Selasa, Mac 29, 2011

PROSEDUR PATUT LEBIH RAPI


29 Mac 2011

KUALA LUMPUR: Pihak bank perlu membuat pengesahan mengenai urusan pelanggan yang dijalankan kepada ‘empunya diri’ atau pemohon bagi mengelak mana-mana pelanggan mereka ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abd Rahman berkata, walaupun agak sukar untuk pihak bank mengawalnya, tetapi ia boleh mengambil pendekatan memberi penerangan pada peringkat awal kepada pelanggan yang memohon mengenai sebarang urusan yang dijalankan sama ada untuk membuka akaun baru atau memohon pinjaman.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan pelanggan yang membuat permohonan itu peka dan sedar urusan apa yang sedang dijalankannya ketika itu, berikutan terdapat laporan pelanggan ditipu ahli keluarga atau teman rapat sendiri ketika menjalankan urusan di bank.

“Pihak bank perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan membuat pengesahan ketika meluluskan sebarang urusan yang dijalankan di premis mereka oleh pelanggan bagi mengelak ada individu yang tertipu oleh golongan mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain, terutama di kalangan pesara dan warga tua yang kurang arif mengenai sesuatu proses di bank.

“Ini kerana ada segelintir pesara yang ditipu anak sendiri atau orang sekeliling yang dipercayainya, apabila mereka meminta bantuan untuk menjalankan urusan pengeluaran wang, membuat kad ATM (kad juruwang automatik) atau membuat pinjaman di bank,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan pesara, Yasin Sagi, 80, kehilangan wang pencennya berjumlah RM65,000 apabila dikebas cucu angkatnya sendiri, Gemuk, 30-an, ketika membuat urusan pengeluaran wang sebanyak RM2,000 untuk membeli baja.

Menurut laporan itu, ketika berurusan di bank, Gemuk meminta Yasin meletakkan cap jarinya di satu borang tanpa diketahui ia adalah untuk membuat kad ATM.

Tiada ulasan: