Jumaat, Mac 25, 2011

JERAT PEMBELIAN DALAM TALIAN





Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

PERKEMBANGAN teknologi hari ini memang menakjubkan. Ketika anda sedang membaca artikel ini, jutaan orang di seluruh dunia sedang melakukan transaksi pembelian di alam maya.

Memang menyeronokkan kerana dengan sekali klik di komputer saja, kita berpeluang mendapat barangan yang dimahukan tanpa perlu bersusah payah bersesak-sesak di pusat beli-belah.

Sesuai dengan perubahan gaya hidup yang semakin sibuk, kaedah membeli secara online (dalam talian) kini semakin mendapat tempat di hati masyarakat. Di negara maju seperti Amerika atau Britain, pembelian melalui Internet sudah lama diamalkan. Walaupun kaedah berkenaan semakin mendapat perhatian masyarakat di negara ini, ia belum begitu rancak walaupun sudah menunjukkan tanda positif apabila wanita yang mempunyai kuasa beli yang tinggi semakin mengenali kaedah pembelian secara maya itu.

Melalui Internet juga, kita mencari barangan yang bermutu pada harga berpatutan lebih murah di samping berpeluang mendapatkan model barangan berjenama yang tidak dijual di negara ini. Bagaimanapun, amat disarankan untuk mempertimbangkan komen pembeli di laman web berkenaan sebelum membuat pembelian untuk memastikan wang yang dikeluarkan berbaloi.

Pembeli di alam siber perlu bijak dan mengambil langkah berjaga-jaga yang munasabah, sebagaimana yang mereka sentiasa lakukan apabila melakukan pembelian melalui telefon atau di kedai.

Ini disebabkan ramai yang sudah menjadi mangsa penipuan kedai alam maya kerana selepas memasukkan wang dalam akaun yang diberikan, barangan yang dibeli tidak sampai meskipun memilih menggunakan penghantaran secara pos laju.

Selain itu, ada mangsa yang mengakui mendapat barangan tidak seperti digambarkan kerana terlalu percaya kepada peniaga di alam maya.

Berikutan perasaan tidak puas ditipu, sekumpulan pembeli yang pernah ditipu peniaga maya turut mewujudkan laman khas di Facebook iaitu Kami Benci Online Shop Yang Tipu & Makan Duit Haram yang kini diminati hampir 12,000 pengguna.

Laman berkenaan menyediakan banyak maklumat berguna mengenai senarai nama kedai maya serta individu yang disyaki menipu duit pelanggan mereka.

Kakitangan swasta, Azizah Abdul Latif, 29, berkata, dia mula mencuba kaedah pembelian secara dalam talian sejak dua tahun lalu selepas tertarik dengan pelbagai iklan yang ditampilkan di laman web sosial, Facebook.

Jelasnya, pembeli terutama wanita perlu lebih berhati-hati ketika melakukan pembelian di Internet kerana tidak semua peniaga jujur.

Azizah ditipu hampir RM100 ketika membuat pesanan barangan bayi kerana tertarik dengan iklan yang disiarkan kedai maya mengenai barangan kanak-kanak awal Februari lalu.

Katanya, dia tidak menyalahkan sesiapa apatah lagi tidak menyelidik terlebih dulu kedai maya itu kerana yakin peniaga berkenaan jujur, namun terkilan mengenangkan ada manusia sanggup menipu secara terang-terangan.

"Saya meneliti laman web itu dan mendapati komen daripada pembeli sebelum ini sangat meyakinkan. Selepas memasukkan wang dan memberitahu peniaga itu, saya diminta menunggu selama seminggu.

"Tanpa mengesyaki apa-apa, saya terus menunggu hingga masuk ke minggu kedua sebelum mula menghubungi peniaga itu kembali kerana sudah mula bimbang.

"Peniaga yang dikenali sebagai Rohani Hashim (berdasarkan nama pada akaun Maybank) memberi pelbagai alasan termasuk tiada stok dan meminta untuk terus menunggu. Sampai hari ini barang yang dipesan tidak sampai," katanya geram.

Menurut Azizah, selepas hampir sebulan menunggu barangan berkenaan, dia sekali lagi cuba menghubungi peniaga berkenaan, tetapi malangnya akaun Facebook kedai maya itu sudah ditutup manakala cubaan untuk menghubungi wanita berkenaan menerusi telefon juga menemui jalan buntu.

Dia begitu terkilan kerana ada wanita yang sanggup menipu wanita lain semata-mata mendapatkan keuntungan yang tidak seberapa dan bersifat sementara.

"Walaupun wang yang ditipu tidak seberapa, bayangkan jika lebih 20 orang menerima nasib yang sama, keuntungan atas angin peniaga itu pasti lumayan.

"Saya mengesyaki kumpulan peniaga dalam talian ini mempunyai rangkaian tertentu kerana ramai rakan saya juga tertipu dengan akaun yang sama tetapi kedai yang berbeza.

"Pada mereka yang masih mahu meneruskan kaedah pembelian di Internet, saya nasihatkan supaya lebih berhati-hati kerana tidak semua peniaga itu telus serta jujur dan andainya ditipu, kita sebagai pembeli sukar untuk mendapat wang kembali," katanya.

Nor Azlizah Mohd Nawawi, 32, dari Selayang, Selangor, turut mengalami nasib yang sama apabila dia membayar sejumlah wang untuk mendapatkan kanta lekap daripada peniaga di Internet.

Selepas memasukkan duit ke akaun yang diberikan, dia menunggu hampir dua minggu, tetapi barangan berkenaan masih tidak juga sampai ke tangannya.

"Saya tidak pernah membeli barangan secara dalam talian sebelum ini dan ini kali pertama menggunakannya.

"Apa yang menghairankan adalah kebanyakan komen a di laman itu kelihatan meyakinkan dengan ramai pembeli berpuas hati.

"Saya syak semua 'pembeli' itu adalah palsu dan bertujuan mengaburi penipuan peniaga itu saja," katanya.

Kata Nor Azlizah, sepupunya juga menerima nasib yang sama kerana turut membuat pesanan terhadap kanta lekap daripada peniaga berkenaan selang dua hari.

Katanya, sepupu tidak memberitahu sehingga dia membuka mulut mengesyaki sesuatu yang tidak kena selepas menunggu terlalu lama, bukan tiga hari seperti yang dijanjikan.

"Saya memang sudah serik untuk membeli di Internet tidak kira bagaimana murah atau cantik sekalipun sesuatu barang itu.

"Walaupun wang yang ditipu itu bukan sampai ribuan ringgit, sebagai pembeli saya tetap berasa sakit hati. Semoga peniaga yang menipu itu mendapat pembalasan sewajarnya," katanya.

Walaupun kebanyakan pembeli di kedai maya adalah wanita, ada juga lelaki yang menerima nasib yang sama.

Menurut Muhammad Aidil Othman, 23, dia membeli sebuah jam tangan jenama terkenal berharga hampir RM200 daripada sebuah laman web popular di Internet. Kesnya agak berlainan kerana mendapat jam berkenaan tetapi malangnya tidak mempunyai fungsi seperti yang diiklankan.

Muhammad Aidil yang baru saja habis pengajian dan kini membantu perniagaan abang iparnya di Ipoh, Perak, berkata, walaupun menerima jam yang dipesannya, dia tetap kecewa kerana ia tidak berfungsi seperti yang diharapkan.

Dia cuba untuk menentukan semua fungsi termasuk masa, tarikh dan sub dial, tetapi ia tidak berjalan seperti biasa.

"Mengesyaki sudah ditipu, saya menghubungi peniaga itu di Kuala Lumpur untuk meminta wang kembali dan dia enggan malah bermati-matian mengatakan jam tangan itu dalam keadaan baik ketika menghantarnya.

"Saya berkeras meminta wang kembali dan mengugut akan membuat laporan polis sekiranya dia enggan bekerjasama. "Selepas lebih dua minggu, barulah peniaga berkenaan memulangkan kembali wang berkenaan dan selepas mendapat wang, saya terus menghantar balik jam yang tidak berfungsi itu," katanya.

Muhammad Aidil berkata, sebelum ini dia pernah membeli topi keledar jenama KHI mencecah ratusan ringgit daripada peniaga di Shah Alam, tetapi tidak mempunyai masalah.

Katanya, jika tidak berhati-hati, pembeli akan mudah ditipu kerana ada kemungkinan barangan yang diterima tidak seperti yang diiklankan.

"Memang saya sudah serik untuk melakukan pembelian di Internet. "Pengalaman ditipu peniaga ini mengajar saya supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya pada apa yang digambarkan.

"Sekarang, jika inginkan mendapatkan sesuatu barangan, saya sanggup ke pusat beli-belah dan mendapatkan sendiri di kedai yang sememangnya wujud, bukan daripada kedai dalam talian," katanya.

SIMPAN SEGALA BUKTI, TRANSAKSI PEMBAYARAN

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) pernah menyatakan kementerian itu dalam proses meminda Akta e-Dagang bagi melindungi pengguna melakukan transaksi melalui Internet seterusnya mengambil tindakan terhadap pihak yang cuba menipu pengguna.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya giat memperhalusi segala butiran membabitkan pindaan akta, termasuk memasukkan hukuman atau penalti yang sebelum ini tidak ada dalam peruntukan akta berkenaan.

"Jika sesuatu produk ditawarkan tidak menepati seperti yang diiklankan, kita sebenarnya masih boleh mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972.

"Bagaimanapun, jika ia membabitkan produk kesihatan, penguatkuasaan mengikut bidang kuasa Kementerian Kesihatan," katanya.

Ismail Sabri juga berkata, pihak kementerian akan mempergiatkan usaha memberi penerangan kepada pengguna mengenai produk yang dijual melalui Internet bagi melindungi kepentingan mereka.

"Apa yang boleh kita lakukan adalah mengadakan kempen kesedaran kepada pengguna, tetapi penguatkuasaan dilakukan Kementerian Kesihatan," katanya.

Mengenai lesen untuk orang ramai yang menjalankan perniagaan melalui Internet, beliau berkata, perkara itu akan diperhalusi dalam penyediaan Akta e-Dagang.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, pembeli yang ditipu syarikat dari luar negara seperti eBay tidak dilindungi dalam Akta e-Dagang kerana ia hanya membabitkan transaksi pembelian dengan syarikat tempatan.

Katanya, sebagai pengguna dan pembeli, masyarakat perlu lebih berhati-hati dan bijak dalam melakukan pembelian di alam maya kerana sejak akhir-akhir banyak kes penipuan dilaporkan.

"Sepanjang 2008 hingga 2010, Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) menerima 554 aduan membabitkan penipuan pembelian secara online.

"Kebanyakan kes penipuan yang dilaporkan kepada merujuk kepada pembelian dengan pihak yang tidak dikenali menerusi laman web sosial seperti Facebook.

"Justeru, masyarakat perlu mengelakkan diri daripada membeli menerusi laman web sosial kerana berkemungkinan besar peniaga berkenaan tidak wujud seperti yang digambarkan," katanya.

Mohd Yusof berkata, pembelian menerusi Internet memang diakui mempunyai banyak risiko. Jika tidak berhati-hati, pengguna mudah ditipu kerana pembeli dikehendaki untuk membayar barangan terlebih dulu sebelum mendapat barang mereka.

Masyarakat disarankan supaya membeli barangan terus dari kedai kerana selain boleh mendapatkan terus pada waktu itu, pembeli juga dapat meneliti terlebih dulu keadaan barangan sebelum membayarnya.

Kata Mohd Yusof, jika dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna sekalipun, masalah pembeli yang ditipu peniaga dalam talian ini sukar untuk diselesaikan kerana peniaga itu tidak mempunyai alamat premis yang lengkap.

Ini kerana pengadu perlu menulis alamat premis yang menipu dan dalam kes pembelian di laman web Facebook, ia tidak boleh dijadikan sebagai alamat syarikat peniaga berkenaan lebih-lebih lagi jika laman itu sudah ditutup.

Katanya, pembeli juga digalakkan untuk menyimpan segala bukti atau transaksi pembayaran yang dilakukan kerana ia mungkin membantu pada masa depan.

"Zaman semakin maju dan ramai juga yang mempunyai tujuan tidak baik.

"Apa yang penting, jangan mudah percaya dengan apa yang dipaparkan di laman Internet kerana sukar untuk kita kenal pasti siapa di sebaliknya.

"Jadi, jika masih mahu membeli secara dalam talian, berhati-hati dan sebaiknya, gunakan laman web yang sudah lama wujud atau dikenali ramai," katanya.

Harian Metro, 25/3/2011

Tiada ulasan: