Jumaat, April 01, 2011

AKTA KAWALAN HARGA DAN ANTI PENCATUTAN LINDUNGI PENGGUNA DARIPADA PENIAGA MENGAUT KEUNTUNGAN BERLEBIH-LEBIHAN


1 April 2011

Bermula pada 1 April 2011, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010 akan dikuatkuasakan. Akta baru ini menggantikan Akta Kawalan Harga yang telah wujud semenjak tahun 1946.

Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan ini merupakan akta yang amat penting bagi pengguna kerana ia dapat melindungi pengguna daripada peniaga yang menjual barang dengan harga yang tinggi dan tidak munasabah, dengan tujuan untuk mengaut keuntungan yang berlebih-lebihan.

Dalam akta ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan melantik seorang pengawal harga, timbalan pengawal harga dan pegawai-pegawai lain dilantik untuk melaksanakan peraturan yang terdapat di bawah akta ini.

Pengawal harga, dengan kelulusan Menteri KPDNKK, diberi kuasa untuk menentukan harga dan caj maksimum, minimum atau tetap harga dan perkhidmatan bagi setiap rangkaian pembekalan daripada peringkat pengeluar sehingga peruncit.

Akta ini juga meneruskan peraturan dalam Akta sebelum ini, iaitu penjual barang dan perkhidmatan hendaklah mempamerkan senarai harga barang dan perkhidmatan di tempat yang mudah untuk dilihat oleh pelanggan.

Kepentingan utama akta ini adalah untuk menetapkan peraturan bagi memastikan tidak ada peniaga menjual barang atau perkhidmatan dengan harga yang tidak munasabah. Akta ini memberi kuasa kepada Menteri PDNKK untuk menetapkan satu mekanisme penetapan harga yang munasabah berdasarkan elemen-elemen dalam penetapan harga, seperti cukai, kos pembekal, keadaan penawaran dan permintaan, keadaan geografi dan pasaran serta faktor-faktor lain yang boleh mempengaruhi kedudukan harga.

Bagi membantu dalam pelaksanaan akta ini, sebuah Majlis Penasihat Harga ditubuhkan, Majlis ini berperanan untuk menasihatkan Menteri PDNKK berkaitan dengan perbuatan mengaut keuntungan yang berlebih-lebihan dan hal-hal lain yang berkenaan dengan harga serta caj barang dan perkhidmatan.

Majlis Penasihat Harga ini dianggotai oleh Ketua Setiausaha KPDNKK atau wakilnya dan 10 orang ahli lain, yang terdiri daripada empat orang wakil daripada kerajaan dan enam orang daripada orang awam, industri dan pertubuhan bukan kerajaan.

Peniaga atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan hukuman denda sekiranya disabitkan kesalahan. Bagi individu yang melakukan kesalahan pertama, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan berikutnya, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, manakala untuk kesalahan seterusnya, dikenakan denda sehingga RM1 juta.

Pengguna yang mendapati ada peniaga yang menjual barang atau perkhidmatan dengan harga yang tidak munasabah hendaklah membuat aduan kepada KPDNKK di talian 1800-886-800 atau Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC) di talian 03-7877 9000 atau melalui laman web www.nccc.org.my.

Tiada ulasan: