Rabu, April 20, 2011

KENDERAAN TERPAKAI PERLU DIPERIKSA PUSPAKOM


Mulai 1 Jun 2011, semua kenderaan terpakai, yang dibaik pulih dan diubah suai, termasuk motosikal, hendaklah diperiksa oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) terlebih dahulu sebelum membuat transaksi sewa beli.

Peraturan ini adalah sebahagian daripada pindaan yang dibuat dalam Akta Sewa Beli 1967, Pindaan 2010. Langkah ini bertujuan untuk melindungi pengguna daripada terbeli kereta terpakai yang dipotong sambung atau dicuri. Pembeli kereta terpakai akan diberikan salinan perakuan pemeriksaan puspakom apabila membeli kereta terpakai.

Sebelum ini, pengguna sering menghadapi masalah membeli kereta terpakai yang tidak tentu statusnya. Apabila berlaku kemalangan atau melakukan pemeriksaan menyeluruh di bengkel, barulah diketahui bahawa kereta tersebut adalah kereta potong sambung. Dalam keadaan seperti ini pengguna akan mengalami kerugian apabila kereta itu tidak boleh lagi digunakan di jalan raya dan dianggap sebagai kerugian sepenuh (total loss).

Dalam peraturan baru ini, syarikat kenderaan terpakai hendaklah menghantar kenderaan tersebut untuk menjalani pemeriksaan di Puspakom. Puspakom akan memberikan laporan perakuan pemeriksaan selepas pemeriksaan dilakukan. Seseorang yang ingin membeli kenderaan terpakai akan diberikan salinan laporan kenderaan untuk mengetahui status kenderaan tersebut. Selepas itu barulah proses pembelian secara sewa beli boleh dilakukan.

Selain itu, terdapat beberapa peraturan lain yang terdapat dalam pindaan Akta Sewa Beli ini. Antaranya:
  • Wang tempahan untuk membeli kenderaan dimasukkan dalam wang pendahuluan sekiranya pembelian secara sewa beli diteruskan. Wang tempahan adalah sebanyak satu peratus daripada harga tunai kenderaan tersebut.
  • Sekiranya pembelian secara sewa beli tidak dapat diteruskan kerana masalah kegagalan mendapatkan pembiayaan, wang tempahan akan dipulangkan sepenuhnya jika pembatalan dibuat oleh penjual, sebaliknya jika pembatalan dibuat oleh bakal pembeli, maka 90 peratus daripada wang tempahan akan dipulangkan.
  • Proses pengambilan semula kenderaan (Repossession) hendaklah dilakukan oleh ejen perolehan semula yang mempunyai permit. Pengambilan semula kenderaan tidak boleh dilakukan secara kekerasan, dan penyewa diberikan tempoh masa secukupnya untuk mengeluarkan barang peribadi.
  • Sekiranya notis pengambilan semula telah diberikan kepada penyewa melalui notis jadual keempat, dan penyewa telah menyerahkan kenderaan tersebut kepada institusi kewangan sebelum tempoh 21 hari tamat, semua kos berkaitan perolehan semula tidak akan ditanggung oleh penyewa, seperti upah pengambilan semula, penundaan, penyimpanan dan sebagainya.
  • Proses pengambilan semula perlu mendapat perintah mahkamah sekiranya penyewa telah membayar ansuran melebihi 75% daripada harga tunai barang. Sebaliknya perolehan semula tanpa perintah mahkamah pula dibuat jika jumlah ansuran tidak melebihi 75% daripada harga tunai barang.
Pindaan baru akta sewa beli juga menetapkan bahawa pemunya, termasuk wakil jualan tidak boleh meminta bakal penyewa menandatangani sebarang borang yang tidak dilengkapkan butiran. Sebelum ini bakal penyewa sering diminta untuk menandatangani beberapa borang yang tidak dilengkapkan, seperti borang perjanjian sewa beli, pertukaran hak milik dan sebagainya.

Penyewa juga boleh meminta untuk menyimpan kad pendaftaran kenderaan setelah membuat permohonan secara bertulis kepada pemunya, iaitu institusi kewangan. Pindaan baru ini meletakkan tanggungjawab kepada penyewa untuk memberikan maklumat mengenai kenderaan dalam tempoh 14 hari setelah menerima notis bertulis daripada pemunya.

Penyewa yang ingin menyelesaikan ansuran lebih awal berhak untuk mendapatkan rebat faedah ke atas jumlah faedah yang dikenakan bagi tempoh yang belum dilalui. Rebat ini dibuat berdasarkan formula yang ditetapkan di bawah akta sewa beli.

Dengan berkuatkuasanya Akta Sewa Beli 1967 Pindaan 2010 pada Jun 2011 nanti, sekurang-kurang pembeli kenderaan terpakai berasa lebih selamat kerana kenderaan yang dibeli itu bukannya kenderaan potong sambung atau dicuri.

Tiada ulasan: