Jumaat, April 16, 2010

MENJELANG HULU SELANGOR, FOMCA KEMPEN JANGAN TONTON TV



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 April: Mungkin tidak berkaitan dengan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang bakal berjalan pada 25 April ini, tetapi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) akan melancarkan kempen Minggu Tidak Menonton Televisyen 21 hingga 27 April 2010.

Majlis pelancaran kempen tersebut akan diadakan pada 16 April ini iaitu sehari sebelum hari penamaan calon pilihan raya kecil Hulu Selangor iaitu 17 April.

TV adalah senjata utama Barisan Nasional (BN) dalam memasukkan agenda mereka ke dalam pemikiran rakyat.

Menurut satu kajian, TV adalah media paling berpengaruh khasnya kepada masyarakat luar bandar.
Sebahagian besar kawasan Hulu Selangor adalah termasuk dalam kategori ini terutamanya di kawasan Felda dan ladang.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh FOMCA, kempen ini akan dilancarkan di Institute Marketing of Malaysia, 1G-1, Bangunan SKPPK, Jalan SS9A/17, 47300 Petaling Jaya, Selangor.

Kempen ini akan dilancarkan oleh Datuk Marimuthu Nadason, Presiden FOMCA.

"Kempen Minggu Tidak Menonton Televisyen ini bertujuan untuk menggalakkan masyarakat (sepanjang minggu tersebut) menutup televisyen atau tidak melayari internet dan meluangkan masa mereka untuk melakukan aktiviti lain – secara individu atau bersama-sama keluarga atau rakan-rakan," kata jurucakap FOMCA dalam kenyataannya itu.

Minggu Tidak Menonton Televisyen merupakan sebahagian daripada Kempen Konsumer Kebangsaan, 2008-2010, yang bertemakan “Perubahan Bermula Dengan Saya”.
Minggu Tidak Menonton TV adalah kempen tahunan di peringkat antarabangsa yang telah diadakan semenjak tahun 1995.

Jumaat, April 09, 2010

FOMCA SIFATKAN KERAJAAN TERLALU BERKOMPROMI



29/3/2010

GABUNGAN Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), menyifatkan kerajaan selama ini terlalu berkompromi dalam aspek keselamatan dan sering tunduk desakan orang ramai sehingga gagal melaksanakan mekanisme khusus menangani lambakan kenderaan lama di jalan raya seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata jika kajian sudah jelas menunjukkan banyak kenderaan lama didapati menggunakan teknologi lama dan tidak begitu selamat dipandu di jalan raya, satu pendekatan segera perlu diambil untuk memastikan hanya kenderaan yang disahkan memenuhi piawaian keselamatan boleh dibenarkan ada di jalan.
Beliau berkata, pelbagai cadangan untuk melaksanakan sistem pelupusan dan pemeriksaan kenderaan sebelum cukai jalan diperbaharui cuba dilaksanakan tetapi gagal lantaran bantahan orang ramai sebenarnya tidak memahami mengenai keperluan pelaksanaan sistem itu.

“Ditambah lagi dengan kurangnya kemudahan untuk membolehkan pemeriksaan dijalankan kerana sebelum ini kita hanya bergantung kepada Puspakom semata-mata sedangkan banyak kawasan jauh dari lokasi pusat pemeriksaan kenderaan itu.

“Sudah sampai masa kerajaan melantik bengkel khusus sebagai panel untuk memeriksa kenderaan dan mengeluarkan perakuan sebelum cukai jalan diperbaharui. Pemantauan juga perlu diperketatkan supaya tidak ada pihak mengambil kesempatan atas pelaksanaan kaedah itu nanti.

“Masalahnya, sudah menjadi resam kebanyakan bengkel suka ambil kesempatan. Rosaknya sikit saja, tetapi macam-macam yang mereka suruh ganti. Itu yang kita bimbang, takut menganiaya pengguna,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, apapun alasannya, soal keselamatan tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi sudah terbukti sikap pemandu di Malaysia yang suka mengundang bahaya dengan pelbagai tindakan di luar batas undang-undang.
“Buktinya, ramai pengguna kereta lama suka ubahsuai kenderaan untuk meningkatkan prestasi. Kereta lama selalunya tidak mampu dipandu terlalu laju tetapi untuk membolehkan ia lebih pantas, macam-macam mereka buat, tukar enjin dan sambung itu ini.

“Sistem di negara ini pula tak mewajibkan kenderaan diperiksa sebelum perbaharui cukai jalan. Jadi, bagaimana pihak berkuasa nak kesan kereta yang mengubahsuai tanpa kebenaran sedangkan pengubahsuaian itu mungkin membahayakan mereka. Justeru, perlu ada mekanisme khusus terhadap kenderaan lama.

“Banyak implikasi boleh berlaku jika kenderaan lama tidak diselenggara dengan sempurna. Risiko kemalangan jiwa membabitkan kenderaan lama juga diakui tinggi. Jika dipandu terlalu perlahan di lebuh raya juga menyusahkan orang lain,” katanya lagi.

Mohd Yusof menyarankan supaya wujud lebih banyak insentif untuk menggalakkan pengguna menukar kereta lama dengan yang baru termasuk melihat bagaimana untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kenderaan lebih elok.

Katanya, satu agensi atau badan khas perlu diwujudkan untuk menangani masalah pengguna berpendapatan rendah kerana hakikatnya meskipun peratusan mereka sedikit tetapi mereka juga mahu memiliki kenderaan sendiri lantaran sistem pengangkutan awam masih tidak sempurna.

“Memang benar, negara ini juga sewajarnya mengikut jejak negara lain yang bertegas dalam kaedah pelupusan atau pemeriksaan kenderaan tetapi jika dilihat dalam aspek lain, kita sebenarnya belum cukup bersedia lantaran kekangan lain seperti kualiti pengangkutan awam dan pendapatan rakyat umpamanya.

“Namun, ia tetap perlu dilaksana dengan melihat kepentingan semua pihak,” katanya.

PERSAINGAN SIHAT MEMBERI MANFAAT KEPADA PENGGUNA



Suruhanjaya Persaingan akan ditubuhkan di bawah Akta Persaingan. Demikian menurut kenyataan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Penubuhan Suruhanjaya Persaingan bertujuan untuk memantau kegiatan bersifat monopoli dan mengendalikan sebarang aduan yang berkaitan dengan kegiatan tersebut.

Kewujudan Akta Persaingan ini telah lama didesak oleh FOMCA agar diwujudkan. Ia bertujuan mengatasi masalah kawalan bekalan dan harga oleh sesetengah pihak bagi tujuan mengaut keuntungan. Selain itu, ia juga dilakukan untuk mewujudkan kekurangan bekalan secara palsu bertujuan untuk mendesak kenaikan harga.

Pada masa ini terdapat bekalan bagi beberapa komoditi keperluan asas dikendalikan oleh beberapa pengeluar dan pembekal tertentu. Mereka juga sering mewujudkan pakatan atau kartel dalam menentukan kedudukan bekalan dan harga, khususnya barang yang tidak dikawal harganya oleh kerajaan.

Keadaan ini menyebabkan pengguna berhadapan dengan kenaikan harga yang kerap bagi barang tertentu seolah-olah tidak ada sebarang kawalan yang mampu dilakukan oleh kerajaan. Dengan hanya bersenjatakan Akta Kawalan Harga 1946 dan Akta Kawalan Bekalan 1961, agak terhad bidang kuasa yang ada pada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk bertindak membanteras kegiatan ini.

Beberapa krisis bekalan yang berlaku sebelum ini, seperti bekalan beras, gula dan sebagainya kebanyakannya berkaitan dengan kegiatan monopoli ini.

Kewujudan Akta Persaingan, walaupun agak lewat berbanding negara lain yang lebih terbelakang daripada Malaysia, seperti Vietnam dan Kemboja, dapat mewujudkan persekitaran persaingan perniagaan yang lebih sihat.

Pengguna dapat membuat pilihan produk dan perkhidmatan berdasarkan kualiti perkhidmatan yang disediakan. Pihak yang memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan berkualiti akan menjadi pilihan pengguna.

Persaingan juga dapat memperkembangkan bidang penyelidikan dan inovasi bagi melahirkan produk dan perkhidmatan yang berkualiti dan beraneka pilihan. Pandangan ini telah disuarakan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Mohamed Ariff Abdul Kareem, mantan Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) ketika melancarkan Pusat Penyelidikan dan Sumber Pengguna (CRRC) pada 20 Mac yang lalu.

Dalam melaksanakan akta persaingan ini, kerajaan tidak sewajarnya memberikan tumpuan kepada sektor swasta sahaja. Ia juga perlu melihat kepada kegiatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang pada masa ini kebanyakannya menjalankan perniagaan bersifat monopoli, seperti sektor pembekalan tenaga elektrik, telekomunikasi, bekalan air dan sebagainya.

Kerajaan perlu menyediakan perancangan agar secara berperingkat, penguasaan secara monopoli syarikat-syarikat ini akan dipecahkan dan syarikat-syarikat lain yang ingin menyediakan perkhidmatan yang sama dibenarkan untuk beroperasi. Ini memberikan pilihan kepada pengguna untuk memilih pihak yang dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Keahlian Suruhanjaya Persaingan yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri kelak hendaklah dianggotai oleh pelbagai pihak yang berkepentingan, seperti wakil persatuan pengguna, persatuan pengilang, agensi kerajaan, ahli akademik dan sebagainya yang mampu membuat pertimbangan sewajarnya dalam mengendalikan isu berkaitan amalan monopoli. Suruhanjaya ini diberikan kuasa untuk mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak yang mewujudkan pakatan atau terlibat dengan kegiatan perniagaan bersifat monopoli tanpa berpihak dan pilih kasih.

9 April 2010

JALAN ALTERNATIF YANG SELAMAT BAGI ELAK GUNAKAN LEBUH RAYA



Kementerian Kerja Raya telah memberikan cadangan agar syarikat konsesi dibenarkan untuk menaikkan kadar tol sekiranya ada jalan alternatif kepada pengguna yang tidak ingin menggunakan lebuh raya tersebut.

Cadangan ini, sekiranya dilaksanakan, akan memberikan kelegaan kepada para pengguna lebuh raya. Sebelum ini, pengguna terpaksa menerima kenaikan kadar tol walaupun tidak mempunyai jalan alternatif lain sekiranya ingin mengelak daripada menggunakan lebuh raya.

Tujuan lebuh raya diwujudkan adalah untuk memberi pilihan kepada pengguna, sekiranya mereka ingin membuat perjalanan dengan selesa dan menjimatkan masa. Sebaliknya pada masa ini, lebuh raya menjadi jalan utama kepada para pengguna kerana tidak ada jalan alternatif yang baik disediakan.

Walaupun sebelum wujudnya lebuh raya, jalan persekutuan dan jalan negeri merupakan jalan utama, namun kerana jalan-jalan ini tidak diselenggara dengan baik menyebabkan ramai pengguna terpaksa menggunakan lebuh raya.

Malahan berdasarkan kenyataan Majlis Keselamatan Jalan Raya dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalanraya Malaysia (MIROS), kebanyakan kemalangan, terutamanya kemalangan semasa musim perayaan, berlaku di jalan persekutuan dan jalan negeri. Ini menunjukkan tahap keselamatan di jalan persekutuan dan negeri agak membimbangkan.

Cadangan Kementerian Kerja Raya ini perlulah diberikan perhatian yang serius. Selain daripada cadangan ini menjadi alasan agar syarikat konsesi lebuh raya tidak sewenang-wenangnya meminta agar kadar tol dinaikkan, ia juga perlu dilihat sebagai usaha untuk membuat penambahbaikan terhadap keadaan jalan raya di negara ini.

Apa yang dikhuatiri ialah walaupun syarikat konsesi lebuh raya dapat menunjukkan wujudnya jalan alternatif bagi membolehkan mereka menuntut kenaikan kadar tol, namun tidak ada maknanya jika pengguna akhirnya terpaksa menjadikan lebuh raya sebagai jalan utama kerana keadaan jalan alternatif yang mendukacitakan dan membahayakan nyawa.

7 April 2010

JADIKAN ROKOK BARANG MEWAH

Usaha kerajaan untuk melarang penjualan rokok paket 14 batang amat wajar dilakukan. Langkah ini bertujuan untuk membendung tabiat merokok, khususnya golongan pelajar dan remaja.

Walaupun sebelum ini kerajaan telah meletakkan harga minimum bagi rokok berpaket 20 batang sebanyak RM6.40 pada 1 Januari 2010, namun begitu dengan adanya penjualan rokok berpaket 14 batang, yang tidak ditetapkan harga minimum, maka golongan ini beralih kepada rokok berpaket ini.

Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan untuk mengekang tabiat merokok rakyat Malaysia, namun sehingga kini masih gagal dilakukan. Malahan jumlah penghisap rokok semakin bertambah saban tahun.

Kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mengadakan kempen ”Tak Nak Merokok”. Begitu juga penggunaan grafik bahaya merokok pada pembungkusan rokok, turut tidak banyak membantu mengurangkan jumlah penghisap rokok.

Memang diakui agak sukar untuk menghentikan tabiat merokok, terutama mereka yang telah menjadi penghisap rokok tegar. Walau berapapun harga yang ditetapkan, pelbagai kempen diadakan dan apa jua grafik yang menakutkan digunakan, tetapi tidak dapat mengubah tabiat ketagihan tersebut.

Hanya apabila mereka menghidap penyakit yang disebabkan oleh menghisap rokok ini, seperti radang paru-paru, kanser, baharulah mereka hendak berhenti merokok. Pada masa itu semuanya sudah terlambat!.

Selain itu, kerajaan juga telah menetapkan 21 zon larangan merokok, namun bagi tidak diendahkan oleh penghisap rokok. Dalam hal ini masalahnya ialah kurangnya penguatkuasaan yang dilakukan. Usaha untuk melibatkan semua pihak penguatkuasa perlu dilakukan bagi mengatasi masalah ini, tidak hanya melibatkan penguatkuasa Kementerian Kesihatan sahaja.

Semua pihak perlu memainkan peranan dalam hal ini. Guru sekolah perlu diberi kuasa untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar sekolah mereka yang menghisap rokok di luar kawasan sekolah.

Begitu juga promosi yang dilakukan oleh syarikat rokok, terutamanya pesta akhir tahun, yang telah menarik ramai golongan muda remaja menyertainya. Pemberian rokok secara percuma semasa pesta seumpama itu hendaklah diharamkan.

Kerajaan perlu mempunyai perancangan agar pada satu peringkat rokok dianggap sebagai barang mewah kerana harganya yang terlalu tinggi. Hanya mereka yang berkemampuan sahaja boleh membelinya.

8 April 2010

DAPATKAN PANDANGAN SEMUA PIHAK SEBELUM LAKSANAKAN SKIM BARU INSURANS PIHAK KETIGA

Kenyataan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak bahawa Bank Negara hendaklah mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk persatuan pengguna, sebelum melaksanakan skim baru insurans pihak ketiga, amat dialu-alukan.

Kenyataan ini selaras dengan slogan pentadbiran Perdana Menteri di bawah gagasan 1Malaysia, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian DiUtamakan”.

Pelbagai pihak membantah cadangan skim baru insurans pihak ketiga ini kerana ia tidak memberi manfaat kepada pengguna, sebaliknya lebih menyebelahi kepada syarikat insurans.

Walaupun terdapat dakwaan syarikat insurans bahawa mereka terpaksa menanggung kos yang tinggi bagi menampung tuntutan kemalangan pihak ketiga ini, namun inilah tanggungjawab sosial yang perlu dipikul oleh mereka.

Rata-ratanya pemegang skim insurans pihak ketiga adalah golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak mampu untuk membeli skim insurans komprehensif yang premiumnya tinggi.

Biasanya mereka ini akan membeli insurans pihak ketiga selepas selesai menjelaskan keseluruhan bayaran kereta mereka. Biasanya pengguna membeli insurans komprehensif disebabkan keperluan syarikat kewangan sebelum mereka menyelesaikan bayaran ansuran kereta tersebut. Selain itu, pemilik kereta lama juga biasanya akan membeli skim insurans pihak ketiga kerana nilai kereta mereka yang rendah.

Sewajarnya pihak berkuasa memberikan perhatian kepada kebajikan pengguna seperti ini agar mereka tidak menjadi mangsa kepada syarikat insurans yang lebih berminat untuk mengaut keuntungan semata-mata.

7 April 2010

KENAKAN HUKUMAN BERAT KESALAHAN JUALAN LANGSUNG & GORES DAN MENANG

Cadangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengenakan denda yang berat bagi kesalahan jualan langsung dan gores dan menang amat dialu-alukan. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, cadangan hukuman yang lebih berat ini akan dimasukkan dalam pindaan Akta Jualan langsung 1993.

Dalam pindaan tersebut, pihak yang disabitkan kesalahan melakukan aktiviti jualan langsung secara haram, akan dikenakan hukuman denda sehingga RM5 juta.

Selain itu pihak yang terlibat dengan gores dan menang pula boleh dikenakan denda sehinggan RM1 juta apabila disabitkan kesalahan.

Kedua-dua kegiatan ini memang berleluasa didapati menipu pengguna sehingga melibatkan kerugian beribu-ribu ringgit.

Banyak perniagaan yang bertopengkan perniagaan jualan langsung atau perniagaan pelbagai tingkat (MLM) untuk mengelirukan pengguna agar masuk ke dalam perangkap penipuan mereka.

Syarikat MLM lebih berminat untuk mendapatkan ahli melalui penajaan bukannya untuk menjual produk. Ahli baru yang diminta menghadiri sesi penerangan lebih banyak diterangkan tentang kaedah mendapatkan penajaan, berbanding dengan pengetahuan mengenai produk yang dijual oleh syarikat tersebut. Ahli baru dikehendaki membeli sejumlah tertentu produk bagi membolehkan mereka mendapatkan mata yang melayakkan untuk mendapatkan bonus bulanan.

Begitu juga mereka akan menikmati mata sekiranya dapat menarik lebih ramai menjadi ahli baru. Jelas bahawa peniagaan ini menjadi ahli sebagai pembeli produk mereka secara tetap tanpa perlu memikirkan untuk mencari pembeli akhir untuk membeli produk tersebut.

Begitu juga dengan kegiatan gores dan menang yang telah diharamkan oleh kerajaan pada akhir tahun 2007. Namun sehingga kini kegiatan tersebut masih berleluasa.

Tindakan mengenakan denda yang lebih berat ini diharap dapat membendung gejala perniagaan yang tidak sihat ini. Dalam pada itu penguatkuasaan juga perlu diterus agar kegiatan pihak-pihak ini dalam dikekang.

Pengguna perlu memainkan peranan dan tanggungjawab mereka. Mereka tidak sewajarnya terlibat dalam kedua-dua kegiatan ini dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya dihubungi atau didekati oleh pihak-pihak yang menjalankan kegiatan ini. Mereka boleh menghubungi hotline 1-300-888-25 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional di 03-7877 9000.

5 April 2010

KEKALKAN SKIM PERLINDUNGAN INSURANS PIHAK KETIGA

Kerajaan diminta supaya mengekalkan skim perlindungan insurans pihak ketiga yang wujud pada masa ini.

Insurans merupakan perkara yang perlu dimiliki oleh sesebuah kenderaan bagi membolehkan kenderaan tersebut bergerak di jalan raya. Tanpa insurans, seseorang pemilik kenderaan juga tidak boleh memperbaharui cukai jalan. Oleh itu pemilikan insurans amat penting bagi semua kenderaan.

Cadangan kerajaan untuk mewujudkan skim baru insurans pihak ketiga menimbulkan kebimbangan kepada pemilik kenderaan. Sekiranya berlakunya kemalangan, mereka hanya layak untuk menerima pampasan sebanyak RM100,000 sehingga RM200,000 sahaja, berbanding sebelum ini pampasan ditentukan oleh mahkamah, yang adakalanya boleh mencapai RM2 juta hingga RM3 juta.

Kerajaan, khususnya Bank Negara perlu mengkaji semula cadangan skim baru ini agar tidak menimbulkan masalah kepada pemilik kenderaan, khususnya pemilik motosikal, yang merupakan golongan yang sering ditimpa kemalangan akibat daripada keadaan jalan raya yang tidak banyak menyebelahi mereka.

Begitu juga dengan pemilik kenderaan yang berumur lebih 15 tahun yang juga menghadapi masalah untuk mendapatkan skim perlindungan insurans pihak ketiga. Rata-ratanya yang memiliki kenderaan seperti ini adalah golongan yang berpendapatan rendah atau sederhana yang tidak mampu untuk sering bertukar kereta baru atau tidak mahu berhutang kereta baru selepas kereta yang lama itu telah langsai bayaran ansurannya.

Pusat Khidmat Pengguna Nasional (NCCC) menerima lebih daripada 600 aduan pada tahun 2009, tentang keengganan syarikat insurans memperbaharui perlindungan skim insurans pihak ketiga kepada kenderaan lama, khususnya berumur 25 tahun.

Kerajaan perlu mempertimbangkan semula cadangan skim baru ini. Kerajaan tidak sewajarnya hanya melihat kepentingan syarikat insurans sahaja tanpa memikirkan kebajikan pemilik kenderaan yang wajib memiliki insurans bagi membolehkan kenderaan mereka digunakan di jalan raya.

31 Mac 2010

JANGAN PERJUDIKAN NYAWA KERANA DISKAUN TOL

16 syarikat pemegang konsesi lebuh raya telah memberikan diskaun bayaran tol kepada pengguna semasa musim perayaan tahun baru Cina, antara 5 hingga 20%. Sementara bagi pengguna Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) pula tidak dikenakan bayaran tol antara jam 11.30 malam dan 4.30 pagi pada 11 dan 15 Februari Lebuh raya.

Langkah yang dibuat oleh syarikat pemegang konsesi ini merupakan usaha yang baik kepada pengguna kerana ia dapat membantu mengurangkan kos pengangkutan kepada mereka apabila pulang berhari raya semasa perayaan tersebut.

Pengurangan bayaran tol merupakan langkah yang dibuat oleh syarikat pemegang konsesi semenjak kebelakangan ini bagi menyahut usaha kerajaan mengurangkan beban kewangan para pengguna akibat daripada kenaikan kos hidup.

Hal ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Pengguna hanya sering berhadapan dengan peringatan bahawa kadar tol akan dinaikkan apabila tiba tempoh semakan semula dibuat. Berdasarkan perjanjian penswastaan konsesi lebuh raya, pemegang konsesi berhak untuk meminta semakan kadar tol setiap tiga tahun. Sekiranya semakan tersebut tidak dapat dilakukan, kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat konsesi.

Namun begitu, kebanyakan syarikat konsesi lebuh raya memberikan pengurangan kadar tol atau diskaun bagi perjalanan pada waktu malam. Ini bertujuan untuk menggalakkan pengguna lebuh raya membuat perjalanan pada waktu malam bagi mengelakkan kesesakan yang mungkin berlaku pada waktu siang.

Selain itu, pemberian diskaun ini juga menggalakkan pengguna kenderaan menggunakan lebuh raya untuk membuat perjalanan. Statistik laporan kemalangan oleh pihak polis menunjukkan bahawa sebahagian besar kemalangan yang berlaku semasa musim perayaan adalah di jalan raya persekutuan dan negeri.

Biarpun begitu, lebuh raya juga sering mengundang kemalangan dan seringkali kemalangan yang berlaku adalah kemalangan maut yang ngeri. Kemalangan yang berlaku pada 8 Februari lalu di Kilometer 252.3 Lebuh Raya Utara Selatan yang meragut nyawa enam sekeluarga menunjukkan keadaan kemalangan yang berlaku di lebuh raya. Kereta mangsa telah merempuh lori treler yang diletakkan dibahu jalan.

Selain itu, faktor keadaan permukaan lebuh raya yang tidak rata, sebahagian besar lebuh raya tidak mempunyai lampu jalan dan sebagainya antara punca kemalangan berlaku, selain daripada kecuaian pemandu yang memandu melebihi had yang ditetapkan dan mengantuk ketika memandu.

Pemegang konsesi lebuh raya perlu membuat lebih banyak pemantauan semasa musim perayaan ini. Kenderaan ronda mereka perlu bergerak dengan lebih kerap bagi melihat keadaan lebuh raya di samping mengambil tindakan segera mengalihkan kenderaan berat yang rosak di bahu jalan. Tindakan tegas perlu diambil oleh penguatkuasa jika kenderaan berat ini sengaja meletakkan kenderaan di bahu jalan tanpa mengalami kerosakan.

Lembaga Lebuh Raya perlu meletakkan satu tempoh tertentu bagi pemegang konsesi lebuh raya memasang lampu jalan di semua lebuh raya. Jumlah kutipan tol yang kian meningkat saban tahun mencukupi untuk menampung bil elektrik lebuh raya. Kerajaan boleh meminta agar Tenaga Nasional Berhad memberikan kadar tarif elektrik yang lebih rendah. Ini bagi memastikan keadaan yang selamat bagi pengguna lebuh raya.

Pengguna juga perlu memastikan bahawa mereka berada dalam segar ketika memandu pada waktu malam. Sekiranya tumpuan mereka adalah kurang apabila memandu pada waktu malam, buatlah perjalanan pada waktu siang, walaupun berhadapan dengan kesesakan jalan raya. Sekurang-kurangnya mereka berada dalam keadaan yang selesa semasa memandu.

11 Februari 2010