Jumaat, April 22, 2011

SKIM PINJAMAN MUDAH PELABURAN JANGAN SAMPAI MEMBEBANKAN GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH



Kerajaan akan memperkenal skim pinjaman mudah untuk membolehkan golongan berpendapatan rendah melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan tabungan golongan berpendapatan rendah, khususnya untuk menghadapi keperluan masa hadapan.

Usaha kerajaan ini amat dialu-alukan kerana ia akan membantu golongan berpendapatan rendah mendapat pinjaman mudah untuk melabur dalam amanah saham. Ini merupakan salah satu lagi tabungan masa hadapan, selain daripada kumpulan wang simpanan pekerja, simpanan bank dan sebagainya.

Namun begitu, skim pinjaman mudah ini perlu diteliti dengan mendalam sebelum dilaksanakan. Sebagaimana yang sedia maklum, pelaburan dalam amanah saham juga berisiko, terutamanya apabila berlaku krisis kewangan. Pengalaman beberapa skim amanah saham yang pernah diwujudkan sebelum ini perlu dijadikan pengajaran, sepertimana amanah saham yang diwujudkan oleh kerajaan negeri. Antaranya Amanah Saham Johor, Amanah Saham Selangor, Amanah Saham Kedah dan sebagainya. Amanah saham ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan apabila dilancarkan. Namun keuntungan yang dihajatkan tidak kesampaian apabila nilai saham merudum ketika berlakunya krisis ekonomi.

Ramai pula yang memohon pinjaman bank untuk membiayai pelaburan amanah saham tersebut. Akibat daripada dividen yang rendah menyebabkan mereka terpaksa menanggung hutang pula. Keadaan yang sama pernah berlaku kepada pelabur skim amanah saham nasional. Beberapa buah bank telah memperkenalkan produk pembiayaan pelaburan amanah saham nasional yang membolehkan peminjam membayar balik melalui dividen yang diterima.. Semasa berlaku kegawatan ekonomi pada akhir 1990-an, ramai yang terpaksa menanggung hutang kerana dividen yang diterima lebih rendah daripada jumlah pinjaman yang perlu dibayar.

Masalah seperti ini juga mungkin boleh berlaku kepada golongan berpendapatan rendah yang membuat pinjaman untuk melabur dalam Amanah Saham 1Malaysia. Mereka tidak sewajarnya hanya bergantung kepada dividen yang bakal diterima untuk membayar balik pinjaman. Jumlah pinjaman yang dibuat juga perlu berdasarkan kemampuan mereka. Janganlah kerana terlalu ghairah dengan skim pinjaman mudah ini, mereka meminjam dalam jumlah yang besar. Akhirnya apabila berlaku keadaan yang tidak diingini, mereka terpaksa menanggung hutang, dan mungkin boleh diisytiharkan muflis jika pinjaman yang tertunggak itu berjumlah lebih RM30,000.

Kerajaan perlu memastikan wang dalam amanah saham dilaburkan dalam pelaburan yang berisiko rendah. Walaupun pulangannya mungkin rendah, namun wang pelabur akan terjamin. Selain itu, institusi kewangan yang terlibat dalam skim pinjaman mudah ini juga menawarkan kadar faedah atau keuntungan yang rendah. Ini bagi memastikan jumlah bayaran pinjaman tersebut tidak terlalu tinggi. Hasrat kerajaan mewujudkan skim ini adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah meningkatkan tabungan mereka. Jika kadar faedah dan keuntungan yang dikenakan tinggi, dividen yang diterima habis digunakan untuk membayar kepada institusi kewangan sahaja.

Tiada ulasan: