Rabu, Mac 30, 2011

PERLUAS RANGKAIAN KEDAI RUNCIT



Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menganjurkan kempen penurunan harga barang bermula 15 Jun sehingga 31 Ogos 2011. Ia akan melibatkan 50 sektor perniagaan di seluruh negara.

Sebelum itu, KPDNKK juga merancang untuk mengadakan jualan gudang yang membabitkan 20 buah syarikat pengeluar barang. Kedua-dua usaha ini sebagai langkah untuk membantu pengguna membeli barang keperluan asas pada harga yang rendah.

Kempen penurunan harga barang dan jualan gudang merupakan langkah yang baik dan amat dialu-alukan. Sebelum ini pun, KPDNKK pernah menganjurkan kempen yang seumpama ini ketika berlaku kenaikan harga barang.

Namun begitu, kedua-dua langkah ini hanya merupakan strategi jangka pendek. Kempen penurunan harga barang hanya berlangsung dua bulan setengah, manakala jualan gudang hanya diadakan dalam tempoh tertentu sahaja.

Pengguna bakal menikmati harga yang rendah ketika kempen penurunan harga barang dan jualan gudang diadakan. Selepas itu mereka terpaksa membeli pada harga biasa di kedai yang terdapat di kawasan persekitaran.

Rungutan pengguna terhadap kenaikan harga barang berlaku kepada barang keperluan asas seperti ikan, sayur-sayuran, daging, ayam dan barang keperluan. Ia dibeli hampir setiap hari, seminggu sekali atau sebulan sekali.

Kenaikan harga barang keperluan harian inilah yang perlu ditangani oleh kerajaan jika kerajaan ingin memastikan pengguna dapat membeli pada harga yang berpatutan dan munasabah.

Oleh itu, kerajaan memerlukan perancangan jangka panjang untuk tujuan tersebut. Umpamanya, kerajaan melalui pembabitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mewujudkan rangkaian kedai runcit di seluruh pelosok negara.

Pada masa ini beberapa GLC mempunyai rangkaian kedai runcit sendiri. Felda memiliki rangkaian kedai D' Mart yang sebahagian besar dibuka di Rancangan Felda, manakala Bernas telah mewujudkan pula Save More, yang beroperasi di kawasan bandar. Begitu juga Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan kedai Perwira Niaga Malaysia (Pernama) yang terdapat di kem-kem tentera.

Rangkaian kedai-kedai ini perlu diperluaskan di seluruh negara termasuk menggunakan konsep francais. Untuk membolehkan rangkaian kedai ini menjual pada harga yang rendah, ia wajar mencontohi pasar raya besar yang mewujudkan jenama sendiri atau jenama gedung.

D' Mart, Save More dan Pernama boleh membuat jenama sendiri bagi barang keperluan asas dan diedarkan di semua rangkaian kedai mereka. Jika dilihat jenama gedung di pasar raya besar, harganya lebih rendah sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus berbanding barang berjenama. Strategi ini wajar digunakan oleh rangkaian kedai-kedai ini.

Selain itu, rangkaian kedai ini boleh digunakan untuk melaksanakan program kerajaan dalam membantu golongan sasar seperti Program Subsidi Beras untuk Rakyat (Subur) yang dijalankan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Kerajaan secara berperingkat akan melaraskan subsidi barang makanan sebagaimana yang dicadangkan oleh Makmal Rasionalisasi Subsidi. Apabila pelarasan ini dilaksanakan, kerajaan perlu melaksanakan program jaringan sosial untuk membantu golongan miskin membeli barang keperluan asas pada harga yang lebih rendah.

Golongan sasar ini boleh diberikan kupon untuk membeli makanan keperluan asas.

Maka rangkaian runcit inilah yang berperanan sebagai pusat bagi membolehkan golongan sasar ini membeli barang keperluan dengan menggunakan kupon tersebut.

Forum, Utusan Malaysia, 30 Mac 2011

Tiada ulasan: