Rabu, Mac 30, 2011

RANGKAIAN KEDAI RUNCIT BANTU PENGGUNA NIKMATI HARGA RENDAH



Oleh Mohd Yusof Abdul Rahman

2011/03/30

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan menganjurkan kempen penurunan harga barang bermula 15 Jun sehingga 31 Ogos depan membabitkan 50 sektor perniagaan di seluruh negara.

Sebelum itu, KPDNKK juga merancang untuk mengadakan jualan gudang membabitkan 20 syarikat pengeluar barang. Kedua-dua usaha ini sebagai langkah untuk membantu pengguna membeli barang keperluan asas pada harga rendah.

Kempen penurunan harga barang dan jualan gudang adalah langkah baik dan amat dialu-alukan. Sebelum ini pun, KPDNKK pernah menganjurkan kempen seumpama ketika berlaku kenaikan harga barang. Namun, kedua-dua langkah ini hanya strategi jangka pendek. Kempen penurunan harga barang hanya berlangsung dua bulan setengah, manakala jualan gudang hanya diadakan dalam tempoh tertentu saja.

Kempen penurunan harga barang diadakan di pasar raya besar dan gedung beli-belah tertentu, yang kebiasaannya terletak di bandar besar. Jualan gudang pula boleh dirancangkan untuk diadakan di beberapa tempat, termasuk di kawasan luar bandar.

Pengguna bakal menikmati harga rendah ketika kempen penurunan harga barang dan jualan gudang diadakan. Selepas itu mereka terpaksa membeli pada harga biasa di kedai di kawasan mereka. Rungutan pengguna terhadap kenaikan harga adalah bagi makanan mentah seperti ikan, sayur-sayuran, daging, ayam dan barangan keperluan lain. Ia dibeli hampir setiap hari, seminggu sekali atau sebulan sekali.

Kenaikan kepada harga barang keperluan harian inilah yang perlu ditangani oleh kerajaan jika kerajaan ingin memastikan pengguna dapat membeli pada harga berpatutan dan munasabah.

Oleh itu, kerajaan memerlukan perancangan jangka panjang untuk tujuan berkenaan. Umpamanya, kerajaan melalui pembabitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mewujudkan rangkaian kedai runcit di seluruh pelusuk negara.

Sebagai contoh, dulu pernah wujud rangkaian pasar mini, Kedai G-Mart dikendalikan oleh PERNAS Edar. Begitu juga BERNAS pernah mewujudkan BERNAS Mart. Harga barang yang dijual di kedua-dua kedai ini adalah lebih rendah berbanding kedai runcit lain.

Sering kali harga di kedai berkenaan dijadikan sebagai perbandingan untuk pengguna mengetahui kedudukan harga semasa barang. BERNAS juga pernah menyiarkan senarai harga barang jualannya di akhbar tempatan ketika berlakunya krisis kenaikan harga beras.

Namun disebabkan operasi kedai ini tidak memberikan keuntungan yang besar, maka kedai itu ditamatkan operasinya.

Jika kerajaan benar-benar serius untuk membantu pengguna membeli pada harga yang secara relatifnya berpatutan, maka rangkaian kedai runcit seperti ini perlu diwujudkan semula.

Pada masa ini beberapa GLC mempunyai rangkaian kedai runcit sendiri. FELDA memiliki rangkaian kedai D' Mart yang sebahagian besar dibuka di Rancangan FELDA, manakala BERNAS mewujudkan pula Save More, yang beroperasi di kawasan bandar. Begitu juga Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dengan kedai Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) yang ada di kem tentera.

Rangkaian kedai ini perlu diperluaskan ke seluruh negara termasuk menggunakan konsep francais. Untuk membolehkan rangkaian kedai ini menjual pada harga rendah, ia wajar mencontohi pasar raya besar yang mewujudkan jenama sendiri atau jenama gedung.

D' Mart, Save More dan PERNAMA boleh membuat jenama sendiri bagi barang keperluan asas dan diedarkan di rangkaian kedai mereka.

Jika dilihat jenama gedung di pasar raya besar, harganya lebih rendah sebanyak 30 peratus hingga 40 peratus berbanding barang berjenama. Strategi ini wajar digunakan oleh rangkaian kedai ini. Rangkaian ini perlu membuka cawangannya di seluruh negara, ter-utama di kawasan luar bandar bagi membantu golongan pengguna membeli pada harga rendah.

Selain itu, rangkaian kedai ini boleh digunakan untuk melaksanakan program kerajaan dalam membantu golongan sasar seperti Program Subsidi Beras untuk Rakyat (SUBUR), yang dijalankan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Demikian juga, KPDNKK mengadakan program pengedaran barang perlu bersubsidi mulai 20 Ogos 2008, dengan projek perintisnya di Seberang Prai Utara, Pulau Pinang. Dalam pembentangan bajet 2011, kerajaan memperuntukkan RM200 juta untuk program pengedaran barang perlu, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Kerajaan secara berperingkat melaraskan subsidi barang makanan sebagaimana dicadangkan Makmal Rasionalisasi Subsidi. Apabila pelarasan ini dilaksanakan, kerajaan perlu melaksanakan program jaringan sosial membantu golongan miskin membeli barangan keperluan asas pada harga lebih rendah. Golongan sasar ini boleh diberikan kupon untuk membeli makanan keperluan asas.

Maka rangkaian runcit inilah yang berperanan sebagai pusat bagi membolehkan golongan sasar ini membeli barang keperluan dengan menggunakan kupon itu.

Penulis adalah Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

Berita Harian, 30 Mac 2011

Tiada ulasan: