengan nilai yang dikeluarkan. Mereka sebenarnya terpaksa bayar untuk dekorasi hotel.
“Makanan yang dinikmati sebenarnya berharga dalam lingkungan RM20 hingga RM30 saja tetapi mereka terpaksa bayar sehingga melebihi RM100. Ini melanggar konsep kepenggunaan dan tidak sewajarnya pembaziran sebegini berlaku pada ketika ekonomi penduduk negara ini dalam keadaan tidak menentu dengan peningkatan kos sara hidup yang melampau,” katanya.
Mohd Yusof turut membantah pendekatan yang diambil sesetengah syarikat korporat yang menganjurkan majlis berbuka puasa untuk anak yatim di hotel mewah kerana ia juga menyumbang kepada pembaziran melampau, selain menghakis konsep kesederhanaan yang sepatutnya diamalkan umat Islam terutama pada Ramadan.
“Bukan tidak boleh meraikan anak yatim, tetapi sewajarnya syarikat korporat menyumbangkan wang itu untuk tujuan yang boleh menambah kualiti hidup mereka. Tidak salah jamuan itu dibuat di tempat yang lebih murah atau di rumah anak yatim itu sendiri.
“Dengan membawa mereka ke hotel, pembaziran berlaku dan mereka didedahkan pula dengan konsep bermewah. Sepatutnya mereka diajar bersederhana, bukan berbelanja tidak kena pada tempatnya,” katanya.
Berita Harian,
16 September 2008